Sabtu, 28 Disember 2019 | 2:29pm
PROSES penghasilan vaksin dilakukan secara teliti bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatannya sentiasa terpelihara.
PROSES penghasilan vaksin dilakukan secara teliti bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatannya sentiasa terpelihara.

Vaksin selamatkan penduduk dunia

KEJAYAAN syarikat pengeluar vaksin utama dunia, GlaxoSmithKline (GSK) menghasilkan penemuan bagi mengawal 21 daripada 31 penyakit berbahaya di dunia didorong daripada inovasi berterusan dilakukan syarikat itu dalam kajian saintifiknya.

Pada tahun lalu sahaja, GSK melabur 673 juta pound (RM3.7 bilion) bagi menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) oleh lebih 2,500 saintis vaksinnya di tiga pusat vaksin utama yang ada di Belgium, Itali dan Amerika Syarikat (AS).

Bermula dengan pengeluaran vaksin cacar di Marietta AS pada 1882, manakala penubuhan pusat penghasilan vaksin di Marburg, Jerman dan Siena, Itali pada 1904, GSK terus mempelopori industri vaksin dunia dengan lebih dua juta dos vaksin sehari digunakan di 160 negara bagi menghalang penyakit berbahaya termasuk pneumokokal, meningitis, hepatitis, rotavirus, batuk kokol dan influenza menjana jualan bernilai 5.9 bilion pound (RM32.5 bilion) pada tahun lalu.

GSK yang mempunyai lebih 30 jenis vaksin dengan tambahan 17 lagi vaksin terbaru sedang dibangunkan, syarikat itu terus komited memastikan penduduk dunia memiliki kehidupan baik dan bagi tempoh setahun pengambilan vaksin, ia berupaya mengurangkan dua hingga tiga juta kematian dan menyelamatkan kira-kira 750,000 kanak-kanak daripada kecacatan.

Pengarah Hal Ehwal Saintifik dan Vaksin Kesihatan Awam ibu pejabat GSK di Belgium, Dr Francois Meurice, berkata berdasarkan data, empat daripada 10 kanak-kanak di dunia mengambil sekurang-kurangnya satu vaksin keluaran GSK.

“Vaksin dihasilkan GSK membabitkan kegunaan semua peringkat umur bermula bayi dan kanak-kanak, remaja, dewasa, wanita mengandung, golongan tua dan mereka yang sering keluar negara bagi memastikan kesihatan mereka dilindungi daripada 21 wabak penyakit berbahaya.

“Satu pertiga daripada vaksin dihasilkan GSK disasarkan bagi penyakit tersebar luas di negara membangun termasuk tiga penyakit berjangkit diutamakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu HIV, malaria dan batuk kering (TB).

“Selain itu, antara vaksin kami yang sedang dalam projek pembangunan termasuk untuk rawatan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan pencegahan Virus Penyakit Pernafasan (RSV),” katanya pada sesi pembentangan projek vaksin GSK di ibu pejabat syarikat itu di Wavre, Belgium, baru-baru ini.

Dr Meurice berkata, pelalian diiktiraf di seluruh dunia sebagai pelaburan terbaik yang sewajarnya dibuat mana-mana negara atau organisasi penjagaan kesihatan, malah pada 2012, WHO dan 194 negara anggotanya menerbitkan pelan tindakan mengenai pelalian vaksin untuk memperluaskan akses imunisasi kepada semua orang di dunia, mempromosikan inovasi dalam industri vaksin dan menghalang berjuta-juta kematian.

Pelan ini membabitkan akses lebih saksama kepada vaksin sedia ada untuk semua orang di semua komuniti, pengenalan vaksin baharu dan peningkatan serta penyelidikan dan pembangunan dipercepat untuk generasi vaksin seterusnya.

“Ini harus diterjemahkan ke dalam permintaan global yang semakin meningkat untuk vaksin selama 10 hingga 15 tahun akan datang. Contohnya, lebih 25 juta kanak-kanak dilahirkan setiap tahun di India dan dianggarkan pada 2020 ada lebih satu bilion orang di dunia berusia lebih 60 tahun.

