Ahad, 19 Mei 2024 | 11:50pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA

'Keburukan mereka dicanang tapi kebaikan tak diberi perhatian sama' - Raja Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, mengajak rakyat Malaysia untuk lebih bersyukur dan berterima kasih kepada anggota pasukan keselamatan atas pengorbanan serta jasa mereka kepada negara.

Baginda bertitah, semua pihak harus beringat bahawa keberadaan anggota keselamatan bertugas di seluruh pelosok negara telah membolehkan rakyat menikmati keselamatan serta keamanan bersama keluarga tersayang.

"Mereka yang berkhidmat sebagai polis, tentera darat, tentera laut, tentera udara dan juga bomba, memastikan negara kita terkawal dan kita dapat hidup dalam keadaan selamat serta aman.

"Setiap kali anda melihat seorang tentera, polis, bomba atau mana-mana badan berkaitan, sedarlah bahawa mereka merupakan lelaki serta wanita yang hidup berjauhan dari keluarga mereka, dan nyawa mereka boleh diancam pada bila-bila masa tidak kira siang mahupun malam," titah baginda dalam hantaran melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam ini.

Justeru, Raja Permaisuri Agong bertitah, sumbangan pasukan keselamatan harus dihargai, namun terdapat sesetengah rakyat Malaysia tidak menunjukkan sikap yang baik dalam media sosial berkait perkara itu.

"Kita memilih untuk merungut tetapi tidak pula kita bersyukur kerana bernasib baik dapat hidup di dalam sebuah negara yang aman secara amnya, malah tidak terbabit sebarang peperangan," titah baginda.

Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk memberi perhatian kepada kebaikan kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sanggup bersabung nyawa dalam melaksanakan tugas memantau keselamatan di dalam negara.

"Antara golongan sering dikritik ialah kakitangan polis. Segala keburukan mereka dicanangkan dalam khalayak umum, namun kebaikan mereka tidak pula diberikan perhatian sama.

"Adakah kita sanggup meronda kawasan sekitar, dengan kesedaran bahawa kita boleh diserang dan dibunuh pada bila-bila masa?

"Ketika kita tidur nyenyak dan selamat di rumah pada waktu malam, mereka inilah yang berada di balai-balai polis seluruh negara, yang berjaga memantau keselamatan," titah baginda lagi.

Raja Permaisuri Agong sekali gus mengingatkan bahawa serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota dan mengakibatkan kecederaan parah pada seorang lagi, berlaku ketika mereka sedang bertugas menjaga keselamatan rakyat yang sedang tidur.

Pada jam 2.45 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis membabitkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terkorban apabila Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang suspek yang kemudian ditembak mati dalam kejadian itu. – BERNAMA

Berita Harian X