Menghidupkan watak hantu yang menyeramkan, mayat berulat, luka parah serta wajah muda berkedut seribu supaya nampak betul-betul asli sehingga mampu 'berbekas' di hati penonton bermakna lakonan sesuatu drama atau di layar perak dianggap berjaya.
Bukan sekadar kehebatan skrip, plot cerita, pelakon, pengarah atau teknik imej janaan komputer (CGI), malah peranan jurusolek menata rias wajah pelakon agar kelihatan realistik turut diambil kira.
Bermula lakaran idea melalui kajian teliti terhadap kehendak sesuatu watak, jurusolek kesan khas bereksperimentasi menggunakan pelbagai teknik dan bahan bagi menghasilkan sentuhan tampak logik serta meyakinkan.
Lantas, berkecimpung dalam bidang solekan kesan khas sejak 25 tahun lalu, Norela Ulis atau lebih dikenali sebagai Ella Sandera, 44, antara nama tidak asing lagi dalam industri filem dan drama tempatan, di sebalik tabir memang mengujakan.
Anak jati Sibu, Sarawak yang menceburkan diri secara serius dalam bidang solekan kesan khas sejak 2003 melihat aspek seni itu daripada perspektif yang luas dan mahu memperbetulkan persepsi salah mengenainya.
"Solekan efek ini tak semestinya untuk cerita atau watak hantu, ia sebenarnya luas. Saya pernah buat pelbagai kesan khas...ia juga tak terhad kepada wajah.
"Misalnya dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya bertanggungjawab mengendalikan solekan kesan khas untuk babak aksi memaparkan watak utama cedera ditembak musuh, selain luka pada anggota badan ketika babak pesawat terhempas.
"Malah, kerja ini menuntut fokus dan penelitian rapi. Tidak hanya pada solekan wajah, tetapi bagi babak sedang berlawan contohnya, perlu sembur air pada wajah pelakon untuk menunjukkan peluh supaya penceritaan tampak hidup," katanya.
Beliau juga yang mahir menghasilkan kesan khas tranformasi wajah lebih tua atau rupa lebih muda, prostetik wanita hamil dan patung (dummy) seperti tengkorak atau kepala tertanggal dari badan.
Pelbagai teknik solekan
Ella Sandera yang juga Presiden Persatuan Pekerja Profesional Solekan dan Kesan Khas Filem dan TV berkata, sentuhan kesan khas perlu diterjemahkan secara berkesan.
Justeru, pelbagai teknik, bahan dan helah digunakan untuk menimbulkan impak lebih besar bagi sesebuah watak.
"Kalau dulu, filem atau drama Melayu tampilkan watak hantu dengan mengenakan topeng, solekan pada wajah secara manual dan hanya gunakan bahan seperti lateks.
"Sekarang ada banyak teknik baharu seperti prostetik iaitu membuat kulit lapisan palsu untuk ditampal pada badan atau wajah pelakon.
"Misalnya untuk watak individu digambarkan berbadan gempal, teknik ini boleh digunakan dengan cara membuat acuan berdasarkan bentuk wajah dan fizikal asal pelakon. Jadi, ia hanya boleh digunakan kerana ia mengikut bentuk muka asal pelakon.
Jelasnya, kerja menghasilkan sesuatu watak menggunakan prostetik memakan masa kerana perlu dibuat sendiri di studio dengan semua proses membabitkan kerja tangan daripada membuat acuan dan penghasilan silikon mengikut rekaan dikehendaki.
Penata rias lebih 45 filem tempatan, antarabangsa
Untuk sebuah filem, biasanya proses menyediakan prostetik memakan masa tiga bulan sebelum penggambaran bermula dengan kosnya sekitar RM5,000 hingga RM6,000 bagi satu watak.
Kerja di set penggambaran turut mencabar, misalnya jika pelakon perlu pakai sut prostetik, ia memakan masa tiga jam untuk menyiapkannya.