“Mereka ini memerlukan perlindungan vaksin maksimum supaya tahap kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik, sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan perubatan merawat penyakit.

“Strategi kami untuk membawa vaksin yang berbeza, berkualiti tinggi dan diperlukan kepada seberapa ramai yang mungkin,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, GSK menjual 770 juta dos vaksin di seluruh dunia dengan proses pengeluaran sesetengah vaksin boleh mengambil masa sehingga dua tahun.

Dr Francois Meurice (kiri) dan Dr Emmanuel Hanon.
Dr Francois Meurice (kiri) dan Dr Emmanuel Hanon.

Kebanyakan kumpulan vaksin ini menjalani lebih 100 pemeriksaan kualiti sebelum dihantar kepada pengguna untuk memastikan ia memenuhi piawaian bertaraf dunia.

Setiap vaksin dihasilkan dengan standard kualiti sama, tidak kira di mana vaksin akan digunakan di negara dunia ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Ketua Kajian dan Penyelidikan (R&D) Vaksin GSK di Rixensart, Belgium, Dr Emmanuel Hanon berkata, program inovasi menjadi teras utama syarikat itu bagi membolehkan vaksin baharu dicipta untuk penyakit yang masih mengancam individu, keluarga dan komuniti di seluruh dunia.

Menerusi tiga hab R&D utama GSK iaitu di Rockville, Amerika Syarikat, Rixensart, Belgium dan Siena, Itali, usaha difokus pada penemuan dan membangunkan vaksin baharu merentasi pelbagai ancaman kesihatan awam termasuk meningkatkan keberkesanan vaksin sedia ada atau penyakit sasaran yang masih tiada vaksin lagi.

WARTAWAN dibawa melihat operasi pembuatan vaksin di kilang pengeluarannya di Wavre, Belgium.
WARTAWAN dibawa melihat operasi pembuatan vaksin di kilang pengeluarannya di Wavre, Belgium.

“Pendekatan kami ialah memanfaatkan kepakaran dan pengalaman, selain menjalin perkongsian kepakaran dengan pihak lain.

“Contohnya, lebih 90 peratus vaksin sedang dimajukan menerusi kerjasama pihak lain seperti kerajaan, penyedia penjagaan kesihatan, pengawal selia, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan, pengeluar vaksin dan rakan kongsi utama lain untuk menangani cabaran kesihatan awam di seluruh dunia,” katanya.

Ketua R&D Vaksin GSK, Dr Ennio De Gregorio pada sesi sidang video dari Siena, Itali, berkata isu membabitkan kerintangan antibiotik (AMR) iaitu kebergantungan terhadap antibiotik yang boleh menyebabkan bakteria semakin kebal dan bertukar menjadi 'superbug' sehingga penyakit dialami sukar dirawat pada masa depan, kini turut menjadi ancaman global.

Justeru, GSK berusaha menghasilkan vaksin baharu bagi memerangi AMR susulan kajian mendedahkan unjuran 10 juta kematian berlaku setahun menjelang 2050 akibat penyakit itu.

“GSK mengalu-alukan komitmen di seluruh dunia menangani AMR untuk tindakan jangka panjang,” katanya.

Wartawan BH yang berpeluang melawat pusat penghasilan vaksin GSK di Rixensart, Belgium, baru-baru ini, mendapati proses pembuatan setiap vaksin ada yang mengambil masa setahun untuk dihasilkan selepas kajian bertahun dijalankan untuk memastikan keselamatannya.

Setiap proses perlu melalui pemantauan ketat bagi memastikan kebersihan dan keselamatan produk memenuhi piawaian ditetapkan setiap negara, malah jika ada kecacatan walaupun hanya membabitkan perkara kecil, ia akan menjejaskan pengeluaran produk keseluruhannya.

Berita Harian X