Jumaat, 8 Disember 2023 | 11:34am

Zayn Rayyan dibunuh - Polis cari bukti di lokasi penemuan mayat

PETALING JAYA: Pasukan penyiasat polis hari ini menyambung semula pemeriksaan di lokasi mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di saliran berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Difahamkan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Bukit Aman tiba jam 9.30 pagi tadi dan memulakan proses pencarian bahan bukti yang dapat membantu siasatan pembunuhan Zyan Rayyan.

Pasukan penyiasat turut menjalankan siasatan semula di lokasi malam tadi sebelum operasi dilakukan semula pada pagi ini.

Proses pencarian turut diperluaskan bukan sekadar di lokasi penemuan mangsa, malah turut dilakukan melalui saliran air berhampiran apartment terbabit.

Media turut berkumpul di lokasi penemuan mayat bagi membuat laporan terkini perkembangan siasatan.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kematian Zayn Rayyan yang berusia enam tahun diklasifikasikan semula daripada mati mengejut (SDR) kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media malam tadi, memaklumkan polis akan menjalankan pemeriksaan lanjut di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan.

Berita Harian X