Sabtu, 3 Februari 2024 | 8:08am
Dasar standard perlu ditetapkan pihak berkuasa terhadap hala tuju industri spa, elak tawar kegiatan diharamkan. - Foto hiasan
Dasar standard perlu ditetapkan pihak berkuasa terhadap hala tuju industri spa, elak tawar kegiatan diharamkan. - Foto hiasan

AMSPA gesa penguatkuasaan ketat, menyeluruh kesan spa haram

KUALA LUMPUR: Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) menggesa pihak berkuasa tempatan melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat dan menyeluruh untuk mengesan premis yang menjalankan kegiatan haram di sebalik nama spa kerana boleh mencalarkan imej industri berkenaan.

Presidennya, Hana Halim, berkata pihak mahu suatu dasar standard ditetapkan pihak berkuasa mengenai hala tuju industri spa di negara ini.

Ini kerana, katanya wujudnya keperluan mendesak untuk membezakan pengendali spa yang sah dan yang menjalankan aktiviti haram.

"Syarat kelulusan lesen yang lebih khusus daripada pihak berkuasa tempatan juga diperlukan untuk membersihkan sebarang persepsi buruk mengenai industri spa, berdasarkan perkembangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Industri spa dan kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), yang melaksanakan sistem penarafan rasmi bersama dengan akreditasi berasingan untuk kemudahan bersifat mesra Muslim.

"Kita seharusnya dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mewujudkan sistem bagi menapis dan memantau premis berdaftar.

"Dengan ini ia dapat melindungi dan memelihara imej industri spa daripada tercalit persepsi negatif berikutan ada premis berkaitan menjalankan kegiatan haram," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kesediaan Kementerian Wilayah Persekutuan membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut, jika ada keperluan berbuat demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam berkata,  agensi berkaitan akan menyediakan data berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baharu perniagaan spa, refleksologi dan urutan, bermula Khamis lalu.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman dilaporkan berkata, semua pembekuan permohonan lesen perniagaan berisiko tinggi dan sensitif itu adalah secara menyeluruh bagi permohonan di rumah kedai, bangunan hotel dan kompleks perniagaan atau beli-belah dalam kawasan MBJB.

Berita Harian X