Khamis, 25 Januari 2024 | 11:53am
Dhan Illiani giat berlatih wakil negara ke Sukan SEA, selain kini sertai pameran seni di Balai Seni Negara.
Dhan Illiani giat berlatih wakil negara ke Sukan SEA, selain kini sertai pameran seni di Balai Seni Negara.

Wanita tangkas di gelanggang hoki ais, juga kreatif jadi seniman multidispilin

KUALA LUMPUR: Mempunyai dua minat dalam bidang berbeza bukan semua orang boleh melakukannya, namun untuk memberi tumpuan kepada kedua-duanya secara serentak, juga bukan sesuatu yang mudah.

Namun, bagi Dhan Illiani Yusof, minat yang begitu tinggi sebagai pengkarya multidisiplin dan pemain hoki ais mampu dilaksanakan dengan baik.

Malah, wanita berusia 27 tahun itu bakal mewakili negara ke Sukan SEA (hoki ais), pada 2025 dan, kini sedang giat menjalani latihan.

Pada masa sama, buat kali pertama, beliau yang sudah 10 tahun dalam bidang seni ini, sekarang sedang mengadakan Pameran Hanya Satu ke-6: Niyat, yang berlangsung di Balai Seni Negara, sehingga 19 Februari depan.

Mengenai tema pameran itu, Niyat diambil daripada frasa niat dalam bahasa Melayu dan 'Niyyah' dalam bahasa Arab.

Pengkarya multidisiplin muda, Dhan Illiani (dua dari kiri) bersama beberapa rakan pasukan hoki ais kebangsaan di hadapan karya uniknya pada Pameran Hanya Satu ke-6: Niyat di Balai Seni Negara. - NSTP/Amirudin Sahib
Pengkarya multidisiplin muda, Dhan Illiani (dua dari kiri) bersama beberapa rakan pasukan hoki ais kebangsaan di hadapan karya uniknya pada Pameran Hanya Satu ke-6: Niyat di Balai Seni Negara. - NSTP/Amirudin Sahib

Pameran unik itu menampilkan pemaparan dilema dan etika di dalam tujuh sisi Niyat, disulami naratif visual yang pastinya berlainan bagi setiap pengunjung.

Karya seninya itu mengetengahkan sukan hoki ais diinspirasikan daripada pelbagai reaksi, tanggapan dan pandangan masyarakat terhadap sukan itu yang membabitkan wanita muda.

"Melihatkan kedua-dua bidang ini penting dalam hidup saya. Jadi saya gabungkan sukan hoki ais dalam karya yang dipamerkan ini.

"Saya suka melakukan banyak perkara dalam satu masa, maka terhasil Niyat, iaitu gabungan seni dan sukan yang lahir daripada ilham saya sendiri

"Pameran ini juga merangkumi seni tekstil, seni persembahan, seni video dan macam-macam gabungan lagi," katanya ditemui selepas majlis preview di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Ditanya bagaimana mampu memberi tumpuan serentak dua bidang ini yang memerlukan komitmen tinggi, anak bongsu tiga beradik itu, berkata perkara utama adalah mesti minat dan bijak membahagikan masa.

"Saya melukis sejak berusia 15 tahun. Sebagai pengkarya multidisiplin dan ada pameran seni yang sedang berlangsung ini, jadi tumpuan sama banyak juga perlu diberikan untuk sukan hoki ais.

"Sebagai pemain hoki ais kebangsaan wanita dan mewakili negara ke Sukan SEA tahun depan pula, saya perlu tangkas dan berlatih bersungguh-sungguh dalam usaha mengharumkan nama negara.

Dhan Illiani mahu mengharumkan nama negara di pentas dunia menerusi sukan hoki ais.
Dhan Illiani mahu mengharumkan nama negara di pentas dunia menerusi sukan hoki ais.

Pemegang Diploma Fesyen berkata, beberapa tahun lalu beliau pernah mengikuti Projek Rabak dalam pameran di Jakarta dan Jogjakarta, Indonesia selama sebulan.

Beliau bersyukur kerana berpeluang mempamerkan karyanya meliputi seni persembahan, fotografi, potret, seni visual dan pelbagai lagi di negara terbabit.

"Sekarang saya juga tidak menjangka diberi peluang oleh Balai Seni Negara dan kolektif tempatan KolmeGlu untuk mengadakan pameran secara formal hasil karya ini.

Mahu harumkan nama negara menerusi hoki ais

Dhan Illiani (duduk kiri) bersama pasukannya di Kejohanan Hoki Ais Wanita Bangkok. - Foto IG Dhan Illiani
Dhan Illiani (duduk kiri) bersama pasukannya di Kejohanan Hoki Ais Wanita Bangkok. - Foto IG Dhan Illiani

Dhan Illiani tangkas di gelanggang, bakal mewakili negara untuk acara hoki ais di Sukan SEA 2025. - Foto ihsan Dhan Illiani
Dhan Illiani tangkas di gelanggang, bakal mewakili negara untuk acara hoki ais di Sukan SEA 2025. - Foto ihsan Dhan Illiani

Mengenai pembabitan sebagai pemain hoki ais, Dhan Illiani berkata, beliau sudah didedahkan dengan sukan balet ketika berusia 10 tahun.

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia bertemu dengan komuniti luncur ais dan menjadi aktif sehingga didedahkan kepada sukan hoki ais.

Akuinya, sukan hoki ais bukan sukan yang mudah, disebabkan sukakan cabaran, beliau berusaha sebaik mungkin sehingga berpeluang mewakili negara ke Sukan SEA itu.

"Pasukan kami pernah menjadi juara Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran Asia, pada 2018 selepas berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Ada banyak peluang menyertai pelbagai kejohanan itu di luar negara, tetapi akibat kekangan dana, kami akur," katanya berharap mendapat sokongan pihak penganjur mendapatkan dana untuk pasukannya terus maju bagi mengharumkan nama negara," katanya.

Niyat suatu gabungan seni dan sukan oleh Dhan llliani. - NSTP/Amirudin Sahib
Niyat suatu gabungan seni dan sukan oleh Dhan llliani. - NSTP/Amirudin Sahib

Berita Harian X