Sabtu, 16 Februari 2019 | 10:37am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Virus anjing gila ganggu sistem saraf, mangsa temui ajal

Ramai menyangka virus anjing gila berlaku secara semula jadi dan berada dalam tubuh seekor anjing.

Pendapat ini tidak benar kerana virus anjing gila atau secara saintifik dikenali sebagai virus rabies dipercayai berasal daripada kelawar hutan.

Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan dan Pusat Sains Kesihatan dan Gunaan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Yap Wei Boon, berkata kelawar ini kemudiannya merebakkan virus ini pula kepada haiwan liar lain di dalam hutan.

Katanya, virus rabies tidak muncul semula jadi di dalam badan anjing.

“Bagaimanapun, anjing peliharaan manusia boleh dijangkiti menerusi interaksi atau pergaduhan dengan haiwan liar yang dijangkiti virus sama.

“Anjing peliharaan itu mungkin sudah dijangkiti ketika dibawa sekali menjalankan aktiviti seperti pembukaan tanah, berkebun dan pemburuan di hutan,” katanya kepada BH.

Dr Yap berkata, anjing yang dijangkiti virus rabies biasanya akan berkelakuan agresif dan ganas kerana kerosakan sistem saraf pusat.

“Apabila anjing yang dijangkiti itu kembali semula ke tempat kediaman manusia, ia mudah menyerang manusia atau haiwan lain yang berkeliaran di sekelilingnya.

“Virus merebak berlaku daripada anjing kepada anjing atau haiwan liar lain dan manusia menerusi gigitan,” katanya.

Merebak menerusi air liur anjing

Dr Yap berkata, jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia pula berlaku melalui gigitan haiwan terutama anjing.

“Virus rabies boleh merebak melalui air liur anjing dan pada luka gigitan.

“Oleh kerana virus itu mempunyai ‘perumah’ yang tidak hanya khusus kepada anjing atau haiwan lain, manusia juga berisiko tinggi terkena jangkitan,” katanya.

Haiwan peliharaan lain seperti kucing yang mempunyai kekerapan berinteraksi dengan anjing liar juga boleh menjangkitkan virus rabies pada manusia.

“Ramai tidak sedar bahawa pemilik haiwan peliharaan juga berisiko dijangkiti virus ini.

“Mereka yang bekerja di kawasan berisiko tinggi seperti pegawai veterinar dan pekerja dewan bandaraya yang terbabit dalam pemburuan dan pengawasan anjing liar selain pelancong berisiko mendapat penyakit rabies,” katanya.

Dr Yap berkata, individu yang berisiko tinggi disarankan mengambil vaksin rabies (pre-exposure vaccination) bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, saranan pengambilan vaksin itu dilihat lebih memudahkan pengendalian jangkitan rabies.

“Sebaik seseorang itu digigit haiwan seperti anjing yang sudah dijangkiti rabies, tubuh mangsa akan mengalami tempoh pengeraman virus atau dikenali sebagai tempoh masa diperlukan untuk virus membiak.

“Virus ini akan merebak daripada luka gigitan ke sistem saraf pusat. ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan dari tempoh terkena gigitan,” katanya.

Elak virus merebak

Dr Yap berkata, rawatan segera amat diperlukan agar kebarangkalian untuk mengelakkan virus merebak ke sistem saraf pusat tinggi.

Katanya, sekiranya positif rabies, rawatan secara lengkap boleh diberikan bagi mengelakkan virus itu merebak ke sistem saraf pusat yang boleh mengakibatkan kematian.

“Tempoh pengawasan terhadap individu terkena gigitan memerlukan tempoh pengawasan patuh selama 10 hari sehingga haiwan itu dibuktikan negatif rabies.

“Orang ramai perlu menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar terdekat untuk maklumkan kes gigitan agar penangkapan dapat dijalankan segera,” katanya.

Info: Sejarah rabies

  • Berdasar maklumat Kementerian Kesihatan rabies dikesan seawal 1884, namun hanya direkod pada 1924.
  • Dalam tempoh 1996 sehingga 1999, kejadian rabies kepada manusia yang terakhir direkod adalah pada 1998
  • Rabies kepada haiwan kali terakhir direkod pada 1999.
  • Pada 1996 sehingga 1999, rabies muncul semula dalam manusia dan haiwan.
  • Pada 2012, Malaysia diberi status “bebas rabies” oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
  • Berita Harian X