Jumaat, 16 Februari 2024 | 2:50pm
Foto hiasan. Fail NSTP
Foto hiasan. Fail NSTP

Kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan masih jauh ketinggalan berbanding lelaki

KUALA LUMPUR: Kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding tenaga buruh lelaki, walaupun ia menampakkan trend peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presiden The Muslim World Women's Summit, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata sehingga Jun tahun lalu, 56.3 peratus wanita memasuki sektor pekerjaan berbanding 55.5 peratus pada 2020 dan 55.9 peratus tahun lalu.

"Jika dibandingkan dengan kadar penyertaan tenaga buruh lelaki yang berada pada kadar 82.9 peratus, wanita masih jauh ketinggalan.

Malah, kadar penyertaan tenaga buruh wanita negara juga jauh lebih rendah berbanding dengan negara serantau.

"Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2022, Malaysia berada di tangga ke lapan daripada 10 negara ASEAN, seperti Laos 74.8 peratus, Kemboja 74.0 peratus, Vietnam 69.6 peratus, Singapura (59.4 peratus) dan Thailand (59 peratus)," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Muslim World Rania Dr Laila Rani Raja Mohamad Abdullah.

Justeru, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berkata kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan golongan hawa dalam pekerjaan antaranya melanjutkan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 Disember 2027 dan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak.

"Melihat kepada inisiatif itu, kerajaan menetapkan sasaran penyertaan tenaga kerja wanita dalam pelbagai sektor di negara ini perlu ditingkatkan kepada 60 peratus menjelang tahun ini," katanya.

Beliau berkata, satu sidang kemuncak 'The Muslim World Women's Summit 2024' akan diadakan pada 23 Februari ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi menghimpunkan golongan wanita dari seluruh dunia untuk meneroka potensi baharu dalam memacu kemajuan sosial dan ekonomi.

Bertemakan 'The Powerful Women Next Generation Vanguard of Feminine Power, sidang kemuncak kali ini akan disertai 57 negara dengan jangkaan pembabitan 15,000 peserta. - BERNAMA

Berita Harian X