Rabu, 8 Mei 2024 | 6:24pm
 Polis tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar kecil) dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Polis tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar kecil) dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain.

'Kes Zayn Rayyan tak pernah ditutup, Saya masih berhutang dengan masyarakat' - Shuhaily

KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu.

"Seperti yang selalu saya katakan, kita tak pernah tutup mana-mana kes, kes kini menantikan petunjuk baru, namun malang sekali, selepas ganjaran ditawarkan pun kami tidak menerima petunjuk baru.

"Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, beliau sendiri secara peribadi masih mengharapkan ada sinar dalam kes pembunuhan adik Zayn Rayyan sekali gus menangkap pelakunya.

"Sekiranya saya pencen tanpa selesaikan kes itu, 'that will be my failure. We have tried our best and exhausted all avenues and yet we still short (ini menjadi satu kegagalan buat saya. Kami telah berusaha sebaik mungkin dan menyiasat segala sudut, namun kami masih tidak temui petunjuk).

"Secara peribadi, saya ambil itu (kegagalan) sebagai sebagai kegagalan saya, namun saya tidak akan berputus asa. Saya berharap masih ada sinar untuk kes ini.

"Kehadiran ramai orang ketika kejadian itu di lokasi utama jenayah berlaku, berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada. Tetapi kita tak salahkan mereka kerana mereka hanya berniat untuk membantu, bukan memusnahkan bukti," katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Kuala Lumpur sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.

Berita Harian X