Ahad, 14 Januari 2024 | 1:07pm
Kempen pengagihan makanan Hunger Hurts untuk komuniti dan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Lembah Klang melalui projek ‘One Meal’, ‘Feed A Kid’ dan ‘Projek Sekolah’.
Kempen pengagihan makanan Hunger Hurts untuk komuniti dan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Lembah Klang melalui projek ‘One Meal’, ‘Feed A Kid’ dan ‘Projek Sekolah’.

2 pemenang bertuah berpeluang dapat tiket VIP tonton konsert Taylor Swift

KUALA LUMPUR: Dua individu bertuah yang menyertai program amal 'RaiseTogether' berpeluang memenangi tiket VIP menonton jelajah 'The Eras Tour' Taylor Swift di Stadium Nasional Singapura, pada 8 Mac depan.

Pemenang akan merasai sendiri pengalaman keemasan menonton konsert artis popular berkenaan di tempat duduk bersebelahan pentas berharga RM16,000 dan keseluruhan nilai hadiahnya itu menjangkaui hingga RM25,000.

Kali ini pengurus kempen amal negara, RaiseTogether bekerjasama dengan Hunger Hurts Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RaiseTogether, Adam Khalid, berkata kempen untuk acara amal itu bermula semalam, hingga 18 Februari dan pemenang akan diumumkan pada 23 Februari depan.

Katanya, sejak dari dulu, pihaknya menerapkan kepentingan untuk sentiasa menghulurkan tangan, meringankan beban komuniti terdekat dan terus berjuang untuk tujuan yang murni.

"Kempen ini adalah cara menyeronokkan dan juga bermakna untuk memberi sumbangan buat masyarakat Malaysia yang tersisih, menghadapi kesulitan kewangan dan ketidakcukupan makanan.

"Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan badan Kebajikan seperti Hunger Hurts Malaysia yang aktif membawa perubahan terhadap komuniti kurang bernasib baik.

"Kami berharap usaha kolektif kutipan dana mampu meneruskan program khidmat makanan dan memperkasakan rakan kongsi kebajikan untuk membantu lebih ramai komuniti memerlukan," katanya dalam kenyataan.

Menurut Adam, seratus peratus keuntungan bersih daripada kempen itu akan disalurkan kepada kempen pengagihan makanan Hunger Hurts untuk komuniti dan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Lembah Klang melalui projek 'One Meal', 'Feed A Kid' dan 'Projek Sekolah'.

Mengulas lanjut mengenai peluang menang tiket VIP, beliau berkata kedua pemenang itu juga akan diberikan tiket penerbangan percuma dari mana saja destinasi negara ini berserta penginapan dua hari satu malam.

"Pengalaman VIP bernilai hingga RM25,000 itu merangkumi set ekslusif VIP Taylor Swift termasuk empat cetakan, beg tote, pin, set stiker dan poskad, dan cenderahati tiket konsert.

"Hadiah sagu hati turut ditawarkan iaitu dua tiket 'General Admission' ke konsert sama, berserta tiket penerbangan dan penginapan," katanya.

Pemenang bertuah kempen sebelum ini ialah peminat setia Coldplay, Amirul dan Ana yang terlepas peluang mendapatkan tiket, yang membawa kepada penyertaan dalam kempen Symphony of Giving: Catch Coldplay Life in KL oleh RaiseTogether.

Sejak penubuhannya pada 2016, Hunger Hurts Malaysia membantu lebih 10,000 penerima di seluruh Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Seremban dan Sabah.

Program 'One Meal' mereka yang berlangsung sepanjang kempen RaiseTogether akan turut menyokong perniagaan kecil makanan dan minuman (F&B) yang dimiliki dan dikendalikan individu B40 yang akan mengedarkan sajian panas kepada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Lembah Klang.

Mereka turut memperkenalkan inisiatif baharu seperti 'Projek Sekolah' yang bertujuan memenuhi senarai keperluan pendidikan sekolah awam dan pelajar di samping menjalankan program seperti 'Feed A Kid' dengan fokus untuk membasmi malnutrisi kanak-kanak.

RaiseTogether menampilkan badan amal yang membawa impak positif terhadap komuniti mereka.

Kempen pengumpulan dana RaiseTogether sebelum ini bekerjasama dengan Hopes Malaysia, yang menyalurkan air bersih ke lebih 74 kampung terpencil dan luar bandar di Kota Belud, Sabah.

Berita Harian X