Jumaat, 22 Disember 2023 | 10:49am
Hanisah tekun menyiapkan tenunan songket di sebuah bengkel di Kampung Penambang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Hanisah tekun menyiapkan tenunan songket di sebuah bengkel di Kampung Penambang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Hanisah mahu kekalkan pembuatan songket tenun secara tradisional

bhnews@@bh.com.my

KOTA BHARU: Warga emas berusia lebih separuh abad menghabiskan masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk menyiapkan tenunan songket di sebuah bengkel di Kampung Penambang.

Lebih menarik, Hanisah Abdul Rahman, 75, masih mempunyai penglihatan cukup baik tanpa memakai cermin mata untuk memasukkan benang sulaman di setiap ira kain yang ditenun.

Menurut Hanisah, dia mahu terus mengekalkan pembuatan songket tenun secara tradisional kerana warisan berkenaan perlu dipelihara selain masih ada permintaan.

"Saya belajar membuat songket ketika usia 17 tahun dengan arwah ibu, Fatimah Musa. Bagaimanapun, sejak lima tahun lalu saya meneruskannya dengan mengambil upah menenun songket di sebuah butik yang menjual pelbagai jenis songket serta batik di Kampung Penambang.

"Pekerjaan sebagai penenun songket tradisional bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi semangat cintakan tradisi mendorong saya meneruskannya dan walaupun upah diperoleh tidak seberapa, minat mengatasi segala-galanya," katanya ketika ditemui di Kampung Penambang.

Ibu kepada empat anak dan nenek 15 cucu ini berkata, setiap songket yang ditenun mengambil masa antara 10 hingga 14 hari bergantung kepada corak dan panjang kain.

"Memang prosesnya agak lama kerana ia kerja tangan sepenuhnya, bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun.

"Kebiasaannya corak ditenun berdasarkan permintaan pelanggan dan bagi memudahkannya, pemilik butik akan membuat corak dan saya hanya menenun mengikut corak diberi.

"Kerja penenunan songket ini membabitkan proses rumit serta memerlukan kepakaran, minat dan kesabaran tinggi," katanya.

Katanya, dengan ilmu serta kemahiran yang ada, dia tidak kisah untuk mengajar sesiapa sahaja berminat.

"Untuk belajar menenun songket, ciri yang perlu ada adalah minat, kesabaran dan kesungguhan.

"Bagaimanapun, tidak semua orang ada ciri seperti ini terutama orang muda sedangkan generasi belia patut meneruskan perjuangan supaya songket terus dimartabatkan," katanya.

Berita Harian X