Selasa, 30 April 2024 | 9:01am
Nabilah menunjukkan sijil kemahiran diperolehi dan mahu teruskan legasi nenek moyang menjadi tukang urut tradisional meskipun miliki ijazah Sains Forensik . - Foto/Ihsan Nabilah
Nabilah menunjukkan sijil kemahiran diperolehi dan mahu teruskan legasi nenek moyang menjadi tukang urut tradisional meskipun miliki ijazah Sains Forensik . - Foto/Ihsan Nabilah

Graduan Sains Forensik pilih jadi bidan tradisional

NIBONG TEBAL: Meskipun kerjaya tidak seiring dengan kursus dipelajari, iaitu dalam bidang Sains Forensik, namun wanita ini memilih membuka spa urutan dan khidmat penjagaan kesihatan untuk ibu selepas bersalin.

Nabilah Husain Marican, 31, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, membuka spa berkenaan di Simpang Ampat, di sini, sebagai sumber pendapatannya.

Ibu seorang cahaya mata itu, tidak kesal memilih bidang berbeza dengan ijazah, berikutan minat mendalam terhadap ilmu perbidanan, selain mahu mewarisi tradisi nenek moyang sejak turun-temurun.

Katanya, bidang perbidanan tradisional ketika ini amat kurang dipelajari generasi muda, sedangkan ia perlu dan penting memandangkan khidmat 'orang lama' sudah berkurangan atas faktor usia serta kesihatan.

"Saya tidak pernah menyesal kerana

kerana itu juga ilmu yang saya minat dan ia berkait rapat dengan kehidupan seharian.

"Tambahan pula, amat sayang jika tiada generasi dapat meneruskan amalan nenek moyang terdahulu yang ia memberi manfaat sangat besar terhadap kesihatan khususnya ibu sedang berpantang," katanya ditemui di premisnya baru-baru ini.

Ingin mewarisi ilmu nenek moyang

Mengendalikan perniagaan dikenali 'Mama Wellness', Nabilah berkata, beliau mempelajari ilmu perbidanan tradisional termasuk teknik urutan dan rawatan wanita selepas bersalin daripada seorang bidan bertauliah selama enam bulan.

"Banyak saya pelajari antaranya teknik urutan wanita berpantang, mandian herba, lulur, berbekam, bertungku, bertangas dan lain-lain teknik yang saya rasakan begitu bernilai dan sukar diperoleh daripada mana-mana buku.

"Sambutan diterima juga begitu memberangsangkan berikutan perkhidmatan ini masih dipercayai, selain rawatan tradisional terbukti mampu memberi kelegaan kepada tubuh secara semula jadi.

"Jika dipraktikkan teknik rawatan dengan teliti dan mendalam ia mampu memberi manfaat kepada ibu yang berpantang untuk jangka masa panjang," katanya.

Jelasnya, awalnya beliau bermula dengan menawarkan khidmat rawatan berpantang bergerak dari rumah ke rumah sebelum membuka pusat rawatan itu dua tahun lalu.

Nabilah berkata, bagi menarik kepercayaan pelanggannya beliau turut memantapkan kemahiran perbidanan dengan mengikuti kursus serta bengkel dianjurkan pelbagai pihak.

"Melalui kerja keras ini saya memiliki sijil kemahiran dalam Urutan Terapi Tahap Tiga daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Selain itu, saya menghadiri bengkel persendirian termasuk bengkel urutan dan terapi sehingga berjaya memperoleh sijil berkaitan bidang itu yang ia amat berguna untuk saya serta membolehkan pelanggan tidak was-was terhadap perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Nabilah berkata, golongan muda disaran memantapkan diri dengan ilmu kemahiran dan jangan menyesal sekiranya bekerja di luar dari bidang yang dipelajari.

"Ramai mengimpikan bekerja ikut bidang yang dipelajari tetapi jika sebaliknya jangan menyesal dan terus cari ilmu yang kita boleh manfaatkan kepada diri sendiri serta orang sekeliling," katanya.

Berita Harian X