Sabtu, 2 Disember 2023 | 9:32am
Dari kanan Mohd Azaruriduwan, Nurul Nadira, Mohamad Amirul dan Mohamad bersama seorang pekerja mereka di kebun Tembikai Boci diusahakan mereka di Felda Chiku 2, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda Yahya
Dari kanan Mohd Azaruriduwan, Nurul Nadira, Mohamad Amirul dan Mohamad bersama seorang pekerja mereka di kebun Tembikai Boci diusahakan mereka di Felda Chiku 2, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda Yahya

Tuai 40 tan tembikai semusim di tanah terbiar

GUA MUSANG: Berkat usaha gigih empat belia termasuk sepasang suami isteri mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman tembikai boci tidak sia-sia apabila mampu menuai hasil sehingga 40 tan untuk sekali musim.

Malah, tembikai boci diusahakan mereka sejak lebih tiga tahun lalu itu di pasarkan di Singapura melalui seorang pemborong.

Usahawan, Nurul Nadira Mohammad Fendi, 33, berkata mereka mendapat keizinan daripada pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk mengusahakan tanah rizab seluas 1.2 hektar di Felda Chiku 2.

Nurul Nadira mengusahakan tanaman tembikai terbabit bersama suami, Mohd Azaruriduwan Ghazali, 34; adiknya, Mohamad Hafzan Mohammad Fendi, 29; dan rakan, Mohamad Amirul Lazim, 29.

"Pada permulaan kami mengumpul modal sehingga lebih RM40,000 untuk pembukaan tanah, benih pokok, baja, pagar dan proses penjagaan.

"Buah yang dijual kepada pemborong hanya terdiri darpada gred A dan difahamkan akan dieksport ke Singapura.

"Untuk tempoh satu tahun kami dapat menanam tembikai ini antara dua hingga tiga musim bergantung kepada keadaan cuaca," katanya ketika ditemui di Felda Chiku 2, di sini.

Nurul Nadira berkata, untuk satu musim penanaman mereka memperoleh hasil sehingga 40 tan tembikai boci gred A.

"Proses untuk menanam memerlukan penjagaan yang rapi kerana buah yang ingin dihasilkan adalah gred A dan musim penanaman bergantung kepada keadaan cuaca.

"Kalau cuaca hujan kita tidak dapat menanam kerana buah akan rosak bila ditenggelami air. Buah gred ini dijual pada harga antara RM1.40 hingga RM3 sekilogram (kg) bergantung kepada harga semasa dengan berat sehingga mencecah 10 kg sebiji," katanya.

Nurul Nadira (kanan) bersama suami Mohd Azaruriduwan bersama tembikai boci diusahakan mereka.- NSTP/Paya Linda Yahya
Nurul Nadira (kanan) bersama suami Mohd Azaruriduwan bersama tembikai boci diusahakan mereka.- NSTP/Paya Linda Yahya

Katanya dia bersyukur kerana dengan bantuan pihak FELDA yang memberi keizinan menggunakan tanah rizab itu mereka kini dapat mengusahakan kebun tembikai boci.

"Sejak mengusahakan kebun terbabit ia menjadi punca pendapatan dan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban keluarga.

"Alhamdulillah usaha kami ini kini menjadi sumber pendapatan kami sekarang. Buah tembikai yang ditanam akan mengeluarkan hasil selepas 60 hari penanaman.

"Melalui kursus yang disertai juga menambah ilmu dan pengetahuan kami dalam menanam pokok tembikai boci ini, selain belajar daripada pengalaman sendiri.

"Terima kasih kepada FELDA memberi keizinan menggunakan tanah rizab itu mereka kini dapat mengusahakan kebun ini kepada kami belia generasi kedua FELDA," katanya.

Berita Harian X