Jumaat, 28 September 2018 | 11:44am
AMBER Chia. - Foto Owee Ah Chun
AMBER Chia. - Foto Owee Ah Chun

Tepis stigma barah payudara umpama hukuman mati

KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 10 wanita yang menghidap penyakit kanser payudara boleh diselamatkan daripada menderita pada tahap kritikal jika mereka membuat rawatan awal.

Ketua Penyelidik Kempen Be Cancer Alert (BCA), Prof Madya Dr Tin Tin Su, berkata sejak lima tahun lalu, hanya 35 peratus daripada wanita berusia 50 tahun ke atas melakukan pemeriksaan mamogram bagi mengesan sebarang risiko awal penyakit itu.

Katanya, pemeriksaan awal bertujuan mengelak kanser payudara mencapai peringkat kritikal, sekali gus menepis stigma masyarakat kanser adalah hukuman mati.

Jumlah yang masih rendah itu amat membimbangkan kerana khuatir wanita hanya menyedari kanser dialami pada peringkat lanjutan, iaitu tahap satu dan dua.

“Kurang kesedaran mendapatkan pemeriksaan awal antara faktor utama kebanyakan wanita berumur 40 tahun ke atas menghidap penyakit kanser payudara hingga boleh menyebabkan kematian.

“Ramai wanita berjumpa doktor apabila keadaan sudah tenat,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Be Cancer Alert, di Universiti Malaya (UM), semalam.

DUTA Kempen Be Cancer Alert, Amber Chia (kiri) bersama pesakit (dari kanan), Irene Tham, Mahani Kassim dan Sengolmany Irudayam selepas pelancaran Kempen Be Cancer Alert, di UM, semalam. - Foto Owee Ah Chun
DUTA Kempen Be Cancer Alert, Amber Chia (kiri) bersama pesakit (dari kanan), Irene Tham, Mahani Kassim dan Sengolmany Irudayam selepas pelancaran Kempen Be Cancer Alert, di UM, semalam. - Foto Owee Ah Chun

Kempen BCA bermula 24 September hingga esok, turut mendapat kerjasama daripada UM, Universiti Queen, Universiti Monash Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Kementerian Kesihatan.

Yang turut hadir Timbalan Dekan (Kajian), Fakulti Perubatan UM, Prof Dr Yvonne Ai-Lian Lim dan Pengerusi NCSM, Dr Saunthari Somasundaram.

Banyak kes dirujuk lewat

Dr Tin Su berkata, tahun ini kempen BCA menekankan pentingnya menjalani saringan untuk kanser payudara dan mengenal pasti tanda penyakit itu.

“Jika mampu dikesan lebih awal, ia membolehkan wanita menerima rawatan sebaik mungkin.

“Kebanyakan kes yang dirujuk sudah lewat kerana kebanyakan wanita mengambil mudah akan kesihatan dan penjagaan payudara mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Saunthari berkata, pesakit kanser payudara perlu mendapatkan sokongan menyeluruh supaya mereka mengharungi detik sukar, terutama selepas menjalani rawatan berkaitan.

Beliau berkata, lazimnya pesakit kanser mula mengalami kemurungan dan ketakutan, hilang keyakinan diri untuk terus hidup apabila disahkan mendapat kanser.

“Pesakit kanser payudara akan mengalami beban emosi sangat berat. Sokongan semua pihak penting bagi memastikan mereka dapat membuang pelbagai emosi yang muncul dalam fikiran,” katanya.

Berita Harian X