Rabu, 27 November 2019 | 1:09pm
Jangan teragak - agak untuk bertanya kepada doktor anda keperluan prosedur atau ujian yang dicadangkan.
Jangan teragak - agak untuk bertanya kepada doktor anda keperluan prosedur atau ujian yang dicadangkan.

Mengapa premium/sumbangan perubatan dan kesihatan saya terus meningkat?

Walaupun rakyat Malaysia semakin sedar terhadap keperluan untuk memiliki insurans perubatan/takaful, mereka juga perlu berdepan peningkatan kadar premium/sumbangan. Oleh yang demikian, artikel kedua daripada tiga bahagian siri mengenai Insurans/takaful perubatan dan kesihatan di Malaysia meneliti faktor-faktor di sebalik situasi ini.

Apabila anda atau orang yang anda sayangi sakit atau cedera, adalah satu keperluan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya dan tepat pada masanya. Kini, semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada doktor dan hospital swasta kerana lebih ramai pakar dan kakitangan berkelayakan, kemudahan terkini, peralatan diagnostik dan prosedur lengkap.

Mendapatkan rawatan di hospital swasta melibatkan kos yang tinggi. Disebabkan faktor ini, semakin ramai pengguna membeli insurans/takaful perubatan bagi menanggung kos perubatan, apabila perlu. Insurans/takaful perubatan dan kesihatan terdapat dalam pelbagai bentuk dan pilihan. Kebanyakan polisi/sijil takaful kini amat komprehensif dan dilengkapi dengan kad perubatan yang membolehkan pemegang polisi/sijil dimasukkan ke hospital dan caj perubatan dijamin oleh syarikat insurans/pengendali takaful.

Perlindungan yang lazim disertai hari ini selalunya akan membiayai keseluruhan bil hospital.

Walaupun popular, polisi/sijil ini mengalami peningkatan premium/ sumbangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum kita meneliti faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan tersebut, kita harus memahami terlebih dahulu bahawa kos polisi/ sijil perubatan komprehensif akan meningkat secara automatik seiring dengan peningkatan usia anda. Dengan polisi/sijil kendiri, anda boleh jangkakan peningkatan premium/sumbangan, kebiasaannya akan meningkat setiap tempoh lima tahun.

Sekiranya anda telah mengambil insurans / takaful perubatan anda didalam bentuk unit pemotongan yang dikurangkan dalam polisi/sijil berkaitan pelaburan, kos bulanan untuk perlindungan anda akan meningkat secara beransur-ansur sepanjang tempoh polisi / sijil. Amalan harga ini selaras dengan hakikat bahawa semakin meningkat usia anda, semakin tinggi kemungkinan anda membuat tuntutan.

Semua harga pelan Insurans/takaful perubatan dan kesihatan di Malaysia ditentukan dengan teliti oleh aktuari yang berkelayakan. Dengan menggunakan data yang sedia ada dan tahap kekerapan jangkaan dan kadar kebarangkalian kemasukan ke hospital, premium/sumbangan ditetapkan mengikut umur dan jantina anda.

Premium/sumbangan ini dirangka berdasarkan pelbagai andaian termasuk kebarangkalian inflasi perubatan tahunan. Penentuan harga kemudian dikaji semula secara dari semasa ke semasa. Jika jumlah tuntutan sebenar berbeza daripada andaian, penanggung insurans/ pengendali takaful akan mempertimbang dan menyemak semula kadar premium/ sumbangan yang dikenakan.

Inflasi kos perubatan dilihat lebih tinggi daripada barangan dan perkhidmatan lain kerana kemajuan teknologi dan rawatan, ubat-ubatan baharu, tempoh jangka hayat yang lebih lama yang memerlukan lebih banyak rawatan perubatan, dan lain-lain. Susulan itu, syarikat insurans/pengendali takaful mungkin menilai kadar inflasi sebanyak enam hingga lapan peratus bagi menampung kos inflasi perubatan.

Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang mengalami kadar inflasi perubatan tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan tuntutan yang dijangkakan dalam tahun 2019 adalah sebanyak 13 peratus. Akibatnya, syarikat insurans/pengendali takaful perlu menyemak semula dan meningkatkan premium/sumbangan mereka.

Sehubungan itu, penggiat industri telah membentuk satu pasukan petugas bersama untuk isu ini dengan lebih terperinci dan bagaiman untuk mengatasinya. Sebagai usaha, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia telah bersama-sama melantik perunding bebas untuk menjalankan kajian komprehensif berkenaan faktor-faktor inflasi tuntutan perubatan.

Hasil daripada kajian tersebut akan digunakan untuk merangka pelan ber sama dengan pihak berkepentingan industri yang lain bagi mengurangkan kadar kenaikan premium/sumbangan yang tidak diingini.

Kesimpulannya, sebagai pengguna anda harus bijak memilih pelan insurans/sijil takaful yang sesuai dengan keperluan anda. Pengguna perlu ingat bahawa walaupun pelan yang disertai membiayai keseluruhan bil hospital, kos setiap rawatan akan memberi kesan ke atas had perubatan tahunan dan had seumur hidup pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan anda. Akhirnya tuntutan yang rendah akan menyebabkan premium/sumbangan menjadi lebih rendah untuk semua pemegang polisi/ sijil takaful.

Artikel akhir dalam siri ini akan meliputi tip-tip dan isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Berita Harian X