Isnin, 15 April 2024 | 12:03pm
Munah menyediakan ayam masak buluh pada pagi Aidilfitri untuk dinikmati keluarga dan tetamu yang datang. - NSTP/Paya Linda Yahya
Munah menyediakan ayam masak buluh pada pagi Aidilfitri untuk dinikmati keluarga dan tetamu yang datang. - NSTP/Paya Linda Yahya

Ayam masak dalam buluh hidangan istimewa di Pos Brooke

GUA MUSANG: Bagi masyarakat Melayu, malam raya antara saat paling meriah apabila masing-masing sibuk menyediakan juadah untuk 1 Syawal.

Ketika itu hampir semua hidangan tradisi antaranya lemang, rendang juga ketupat mesti disiapkan sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun hal ini berbeza bagi masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di sini, apabila juadah istimewa hari raya mereka disediakan pada pagi Aidilfitri. Seawal pagi Aidilfitri, kaum ibu akan sibuk di dapur menyediakan hidangan ayam masak dalam buluh yang dibakar selama 30 minit.

Bagi Munah Angah, 45, walaupun perbelanjaan dapur agak terhad tetapi sebagai seorang ibu, dia tetap cuba menyediakan juadah istimewa ayam masak buluh untuk keluarganya.

Katanya, sambutan hari raya masih tetap meriah dan sedaya upaya akan menyediakan juadah istimewa itu.

"Tapi tidak semua keluarga di sini menyediakan hidangan ayam masak dalam buluh, sebaliknya ada juga menghidangkan kari ayam sebagai menu istimewa hari raya," katanya.

Munah Angah. - NSTP/Paya Linda Yahya
Munah Angah. - NSTP/Paya Linda Yahya

Munah yang tinggal di Kampung Mandrod, Pos Brooke, berkata, selain menu ayam masak buluh ada juga hidangan lain disajikan kepada tetamu, tetapi semuanya ala kadar sahaja.

Umumnya ia adalah hidangan yang menjadi makanan harian mereka iaitu ubi kayu, sayur-sayuran atau buah-buahan yang ditanam sendiri penduduk.

"Kalau ada wang lebih, barulah kami menyediakan biskut raya untuk hidangan kepada tetamu," katanya.

Tambahnya, saban tahun sambutan Aidilfitri baginya sekeluarga ala kadar, tetapi bermakna kerana disambut bersama-sama ahli keluarga. Mereka akan mengutamakan wang yang ada untuk kepentingan anak dan selalunya sambutan hari raya hanya dibuat secara sederhana. Jika hanya ada wang lebih katanya, barulah anak-anaknya merasa pakai pakaian baharu.

"Saya juga hanya akan pakai baju yang mana ada sahaja.

"Ada juga penduduk hanya memakai pakaian harian biasa pada hari raya kerana tidak mampu membeli pakai baharu, jadi mereka hanya berkain batik dan baju blaus sahaja," katanya.

Kata Munah, di Kampung Mandrod itu hanya separuh iaitu kira-kira 250 penduduk yang beragama Islam. Namun, sambutan Aidilfitri masih meriah dengan aktiviti kunjung mengunjung.

"Kebanyakan kami di sini adalah saudara mara dan akan saling mengunjungi untuk saling bermaaf-maafan," katanya.

Sementara itu bagi, Adah Angah, 48, Aidilfitri di perkampungan itu turut diraikan penduduk bukan beragama Islam.

"Disebabkan kebanyakan kami di sini adalah saudara mara, jadi kunjungan daripada penduduk bukan Islam bukanlah hal luar biasa.

"Lagipun kami sudah lama duduk bersama secara harmoni dan saling menghormati agama masing-masing," katanya.

Malah katanya, ketika penganjuran majlis berbuka puasa sempena Program Kampungku Bersih baru-baru ini, semua penduduk makan bersama ketika waktu berbuka.

"Kami juga bergotong-royong masak dan menyediakan makanan berbuka bersama-sama," katanya.

Berita Harian X