Khamis, 20 Julai 2023 | 10:30am
Ummu Atiyah (tiga dari kanan) ketika perbincangan meja bulat mengenai wanita dan parti politik di Berlin, baru-baru ini.
Ummu Atiyah (tiga dari kanan) ketika perbincangan meja bulat mengenai wanita dan parti politik di Berlin, baru-baru ini.

Perlu wujudkan RRU sokong kesaksamaan gender

KUALA LUMPUR: Satu rang undang-undang (RUU) menyokong kesaksamaan gender perlu diwujudkan sebagai usaha untuk memperkasakan kepimpinan wanita di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, berkata sekiranya cadangan RUU itu dilaksanakan, aspek kepimpinan dalam politik, sistem kuota dan sebagainya dapat diperkenalkan untuk mencapai matlamat itu.

Katanya, penyataan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan sepatutnya perlu dijadikan sebagai satu dasar yang lengkap dan mempunyai pelan strategik seperti dasar yang lain.

"Jika dasar sebegini ada, aspek kepimpinan politik, sistem kuota dapat diperkenalkan bagi mencapai matlamat itu.

"Kuota juga ada pelbagai dan kita boleh membincangkan apakah model yang digunakan, contohnya seperti dalam undang-undang pilihan raya di Indonesia dan Filipina, yang mana parti mesti menyenaraikan 30 peratus calonnya adalah wanita.

"Sekiranya gagal, parti itu tidak boleh bertanding, dan ini yang menjadikan kedua-dua negara ini menjadi negara tertinggi mempunyai peratusan wanita dalam Parlimen di Asia Tenggara.

"Malaysia tertinggal jauh di belakang dan berada di tangga kedua dari bawah," katanya dalam kajian dibentang dalam perbincangan meja bulat mengenai wanita dan parti politik bertajuk Memperkukuh Penyertaan dan Perwakilan di Jerman dan Malaysia.

Ia turut dihadiri oleh delegasi Kesatuan Eropah (EU) dari pelbagai agensi di Berlin.

Selain itu, perlu ada undang-undang yang menyokong sama ada lelaki dan wanita untuk bergiat aktif dalam politik.

"Menerusi perkongsian di Berlin, seorang Ahli Parlimen menyatakan undang-undang adalah satu faktor penting bagi membolehkan beliau dan pada orang lain berada dalam politik kerana sebelum ini dia penjawat awam.

"Dalam undang-undang mereka, sekiranya mereka meletak jawatan untuk bertanding di dalam pilihan raya dan sekiranya kalah, mereka dibenarkan kembali semula bekerja dengan status jawatan dan gaji sama ketika meletak jawatan.

"Undang-undang ini jelas memberi jaminan kepada penjawat awam yang berminat untuk terbabit dalam politik sekali gus membolehkannya berjuang dalam politik tanpa kerisauan untuk menampung keperluan keluarganya jika kalah di dalam pilihan raya," katanya.

Kenal pasti masalah asas diskriminasi wanita

Di dalam pertemuan itu, turut dibincangkan ialah undang-undang mengenai belanjawan kewangan berasaskan keperluan dan peruntukan dalam belanjawan awam yang responsif gender, di mana ia mampu mengenal pasti masalah yang paling asas berkaitan diskriminasi terhadap wanita atau lelaki.

Hasil pertemuan itu, wujud kerjasama dua hala serta aktif antara pihak terbabit dalam usaha untuk meningkatkan kesaksamaan gender.

Ummu Atiyah berkata, pihak EU juga menyuarakan hasrat untuk berkongsi cabaran dan pengalaman dan belajar dari Malaysia berikutan terdapat banyak persamaan dalam usaha mencapai kesaksamaan gender ini.

"Cabaran paling besar untuk memberi kefahaman betul dan tepat apakah maksud kesaksamaan gender ini dan apakah manfaat kepada kita.

"Apabila tiada kefahaman atau kesediaan memahami, ia akan memberi tanggapan yang salah dan menyulitkan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk memperbaiki keadaan seperti diskriminasi terhadap wanita dalam pelbagai sektor seperti pekerjaan, politik dan kepimpinan.

"Saya berharap berperanan sebaik mungkin untuk terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dan seterusnya membawa negara ke tahap lebih baik dan cemerlang dalam pelbagai sektor," katanya yang akan bertanggungjawab terus melakukan kajian dan advokasi berkaitan wanita dan kepimpinan berfokus dalam sektor politik.

Berita Harian X