Khamis, 25 Ogos 2022 | 12:07pm
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) dan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) dan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

'Saya tak faham kenapa saksi ini dipanggil, ia tak berguna kepada kami'

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan keterangan saksi ke-26 pendakwaan yang tidak menjawab soalan berhubung tiga dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikemukakan di mahkamah melalui e-mel yang terkandung dalam penyata saksinya.

Ketika disoal balas oleh Muhammad Shafee mengenai dokumen terbabit dan mencadangkan ia tidak lengkap, bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berulang kali menjawab 'tidak tahu' dan 'tidak pasti'.

Muhammad Shafee kelihatan terganggu dengan jawapan saksi itu dan memaklumkan bahawa beliau tidak memahami mengapa saksi itu dipanggil pendakwaan.

Beliau menyoal saksi pendakwaan itu pada perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

"Saya tidak faham kenapa saksi ini dipanggil kerana ia tidak berguna kepada kami. Perkara ini tidak membawa kami ke mana-mana. Ia adalah pertama kali saya bertemu dengan saksi macam ini," katanya.

Disoal peguam itu sama ada beliau menyediakan penyata saksi terbabit, Siti Zauyah berkata ia disediakan oleh dua pegawainya dan hanya ditunjukkan kepadanya pada saat-saat akhir.

Prosiding berhenti rehat bagi peguam berbincang dengan timbalan pendakwa raya dan mendapatkan arahan lanjut mengenai saksi itu.

Selepas menyambung prosiding, Siti Zauyah memberitahu mahkamah bahawa pernyataan saksinya sebenarnya disediakan oleh dua pegawai bawahan.

Menjawab soal balas Muhammad Shafee beliau mengakui dokumen itu bukan disediakan olehnya.

Katanya, ia dideraf oleh dua pegawainya dan hanya ditunjukkan kepadanya di saat-saat akhir.

"Saya hanya ditunjukkan dengan pernyataan saksi ini di saat akhir. Saya tidak diberikan peluang untuk membaca keseluruhan dokumen itu.

"Saya tidak tahu sama ada kandungan dalam dokumen ini adalah dalam pengetahuan saya.

"Ia disediakan oleh dua pegawai saya tanpa kehadiran saya," kata saksi itu.

Pada peringkat itu, Muhammad Shafee berkata saksi membuat tindakan yang betul apabila bercakap benar di mahkamah dan membaca muka surat terakhir pernyataan saksi Siti Zauyah yang menyatakan beliau mengesahkan kandungan itu adalah benar di dalam pengetahuannya.

Muhammad Shafee: Tetapi kebenarannya ialah butiran yang dimasukkan dalam pernyataan saksi kamu, kamu tidak tahu keseluruhan kandungan itu adalah benar berdasarkan pengetahuan kamu?

Siti Zauyah: Ya

Muhammad Shafee ketika itu menyoal balas saksi berhubung tiga dokumen berkaitan 1MDB yang dikemukakan di mahkamah melalui e-mel terkandung dalam penyata saksinya.

Mahkamah berhenti rehat sebelum bersambung petang ini.

Berita Harian X