Selasa, 9 Januari 2024 | 7:39am
Elakkan terlalu banyak warna dalam satu gubahan bunga bagi menjadikan jambangannya sempurna dan tidak berserabut. - Foto hiasan
Elakkan terlalu banyak warna dalam satu gubahan bunga bagi menjadikan jambangannya sempurna dan tidak berserabut. - Foto hiasan

Bunga serikan ruang rumah, ikuti cara mudah mengubahnya

Gubahan bunga yang cantik dan tersusun indah bukan saja menaikkan seri kediaman, tetapi juga memaparkan keperibadian dan cita rasa penghuninya.

Bunga mempunyai kuasa besar menyerikan suasana sesebuah ruang.

Pemilihan dan padanan warna, corak susunan dan saiz gubahan akan membuat rumah tampak lebih segar, bermaya, terutama jika menggunakan bunga segar.

Namun, masih ramai juga wanita suka bunga tiruan kerana lebih menjimatkan, mudah dijaga dan tahan lama.

Anda boleh membeli gubahan siap atau mengupah orang menggubahnya, tetapi harganya agak mahal.

Sebenarnya tidak susah menggubah. Paling penting, perlu tahu peraturan dan keperluan asas seperti tujuan gubahan, ukuran sesuai, jenis bunga, gaya serta keakraban gandingan warna bunga pilihan.

Cara anda menggubah sama ada bunga diletak sekelompok atau bercerai menggambarkan idea dan mood anda.

Tiada syarat khas untuk menggubah kerana ia bergantung kepada cita rasa setiap orang.

Bunga berwarna putih, merah samar, kuning cair atau kekuningan paling sesuai untuk melengkapkan gaya dalam ruang yang gelap atau bercat terang.

Elak menggunakan terlalu banyak warna bunga dalam satu gubahan kerana ia akan membuatkan jambangan tampak sarat, berserabut dan `tenggelam'.

Justeru, bagi wanita yang gemar mengubah bunga, boleh melakukan dengan sempurna jika tahu kaedah dan pemilihan bunga.

Ambil kira saiz ruang kediaman

Sebelum menggubah, ambil kira warna ruang di rumah seperti perabot, sofa dan dinding. Bunga berwarna ceria mampu menaikkan seri rumah.

Pemilihan pasu sesuai juga penting dengan jenis dan tujuan gubahan. Jika untuk suasana romantik, boleh gunakan pasu kurus tinggi tetapi pasu jenis ini tidak sesuai untuk makan malam keluarga atau keramaian.

Sebaliknya, untuk majlis yang membabitkan ramai tetamu, pilih pasu sesuai untuk jambangan rendang, sama ada ia digubah untuk diletak di bahagian sudut atau tengah ruang.

Kini ada pelbagai jenis dan bentuk pasu ada di pasaran. Pasti ada yang sesuai dengan gaya yang dikehendaki.

Jika merancang majlis tidak formal, boleh gunakan bakul sebagai ganti pasu. Pilihan bunga, terpulang kepada anda. Bagi majlis seumpama ini, sebaiknya buat gubahan yang rendah, berukuran sederhana (elak daripada gubahan terlalu besar), pilih bunga berwarna ceria dan paling penting; gubahan mestilah ringkas tetapi menarik.

Jika menghias menggunakan bunga segar, pastikan menukar airnya setiap hari bagi memanjangkan hayat bunga.

Kerat secara menyerong hujung batang supaya ia sentiasa segar. Buang daun yang terendam dalam air kerana ia mudah reput dan merosakkan bahagian lain.

Bunga yang perlu dielakkan

Bunga jenis keladi

Getahnya jika terkena kulit akan membuatkan rasa gatal dan tidak selesa. Bunga berdebunga kerana dikhuatiri ada tetamu yang alah debunga dan menimbulkan ketidakselesaan kepadanya. Lagipun ia penting untuk mengelakkan debunga daripada berterbangan dan jatuh ke dalam makanan.

Bunga kering untuk meja makan

Daun paku pakis berspora. Jika menggunakan daun paku pakis, periksa bahagian belakang daun. Pastikan ia bebas dari spora.

Elak menghias meja makan dengan jambangan tinggi atau terlalu besar dan menghalang pandangan tetamu.

Pilihan Bunga

Paling mudah, pilihlah bunga daripada warna pastel atau krim kerana ia mudah dipadankan dengan apa saja konsep selain mampu membangkitkan suasana tenang dan harmoni.

Sebelum menghias pastikan tahu peraturan dan keperluan asas seperti tujuan gubahan, ukuran sesuai, jenis bunga, gaya serta gandingan warna bunga pilihan.

Gabungan jenis dan warna serta susunan bunga harusnya selari dengan konsep kediaman kerana jalinan antara konsep dan idea pastinya menghasilkan jambangan bunga lebih eksklusif dan bermakna.

Bagi ruang gelap atau bercat terang, bunga berwarna putih, kuning cair, merah samar adalah sesuai.

Elakkan menggunakan terlalu banyak warna dalam satu gubahan kerana ia akan membuatkan jambangan berserabut dan tenggelam.

Sebelum menggubah, ambil kira warna ruang di kediaman seperti perabot, sofa dan dinding kerana jika tersalah memilih akan membuatkan ruang kecil bertambah sempit dan berserabut.

Bagi majlis yang tidak formal atau separa formal, bakul boleh digunakan sebagai menggantikan vas dan gubahan sebaiknya adalah rendah dengan pilihan warna bunga yang ceria. Paling penting gubahan ringkas tetapi menarik.

Berita Harian X