Sabtu, 24 Februari 2024 | 9:44am
Wanita boleh lebih berdaya saing dengan melihat bagaimana kerangka teknologi berkenaan dapat membantu dari sudut pekerjaan, pencarian ilmu serta untuk kegunaan harian. - Foto hiasan
Wanita boleh lebih berdaya saing dengan melihat bagaimana kerangka teknologi berkenaan dapat membantu dari sudut pekerjaan, pencarian ilmu serta untuk kegunaan harian. - Foto hiasan

Wanita boleh manfaatkan kelebihan teknologi AI untuk lebih berdaya saing

KUALA LUMPUR: Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian banyak membantu memudahkan urusan harian termasuk meningkatkan daya saing dalam kalangan wanita.

Serentak itu, bagi memastikan golongan wanita lebih berdaya saing dan seharusnya cuba melihat bagaimana kerangka teknologi berkenaan dapat membantu dari sudut pekerjaan, pencarian ilmu serta untuk kegunaan harian.

Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Prof Datuk Dr Madeline Berma, berkata IA akan meninggalkan kesan positif dan negatif kepada pekerja dalam sektor pekerjaan tanpa mengira gender.

Katanya, kajian menunjukkan AI akan mengubah cara bekerja tetapi bukan menggantikan pekerja.

Madeline Berma
Madeline Berma

"Dari segi positif, IA dapat mengurangkan kos operasi, memudah, mempercepat dan meningkatkan produktiviti pekerja. Ia juga menambahbaik membuat keputusan dan analitik ramalan dan meningkatkan keselamatan.

"Dalam pada itu, teknologi semua pekerja termasuk wanita perlu perlu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran baharu untuk memanfaatkan AI, selain mewujudkan lebih banyak peluang baharu, namun tidak seharusnya disalah guna hingga memberi ancaman kepada diri," katanya.

Pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zuriati Ahmad Zukarnain, berkata setiap individu perlu mengambil peluang memanfaatkan teknologi AI.

"Wanita sama ada berkerjaya atau ibu yang banyak mengurus keluarga, sistem AI ini sudah pasti akan banyak membantu terutama dalam menjalani rutin kehidupan seharian.

"Sebagai contoh untuk ke sesuatu tempat, penggunaan aplikasi Waze atau Google Maps sebagai penunjuk arah sudah pasti dapat membantu memudah dan mempercepatkan rutin kehidupan seharian.

"Penggunaan ChatGPT turut membantu memudahkan dokumentasi kerana ia dapat memberikan maklumat lebih lengkap berikutan kecerdasan algorithm digunakan.

Zuriati Ahmad Zukarnain.
Zuriati Ahmad Zukarnain.

Justeru, wanita perlu sentiasa cakna dengan teknologi terkini supaya tidak ketinggalan dan berpengetahuan dan mahir menggunakannya teknologi itu.

"Pengetahuan dan kemahiran sangat penting dalam memastikan diri mereka tidak terdedah kepada sebarang bentuk ancaman.

"Ambil peluang yang ada iaitu sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan teknologi supaya tidak ketinggalan.

Kebaikan AI

Jelasnya, teknologi AI sebenarnya mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding keburukan jika pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi.

Ini kerana katanya, ada segelintir orang yang takut dengan teknologi terkini kerana merasakan ia sebagai ancaman kepada mereka.

"Jika tiada kesedaran sudah pasti kita akan ketinggalan. Jika kita sudah tahu mengenainya, sudah pasti kita bersedia untuk memahami dan menggunakannya.

"Oleh itu, wanita perlu mempunyai kesedaran dan sentiasa bersedia menghadapi apa juga teknologi sedia ada dan akan mendatang," katanya.

Apabila ditanya tahap kesedaran rakyat Malaysia terutama wanita di negara ini, teknologi AI ini sudah semakin luas.

Ramai wanita sudah bijak menggunakan pelbagai aplikasi yang pintar dalam pelbagai sudut sekali gus membantu mereka lebih berdaya saing.

"Apabila ada aplikasi baharu muncul, mereka mula menggunakannya, secara tidak langsung tanpa mengira sesiapa pasti menggunakannya jika ada keperluan.

"Ini kerana, aplikasi itu kegunaan di tempat kerja, rumah dan kerja seharian," katanya.

Berita Harian X