Khamis, 7 Disember 2023 | 11:57pm

'Zayn Rayyan mati di tempat lain, 48 jam sebelum ditemui'

KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat menunjukkan anak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, meninggal dunia 48 jam di lokasi lain sebelum ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bedah siasat mendapati

mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.

Katanya, bedah siasat petang tadi menunjukkan mangsa bukan meninggal dunia di lokasi mayatnya ditemui.

"Rumusan daripada bedah siasat dan usaha pencarian dijalankan pihak polis Petaling Jaya bersama masyarakat setempat selama dua hari yang melalui tempat sama, tidak bertemu mangsa.

"Sebaliknya, mangsa ditemui pada hari kedua lewat malam tadi.

"Dari situ boleh dirumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian dan bukan lemas, mangsa mungkin mati di tempat lain sebelum (mayat) diletakkan di situ," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, kesimpulan itu turut mengambil beberapa indikator hasil bedah siasat petang tadi.

Mohd Shuhaily turut mendedahkan, ada kesan tekanan pada leher, menunjukkan mangsa mungkin dicekik.

"Bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri).

"Demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarga, memadai saya cakap itu sahaja," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, anak sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui adalah kawasan terpencil yang jarang dilalui penduduk, justeru pihaknya percaya suspek mengetahui selok-belok kawasan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek adalah penduduk setempat di tempat kejadian.

Petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mangsa mati dibunuh selepas bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan pada leher dan badan Zayn Rayyan.

Sehubungan itu, polis kini menyiasat kematian kanak-kanak austisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas sebelumnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily, berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan JSJ Bukit Aman akan membantu siasatan Polis Daerah Petaling Jaya, selain dibantu Polis Kontinjen Selangor.

"Kita sudah merencana operasi seterusnya untuk mengesan suspek, masih terlalu awal dalam mengenal pasti suspek.

"Kita ada beberapa strategi. Bagi pihak ibu bapa, saya merayu masyarakat setempat sekiranya mereka mempunyai apa juga maklumat, sekecil mana pun, datang kepada pihak polis untuk merungkai jenayah ini.

"Kita memandang serius jenayah kejam ini dan kita akan berusaha menjejaki suspek," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, pada sidang media di IPD Petaling Jaya, malam ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, pada sidang media di IPD Petaling Jaya, malam ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X