TIDAK dinafikan semakin meningkat usia, perubahan fizikal juga semakin berubah.
Wajah mula menampakkan kedutan, rambut beruban, gigi banyak yang tanggal, mata menjadi rabun, pendengaran semakin kurang jelas, badan mula membongkok dan paling ketara kekuatan fizikal turut terhad.
Keadaan itu pastinya membuatkan anda bimbang menghadapi hari tua.
Oleh itu, sebagai persediaan menghadapi usia emas ini, pelbagai usaha dibuat untuk mempertahankan kesihatan dan kecantikan yang ada. Bak kata orang, 'sediakan payung sebelum hujan'.
Malah, proses penuaan setiap orang berbeza dan ia banyak bergantung kepada faktor genetik dan kesihatan.
Kini terdapat pelbagai rawatan kecantikan, sama ada secara moden mahupun tradisional yang menawarkan wajah kekal cantik biarpun dimamah usia.
Di samping itu, banyak panduan diberikan untuk tampil sihat dan cergas hinggakan ada pihak yang sanggup membelanjakan banyak wang semata-mata untuk kelihatan cantik, sihat dan cergas.
Caranya bagaimana?
Melewatkan proses penuaan
Ternyata individu yang sering bersikap positif dan mempunyai psikologi sihat dapat melambatkan proses penuaan.
Lebihkan makan sayur dan buah
Sebenarnya, kita mampu melewatkan proses penuaan dengan mengambil diet dan makanan tambahan sesuai kerana pengambilan makanan secara seimbang dan teratur dapat mengekalkan kesihatan.
Ini mampu mengelak obesiti (kegemukan) dengan memperbanyakkan pengambilan makanan rendah lemak dan lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan.
Pengambilan suplemen
Dengan pengambilan makanan tambahan seperti vitamin E, selenium, vitamin C, beta-karotin, L-Cysteine, asid folik serta zink juga dapat melambatkan proses penuaan.
Ia juga dapat melindungi kemusnahan sel dan membantu kesihatan sel-sel badan jika diambil secara betul.
Rutin senaman
Senaman secara berterusan boleh meningkatkan ketahanan fizikal dan mental kerana dapat mengurangkan berat badan, tekanan, tekanan darah rendah, mengawal tahap gula dan meningkatkan sistem imuniti badan.
Kuatkan daya ingatan
Untuk menguatkan daya ingatan, amalkan tidur yang cukup, minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, makan makanan seimbang serta melakukan latihan.
Sebagai tanda peringatan, senaraikan perkara mahu dilakukan dalam buku nota dan rujuk setiap pagi dan kemas kini selewat-lewatnya sebelum tidur.
Kekal langsing
Yang ingin kekal langsing, pastikan wajah tidak terlalu cengkung kerana anda akan kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar.
Ini kerana kulit pada wajah lebih nipis berbanding bahagian tubuh lain kerana kurus tidak semestinya lebih cantik, sebaliknya kesihatan diri lebih penting.
Paling utama anda perlu banyakkan minum air bersih kerana di samping mampu menajamkan pemikiran, ia dapat mengelakkan penyakit dan kulit menjadi lebih cantik.