"Terdapat teknik lain seperti '3D transfer', ini biasanya untuk efek luka pada anggota badan. Biasanya, saya buat lakaran dan perlu ada acuannya sebelum dicetak. Ia kemudian hanya perlu ditampal pada bahagian badan selari dengan kehendak filem.
"Bagaimanapun untuk visual efek lebam pada badan, masih perlu solekan secara manual. Mungkin ramai juga yang tak tahu...ada bahan visual efek menggunakan pewarna semula jadi makanan.
"Misalnya kesan comot pada baju dalam filem aksi...saya gunakan coklat emulco kerana warnanya agak gelap sedikit dengan teksturnya seakan lumpur. Pemilihan bahan solekan penting supaya pelakon mengenakannya tidak terdedah kepada alahan.
"Begitu juga babak memerlukan pelakon dalam keadaan berdarah, ia menggunakan pewarna makanan yang tidak meninggalkan kesan pada kulit," katanya sebagai penata rias untuk lebih 45 filem tempatan dan antarabangsa.
Impikan solek watak isi perut terburai
Ibu tiga anak ini turut meraih pelbagai kejayaan antaranya merangkul kategori Tatarias Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 menerusi filem Sangkar.
Kejayaan itu bukan mudah, Ella Sandera perlu menghasilkan karya selari dengan kehendak skrip dan tuntutan sutradara antara cabaran dihadapi sepanjang terbabit dalam bidang ini.
"Biasanya, saya akan tunjukkan lakaran dan contoh solekan kepada pihak produksi untuk kelulusan. Di set penggambaran pula, saya perlu kuasai keseluruhan skrip supaya tak ketinggalan, watak apa dan kesan efek bagaimana diperlukan untuk pastikan kesinambungan setiap babak.
"Setakat ini, saya banyak buat filem seram dan aksi, jadi apa yang diimpikan dapat buat filem berkaitan autopsi, seperti watak isi perut terburai dan pembedahan mengeluarkan organ," katanya.
Pulangan berbaloi sebagai jurusolek
Beliau melihat potensi kerjaya bidang ini cerah mengambil kira pulangan tinggi dan berbaloi diperoleh bagi setiap drama atau filem.
Untuk flem beliau pernah menerima bayaran tertinggi RM50,000 hanya bahan, belum termasuk upah solekan, namun enggan dinyatakan jumlahnya.
Antara filem tempatan mendapat sentuhan magis Ella termasuk Talbis Iblis, Hantu Kak Limah, J Revolusi, Jwanita, Histeria dan Jangan Pandang Belakang, selain drama bersiri Sembilan' bergenre seram thriller dan banyak lagi.
Beliau tidak mendapat pendidik formal dalam seni solekan khas, namun banyak belajar sendiri, selain mengikuti kursus jangka pendek secara dalam talian dari institusi luar negara.
"Pada 2001, nak belajar buat kesan khas agak terhad sebab belum ada internet. Jadi saya pergi ke balai bomba, minta izin lihat koleksi foto, contohnya kesan melecur akibat kebakaran dan simbahan asid.
"Disebabkan larangan mengambil foto, jadi saya hanya cuba mengingat dan tiru semula untuk hasilkan karya yang baik," katanya.
Mengulas perkembangan seni solekan kesan khas secara komersial, kini semakin mendapat tempat berbanding dahulu.
"Tak ramai minat sertai kursus solekan kesan khas sebelum ini kerana kos bahannya tinggi.
"Kini, saya lihat kesedaran mula tumbuh, sejak 2018 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mula mengadakan bengkel khas. Saya dijemput sebagai tenaga pengajar dalam usaha melahirkan lebih ramai jurusolek kesan khas.
"Ini perkembangan positif kerana saya sering berdepan pertindihan tawaran kerja sebelum ini kerana amat kurang jurusolek kesan khas yang mempunyai kepakaran ini," katanya yang baru sahaja melancarkan jenama produk kecantikan miliknya, Yuela Gold Cosmetics dan bagi mendapatkan maklumat lanjut layari www.yuelagold.com