Selasa, 22 November 2022 | 12:00pm
Nurul Afifah menerima sijil ketika menyertai Tilawah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2022, minggu lalu. - Foto ihsan Nurul Afifah
Nurul Afifah menerima sijil ketika menyertai Tilawah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2022, minggu lalu. - Foto ihsan Nurul Afifah

Bakal doktor gigi mahir hafaz al-Quran

KUALA LUMPUR: Dorongan ibu bapa ingin melihat anak menguasai bidang profesional dan celik al-Quran sehingga mampu menghafaz ayat suci itu, menjadi pembakar semangat kepada seorang pelajar untuk memburu kejayaan cemerlang dalam kedua-dua bidang.

Pelajar Tahun Dua jurusan kedoktoran Lincoln University College Petaling, Nurul Afifah Mohamed Farid, 21, berkata ibu bapanya sering menekankan keseimbangan aspek duniawi dan akhirat yang perlu jalan seiring.

"Mereka percaya al-Quran adalah penyuluh hidup dan akan memberi kejayaan di dalam apa sahaja pilihan kerjaya sama agama atau bidang profesional yang lain.

"Ayah dan ibu mahu apabila saya tamat pengajian dan bergelar sebagai doktor gigi, boleh mengulangi ayat al-Quran ketika memberi rawatan kepada pesakit.

"Jadi, saya akan merealisasikan impian ayah dan ibu untuk baca ayat suci al-Quran ketika merawat pesakit nanti.

"Malah, dengan dorongan itu membuatkan minat saya mencintai al-Quran tidak pernah padam dalam diri. Ia tidak jadi masalah kerana saya menghafaz al-Quran sejak berusia 10 tahun dan bersekolah aliran agama (tahfiz). Saya bermula menghafaz juzuk 30, 29 dan surah pilihan," katanya.

Dengan kemampuannya itu menghafaz al-Quran mendorongnya menyertai pelbagai pertandingan hafazan dan memenangi pelbagai pertandingan seperti Johan Hafazan Al-Quran Peringkat QIT 2011 serta naib johan Kategori Lima juzuk pertandingan liga hafazan Pahang 2021 dan banyak lagi.

Kejayaan terbaharu, beliau memenangi tempat ketiga Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2022, pada minggu lalu.

Nurul Afifah menghafaz al-Quran sejak berusia 8 tahun. - Foto ihsan Nurul Afifah
Nurul Afifah menghafaz al-Quran sejak berusia 8 tahun. - Foto ihsan Nurul Afifah

Mengulas lanjut, kecintaannya pada al-Quran juga membawa dirinya untuk mendalami kaedah bacaan termasuk tarannum, iaitu Jiharkah dan Nahawand yang selalu digunakannya.

"Ia mudah dikuasai, dengan irama dan alunan untuk kedua-duanya jenis tarannum ini, manakala tarannum yang agak sukar bagi saya adalah tarannum sikah kerana mempunyai burdah yang tersendiri," katanya.

Beliau menambah proses menghafaz al-Quran ini bermula ketika masuk ke Darul Quran Kuala Kubu Baru, di Selangor dan ia bukan ia bukan perjalanan yang mudah.

"Saya ingat lagi pada waktu itu setiap hari saya akan menelefon umi untuk mendapatkan semangat kerana ada masanya kadang-kadang hampir putus asa apabila tidak dapat menghafal sepantas rakan yang lain.

"Banyak kali saya menangis kerana merasakan tidak mampu untuk nak terus menghafaz. Umi sering menenangkan saya dan memberi nasihat untuk reda hingga membuatkan saya bersemangat melakukan yang terbaik. Akhirnya saya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun," katanya.

Kini, fokus kehidupannya adalah untuk terus mendalami ilmu al-Quran dan berjaya dalam akademik.

Setakat ini, beliau tiada masalah membahagi masa antara pelajaran dan hafazan kerana jadual harian dengan sistematik agar lebih produktif.

Nurul Afifah (kanan) bersama keluarga yang memberi dorongan untuk cemerlang dalam bidang profesional dan hafaz al-Quran.
Nurul Afifah (kanan) bersama keluarga yang memberi dorongan untuk cemerlang dalam bidang profesional dan hafaz al-Quran.

"Saya bawa al-Quran ke mana-mana sahaja, jika ada masa terluang akan menghafaz al-Quran, selain jadual kelas yang padat bermula 9 pagi hingga 5 petang," katanya anak akauntan dan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Proses menghafaz al-Quran memerlukan kesabaran yang tinggi kerana tiada cara untuk kita ingat kerap mengulangi hafalan.

"Justeru, bagi mereka yang ingin menghafaz al-Quran boleh bermula dengan baca berulang kali, mendengar dari iman atau qari, memahami maksud serta jalan cerita, bahagikan satu muka surat kepada tiga bahagian lalu hafal mengikut bahagian dan yang terakhir semak bacaan dengan ustazah atau rakan.

"Saya ingin menggalakkan orang muda untuk menceburi bidang hafazan kerana cabaran dunia masa kini. Insya-Allah al-Quran dapat menjadi pendinding daripada melakukan dosa dan maksiat serta menjaga akhlak menjadi Muslim terbaik.

"Bagi mereka belum pernah menghafal, jangan bimbang kerana selagi masih ada nyawa dan kudrat, belum terlambat untuk kita mulakan, tak perlu letak sasaran.

"Mulakan dengan juzuk 30 dan surah pilihan dahulu dan banyakkan berdoa semoga Allah permudahkan urusan hafazan al-Quran. Antara benda paling utama, perlu banyak berdoa semoga Allah berikan kekuatan dan istiqamah untuk mengulang kalam-Nya hingga ke akhir hayat," pesannya.

Berita Harian X