Isnin, 4 March 2024 | 8:07am
Nor Naeilah (kanan) berdepan pelbagai cabaran termasuk pernah terjatuh dari kapal tidak mematahkan semangat terus aktif dalam sukan pelayaran. - Foto ihsan Nor Naeilah
Nor Naeilah (kanan) berdepan pelbagai cabaran termasuk pernah terjatuh dari kapal tidak mematahkan semangat terus aktif dalam sukan pelayaran. - Foto ihsan Nor Naeilah

Kapal terbalik ketika pertandingan pelayaran solo

KUALA LUMPUR: Insiden kapal terbalik ketika menyertai pertandingan pelayaran solo pada usia 11 tahun menjadikan satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Bagaimanapun, insiden itu tidak melunturkan semangat Nor Naeilah Nor Hassan, kini pada usia 26 tahun dia sudah bergelar jurulatih sukan pelayaran di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Mengimbas detik bersejarah itu, anak bongsu empat beradik itu berkata, dia mula menyertai sukan pelayaran ketika berusia 10 tahun.

Berjinak-jinak dengan sukan itu selepas tertarik melihat bapanya yang juga jurulatih sukan itu menjalani latihan.

"Ketika berusia 11 tahun saya berpeluang menyertai pertandingan di Melaka dan ketika itu berlaku insiden kapal layar terbalik di tengah lautan akibat angin kuat secara tiba-tiba.

"Saya bernasib baik kerana terbalik ketika saya dalam perjalanan pulang ke darat selepas tamat pertandingan.

"Ketika itu memang tiada sesiapa nampak dan saya dalam keadaan sendirian dan ketakutan sambil menangis berjaya naik semula kapal itu dan selamat tiba di darat," katanya.

Tiang layar patah

Selain insiden itu, dia juga pernah mengalami kejadian tiang layar patah ketika belayar hingga menyebabkan kepalanya luka dan trauma seketika.

Namun, semua insiden itu tidak mematahkan semangat terus aktif dalam sukan itu sehingga tamat pengajian sekolah menengah.

Nor Naeilah sebagai jurulatih sukan pelayaran kepada pelajar UMT.
Nor Naeilah sebagai jurulatih sukan pelayaran kepada pelajar UMT.

Ketika berusia 18 tahun, dia berpeluang menyertai pasukan sukan pelayaran Malaysia dan menyertai kejohanan di Pulau Langkawi.

"Pada 2019, saya mengikut keluarga berpindah ke Johor dan berpeluang menjadi jurulatih sukan layar untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, di Johor.

"Bagaimanapun, akibat pandemik COVID-19, sukan itu dibatalkan," katanya mula menjadi jurulatih di UMT, sejak September 2021.

Pemegang Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis, berkata latihan yang lebih kerap dalam pelbagai aspek perlu mendalami sebelum boleh bergelar pelayar mahir.

"Minat tinggi dalam aktiviti ini penting kerana tidak semua orang berpeluang menyertai sukan ini," katanya.

Penting komunikasi ahli pasukan

Oleh kerana ia sukan berpasukan, komunikasi yang baik sesama pasukan amat penting terutama ketika dalam pertandingan.

Nor Naeilah (dua dari kiri) bersama pasukannya memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk berdepan pelbagai situasi termasuk bencana alam semula jadi ketika menyertai sukan pelayaran. - Foto ihsan Nor Aaeilah
Nor Naeilah (dua dari kiri) bersama pasukannya memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk berdepan pelbagai situasi termasuk bencana alam semula jadi ketika menyertai sukan pelayaran. - Foto ihsan Nor Aaeilah

Nor Naeilah.
Nor Naeilah.

Dia pernah berhadapan dengan situasi ahli pasukan tidak beri kerjasama hingga menyebabkan berlaku perbalahan kerana salah strategi.

"Memerlukan mental yang kuat kerana perlu berhadapan dengan pelbagai situasi terutama bencana alam semula jadi yang tidak dijangka.

"Namun, jika mental kuat apa juga cabaran yang ada di hadapan akan mudah dihadapi tanpa sebarang masalah terutama sekali ketakutan terhadap sukan air," katanya berharap ramai anak muda terbabit dalam sukan ini.

"Sebagai seorang yang berpengalaman saya dapat lihat mana-mana pelajar yang suka dan tidak suka dalam sukan ini.

"Bagi yang suka, mereka sangat teruja, ada menghubungi saya tidak sabar mahu berlatih walaupun sedang cuti semester," katanya.

Berita Harian X