Rabu, 13 Disember 2023 | 8:38am
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri (empat, kiri) bergambar bersama para pegawai tertinggi agensi media sambil memegang poster ‘Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual’ pada Majlis Malam Media KPWKM 2023 di Hampsire malam tadi.Turut sama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin (tiga, kiri). - Foto BERNAMA

Program advokasi Anti Gangguan Seksual terima lebih 25,000 penyertaan

KUALA LUMPUR: Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Anti Gangguan Seksual (AGS) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima 25,251 penyertaan sepanjang penganjurannya tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata rekod penyertaan menerusi 65 program yang dianjurkan selaras Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang mula dikuatkuasakan secara berperingkat pada 28 Mac lalu itu, begitu memberangsangkan.

"Gangguan seksual adalah jenayah yang boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga keluarga dan persekitaran serta boleh menjejaskan produktiviti sesebuah organisasi yang mengakibatkan negara kehilangan bakat berpotensi," katanya selepas merasmikan Malam Media KWKPM, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Nancy menyerahkan lebih 50 notis AGS kepada wakil ketua jabatan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nurul Afida Kamaludin.

 Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) menyampaikan poster ‘Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual’ kepada Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin (kiri) pada Majlis Malam Media KPWKM 2023 di Hampsire malam tadi. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, pelaksanaan program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi AGS itu juga selaras dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, yang turut mewajibkan majikan mempamerkan notis mengenai gangguan seksual di tempat kerja.

Beliau berkata, program AGS yang diadakan di seluruh negara bertujuan memberikan pendedahan, menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan perkhidmatan psikososial KPWKM serta menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada masyarakat.

Menurut Nancy advokasi AGS KWPKM itu perlu dikongsikan secara meluas kepada masyarakat sebagai langkah memperingatkan antara satu sama lain.

Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 sebelum dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu.- BERNAMA

Berita Harian X