Isnin, 10 April 2023 | 9:17am
 Jeanne (kanan) mahu ibu bapa komited dan bekerjasama wujudkan rumah tangga harmoni. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Jeanne (kanan) mahu ibu bapa komited dan bekerjasama wujudkan rumah tangga harmoni. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Wanita kena bijak urus tekanan elak keletihan mental

SEREMBAN: Membentuk institusi keluarga yang hebat, harmoni dan sejahtera boleh direalisasikan melalui ikatan kukuh pasangan suami isteri dengan kedua-duanya perlu saling memainkan peranan dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Bekas isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah, berkata ibu bapa perlu komited dan bekerjasama untuk mewujudkan rumah tangga yang harmoni.

Katanya, kekangan kerjaya tidak boleh dijadikan alasan bagi melaksanakan peranan membina institusi keluarga yang baik dan kukuh.

"Konsep keharmonian dan kesejahteraan keluarga ini sangat luas bukan sahaja dari segi ekonomi dan kewangan, tetapi juga aspek kesihatan mental serta fizikal," katanya sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Hospital Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi TRC Synergy Bhd, menegaskan wanita perlu berfikiran positif, mengutamakan keluarga dan sentiasa menjaga personaliti, kesihatan dan kecantikan diri.

"Komitmen wanita dalam institusi keluarga sangat mencabar dan menuntut pengorbanan dalam pelbagai aspek termasuk perlu mendapat sokongan terutama suami," katanya.

Wanita hadapi cabaran tersendiri

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr Nurul Nadia Jamaluddin, berkata setiap profesion mempunyai cabaran yang tersendiri, namun, jika wanita mempunyai semangat tinggi mereka mampu mengharungi apa sahaja rintangan untuk berjaya.

"Bagi saya, intipati laluan kerjaya yang bermakna adalah keupayaan untuk mengendalikan beban kerja dengan baik serta dapat diseimbangkan dengan tuntutan dan tanggungjawab di rumah.

"Sebagai doktor, saya menekankan kepada perancangan dan menetapkan jangkaan yang jelas dan sokongan pasangan untuk mencapai matlamat tanpa meletihkan diri.

"Dengan memperuntukkan masa secukupnya dan memberi tumpuan kepada penjagaan diri, kita juga boleh menjaga orang yang kita sayangi dengan lebih berkesan," katanya.

Pakar Psikiatri, Dr Malini Elangovan pula berkongsi mekanisme kaedah menguruskan tekanan kerana ia penting dan dapat membantu ibu dan wanita mengelakkan keletihan mental.

Katanya, ada kala ibu menghadapi tekanan disebabkan pelbagai faktor, tetapi ia seharusnya dikawal bagi memastikan tidak memudaratkan diri, pasangan dan keluarga.

"Tekanan perlu diuruskan dengan baik dengan saling berkomunikasi dengan pasangan agar semua perkara dapat ditangani tanpa masalah," katanya.

Wanita perlu utamakan penjagaan kesihatan

Pada masa sama, Dr Evelyn mengingatkan semua wanita mengutamakan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk memastikan mereka cergas.

Selain itu, wanita terutama yang sudah berkahwin sepatutnya sentiasa menjalani pemeriksaan rutin kesihatan bagi mengesan sebarang penyakit dan mengelak komplikasi kronik lebih parah.

"Pemeriksaan awal amat digalakkan untuk mengesan sebarang penyakit yang tidak dijangka.

"Namun, ada wanita tidak selesa dengan doktor lelaki yang merawat mereka," katanya yang meminta pihak berkuasa memberikan perhatian aspek ini," katanya

Berita Harian X