Rabu, 3 Julai 2019 | 9:38pm
Dr Leong Kei Joe (dua dari kiri) dan Dr Ho Ting Khee (kiri) hadir pada majlis pelancaran Kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’ Polident sempena Hari Ibu Bapa, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
Dr Leong Kei Joe (dua dari kiri) dan Dr Ho Ting Khee (kiri) hadir pada majlis pelancaran Kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’ Polident sempena Hari Ibu Bapa, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Penjagaan teliti kebersihan gigi palsu elak masalah oral

KUALA LUMPUR: Penjagaan gigi palsu dengan baik penting bagi mengelakkan masalah oral atau mengurangkan sebarang risiko pada masa hadapan.

Kaji selidik dilakukan oleh GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK) mendapati, 56 peratus pengguna gigi palsu tidak tahu cara pembersihan sewajarnya dan 49 peratus tidak berjumpa dengan doktor gigi secara berkala.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr Leong Kei Joe, berkata gigi palsu lazimnya 10 kali lebih lembut daripada gigi asli dan cara pembersihannya tidak sama.

Katanya, sekiranya pengguna membersihkan gigi palsu seperti gigi biasa, ia boleh calar dan merosakkan permukaannya, menjejaskan kesihatan oral serta boleh menimbulkan masalah lain.

“Pengguna juga disarankan untuk tidak terlalu percaya kepada mitos yang dibaca di internet, sebaliknya dapatkan nasihat daripada pakar.

“Gigi palsu ini jika tidak dijaga, pembentukan plak gigi, kalkulus di tapak gigi palsu, pertumbuhan bakteria dan kulat boleh menyebabkan mulut berbau serta penyakit mulut lain yang tidak diingini.

“Jadi seharusnya kesedaran mengenai penjagaan gigi palsu ini turut diberi perhatian oleh anak terhadap ibu bapa masing-masing yang menggunakannya,” katanya pada majlis pelancaran Kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’ Polident sempena Hari Ibu Bapa, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pemasaran dan Ketua Digital Asia Tenggara GSK, Venaig Solinhac dan Pensyarah merangkap Pakar Prostodontik, Pusat Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ho Ting Khee.

Kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’ Polident itu bertujuan mendekatkan ibu bapa yang memakai gigi palsu dengan anak sekali gus mendidik berkaitan keperluan penjagaan gigi palsu orang tua mereka.

Penggunaan pelekat gigi palsu Polident berupaya memberi lekatan sehingga 12 jam dengan selesa manakala pembersih gigi Polident berupaya menghapuskan 99.99 peratus bakteria penyebab bau.

Sementara itu, Venaig Solinhac berkata, gigi palsu mempunyai pengaruh besar terhadap kualiti kehidupan dan keyakinan diri pemakainya.

“Sesetengah daripada mereka mendapati gigi palsu memberi kesan dalam pemilihan makanan dan berinteraksi dengan orang. Jadi menerusi kempen ini, kami berharap kesukaran dan cabaran dihadapi pemakai gigi palsu ini diketahui dan membantu mereka senyum dengan yakin.

“Di GSK, kami komited membina masyarakat lebih sihat menerusi produk dan kempen dianjurkan. Dengan memberi penerangan lebih kukuh mengenai gigi palsu, kami berharap kempen ini akan diperluaskan merangkumi bidang kesihatan oral lain,” katanya.

Berita Harian X