Jumaat, 26 Januari 2024 | 8:12am
Noraini (kanan) menunjukkan hasil madu kelulut kepada penduduk kampung di Sedeli. - Foto ihsan UMT
Noraini (kanan) menunjukkan hasil madu kelulut kepada penduduk kampung di Sedeli. - Foto ihsan UMT

Madu kelulut bantu suri rumah jana pendapatan lumayan

KOTA TINGGI: Wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal digalakkan menceburi bidang ternakan lebah kelulut kerana industri itu berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan dan mampu meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Penternakan madu kelulut juga boleh menyokong produk hiliran dengan menghasilkan sabun, gel balm, kosmetik, bar tenaga, kopi kelulut, gula-gula dan coklat.

Umpamanya, pengusaha madu kelulut, Noraini Othman, 53, kini menarik nafas lega apabila terbabit dalam industri itu yang menjadi pencetus perubahan keluarganya.

Katanya, hasil jualan perusahaan produk madu kelulut diusahakannya mencecah RM1,500 sebulan dan secara tidak langsung berjaya mengubah taraf ekonominya.

Pembabitannya bermula selepas tertarik dengan seorang penjual madu kelulut yang memperkenalkan produk hiliran beberapa tahun lalu.

"Selepas itu terdetik dalam fikiran untuk mengetahui lanjut berkaitan madu lebah kelulut dan cara penternakannya.

"Kemudian anak sulung saya pula hadiahkan blok koloni lebah kelulut untuk saya berjinak-jinak dalam penternakan madu kelulut.

"Saya juga mengikuti program pemindahan ilmu disediakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkaitan penternakan lebah kelulut.

"Kini, bermula dengan jumlah bongkah sarang yang sedikit, akhirnya sekarang sudah wujud sekumpulan komuniti di Kampung Sedili, Kota Tinggi yang mengusahakan penternakan lebah madu kelulut.

"Walaupun hanya orang kampung, hasil ilmu yang dipindahkan oleh penyelidik UMT menjadikan kami sebagai pengusaha madu kelulut yang berjaya.

Wajar luaskan program pemindahan ilmu

Noraini berkata, penternakan lebah kelulut sangat mudah, iaitu hanya beri makan dan menjaga kebersihan kawasan sekitar.

Noraini memeriksa penternakan madu kelulut yang diusahakan bagi menjana pendapatan keluarga. - Foto ihsan UMT
Noraini memeriksa penternakan madu kelulut yang diusahakan bagi menjana pendapatan keluarga. - Foto ihsan UMT

"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menambahkan lagi blok koloni kelulut kerana ia tidak memerlukan modal yang besar.

Justeru, katanya program pemindahan ilmu oleh UMT perlu diperluaskan supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

"Saya memuji pihak UMT atas usaha dan pendekatan yang dilakukan dalam membantu golongan sepertinya. Kursus yang dianjurkan mudah difahami dan diterjemahkan secara terus melalui bongkah koloni yang disediakan. Ia sangat memudahkan.

"Kami hanya penduduk kampung yang jauh dari bandar besar. Pertanian kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan utama dan yakin akan lebih ramai pihak akan mendapat manfaatnya," katanya.

Sementara itu, pakar lebah kelulut, Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak, berkata madu mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan dalam penjagaan kesihatan juga rawatan penyakit.

Antara peserta yang mengikuti program pemindahan ilmu berkaitan industri penternakan madu kelulut. - Foto ihsan UMT
Antara peserta yang mengikuti program pemindahan ilmu berkaitan industri penternakan madu kelulut. - Foto ihsan UMT

"Madu lebah kelulut mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding madu lebah biasa.

"Ia mempunyai antioksida berfungsi mencegah aktiviti radikal yang boleh menyebabkan keradangan serta rendah indeks glisemik (GI) dan tinggi kandungan gula 'trehalulosa' bermanfaat kepada kesihatan," katanya.

Berita Harian X