Isnin, 26 Februari 2024 | 7:30am
Barbara Martiniano menanggung kesakitan apabila satu prosedur ‘filler’ yang dijalaninya memutuskan bekalan darah ke bibir mangsa. - Foto ihsan Newsflash
Barbara Martiniano menanggung kesakitan apabila satu prosedur ‘filler’ yang dijalaninya memutuskan bekalan darah ke bibir mangsa. - Foto ihsan Newsflash

Bekalan darah ke bibir terputus selepas jalani prosedur 'filler', wanita dikejarkan ke hospital

BRASÍLIA: Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital selepas menanggung kesakitan apabila satu prosedur 'filler' yang dijalaninya memutuskan bekalan darah ke bibir mangsa.

Kejadian itu menyebabkan pakar pemakanan, Barbara Martiniano, 27, mengalami reaksi alahan amat teruk sehingga beliau bimbang bibirnya akan bertukar menjadi hitam serta 'mati'.

Sebelum itu, beliau telah mengunjungi seorang doktor gigi di Joao Pessoa, Paraiba, Brazil, untuk menjalani apa yang difikirkannya adalah prosedur kosmetik yang rutin.

Namun, beliau kemudian mengalami kesakitan dengan bibir membengkak teruk, dan dimaklumkan bahawa prosedur itu menyebabkan bekalan darah ke bibirnya terputus, malah dagingnya boleh menjadi hitam serta mati.

Susulan itu, Martiniano dimasukkan ke hospital untuk rawatan kecemasan terhadap reaksi alahan teruk yang mula menyebabkan beliau berasa tercekik.

Wanita itu berkata, terdahulu beliau mengambil keputusan untuk menjalani prosedur 'filler' bibir selepas melihat begitu ramai pempengaruh media sosial bercakap mengenainya.

"Saya tidak fikir ia adalah sesuatu yang boleh mengakibatkan sebarang masalah.

"Saya membayangkan diri akan dirawat oleh seorang profesional, kerana klinik yang saya pergi terletak di sebuah pusat beli-belah yang popular dan sebahagian daripada francais nasional," katanya kepada media tempatan.

Prosedur 'filler' bibir boleh dilakukan oleh doktor gigi terlatih dan pengamal tubuh estetik, dengan menggunakan asid hyaluronik sintetik supaya bibir kelihatan lebih penuh.

Martiniano mengalami kesakitan dengan bibir membengkak. - Foto ihsan Newsflash
Martiniano mengalami kesakitan dengan bibir membengkak. - Foto ihsan Newsflash

Martiniano berkata, beliau sudah meneliti jenis asid hyaluronik yang mereka gunakan.

"Saya memutuskan bahawa ia berkualiti tinggi, justeru saya pergi ke sana pada hari sama.

"Kira-kira 24 jam kemudian, saya mula berasa sakit dan bibir berdenyut-denyut. Sepanjang tempoh tiga hari, rasa sakit itu semakin teruk, namun saya fikir ia akan hilang.

"Doktor gigi yang melakukan prosedur itu memberitahu bahagian terbabit mungkin sakit sedikit. Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan sakit itu tanpa mengambil ubat. Saya tidak pernah mengambil begitu banyak ubat tahan sakit sebelum ini," katanya.

Martiniano berkata, beliau semakin bimbang apabila ibu mertuanya mendapatkan prosedur sama daripada seorang pakar dermatologi tetapi tidak mengalami kesan sampingan.

Wanita itu mendakwa, pemilik klinik terbabit menghubunginya selepas video yang mendedahkan keadaan bibir beliau itu menjadi tular, dan berjanji membayar ganti rugi.

"Saya memberitahu mereka, ia bukan apa-apa berbanding segala yang telah saya alami. Saya hampir mati," katanya

Katanya, beliau sedang mempertimbang untuk memfailkan saman terhadap klinik berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X