Khamis, 22 Februari 2024 | 6:23pm
Dua kanak-kanak melihat Zayn Rayyan pada 5 Disember tahun lalu antara jam 5 dan 5.30 petang dan ketika itu mangsa dikatakan seorang diri di koridor kawasan kediaman di Damansara Damai, Sungai Buloh.
Dua kanak-kanak melihat Zayn Rayyan pada 5 Disember tahun lalu antara jam 5 dan 5.30 petang dan ketika itu mangsa dikatakan seorang diri di koridor kawasan kediaman di Damansara Damai, Sungai Buloh.

Siasatan kes Zayn Rayyan tak pernah dihentikan - Pengarah JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang kini sudah memasuki lebih dua bulan selepas tragedi itu berlaku di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata walaupun berdepan cabaran termasuk dalam mengesan lokasi utama kes pembunuhan itu, polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikannya kes itu.

DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Setiap kepakaran yang ada di jabatan berkenaan termasuk dalam aspek forensik, telah dikerah bagi memastikan penjenayah yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.

"Pada ketika ini, pasukan saya masih melihat bahagian teknikal, kebanyakan keputusan forensik sudah ada dan cabaran kita ialah kita tidak dapat kenal pasti lokasi utama kejadian… yang kita dapat ialah lokasi kedua.

"Kita masih menunggu, masih lagi cuba buat penyegitigaan selain memperhalusi beberapa perkara teknikal termasuk kenyataan yang dikumpul daripada orang ramai," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA baru-baru ini.

MCPF tawar ganjaran RM20,000

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menjangkakan akan mendapat maklumat baharu, selepas Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri A Thaiveegan menawarkan ganjaran RM20,000, kepada individu yang dapat menyalurkan maklumat sehingga penjenayah terlibat diberkas.

"Mungkin RM20,000 ditawarkan beri motivasi kepada orang yang melihat sebagainya untuk beri petunjuk baru dan apa sahaja petunjuk kita akan proses (siasat)," katanya.

Ibu bapa Zayn Rayyan tak terlibat

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak terus meletakkan ibu bapa Zayn Rayyan dalam keadaan tertekan, dengan mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan anak mereka, kerana pasangan itu tidak terlibat.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Berita Harian X