Jumaat, 2 Februari 2024 | 10:44am
Nenek dari Tambunan dedah rahsia amalan pemakanan sihat buat dirinya mampu capai usia 100 tahun. - NSTP/Johary Indan.
Nenek dari Tambunan dedah rahsia amalan pemakanan sihat buat dirinya mampu capai usia 100 tahun. - NSTP/Johary Indan.

Makan nasi putih 'dibanjiri' air, petua nenek kekal sihat hingga cecah usia 100 tahun

KOTA KINABALU: Seorang nenek tua mendedahkan rahsia kekal sihat hingga mampu mencapai usia 100 tahun dengan hanya mengamalkan pemakanan sihat.

Kisah itu dikongsi nenek itu menerusi satu video pendek berdurasi 39 saat yang tular di media sosial.

Berdasarkan video itu, warga emas dikenali Tokoyop Kombilung kelihatan sihat dan ceria menceritakan kisah hidupnya kepada orang ramai dalam bahasa Kadazandusun menggunakan alat pembesar suara pada satu majlis keramaian dipercayai di Tambunan.

@anayleda94 Andayoyong mantad di gama (Tokoyop Kombilung). Andayoyong nopo diti nga iso kawo hiis (puisi) tinungkusan tulun #kadazandusun . Andayoyong ini adalah salah satu puisi warisan masyarakat Kadazandusun. #dusunsabahan #grandma #puisi #warisan #sabahan #foryou #fyp original sound - DilynAdel

Sepanjang tempoh bercerita, nenek itu tidak lekang daripada senyum dan ketawa menjadikan hadirin yang mendengar kisahnya rasa ceria dan terhibur.

Beliau turut menerima sorakan hadirin yang mendengar kisah hidup yang disampaikan.

"Ada yang bertanya apa rahsia menjadi amalan saya sehingga kekal sihat dan berupaya hidup lama menjangkau usia hampir 100 tahun.

"Sebenarnya, tiada apa rahsia menyebabkan saya masih sihat dan panjang umur," katanya.

Warga emas yang mengenakan baju berwarna biru dan bertutup kepala dalam video itu mendedahkan hanya menjaga pemakanan sepanjang kehidupannya menjadikan dirinya kekal sihat.

"Ada yang tanya apa yang saya makan. Sebenarnya, jika saya ingin makan masakan bergoreng, saya akan buat cara itu.

"Jika tidak larat, saya ambil nasi putih, tuang air dan makan.

"Itulah yang saya lakukan," katanya yang menerima panggilan Gama dalam bahasa Dusun atau emak dalam Melayu.

Nenek itu turut berpuisi dalam bahasa Kadazandusun untuk menghibur pendengar, sambil sekali sekala kelihatan mengesat air mata.

Berita Harian X