Khamis, 17 November 2022 | 12:24pm
Bibi Sunita ketika turun padang berkempen sempena PRU15 di Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.
Bibi Sunita ketika turun padang berkempen sempena PRU15 di Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.

Misi perkasakan agenda wanita, miskin bandar jadi keutamaan

KUALA LUMPUR: Pengalaman dan bakti selama 22 tahun dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam isu berkaitan wanita, kanak-kanak serta penduduk miskin bandar terus menjadi keutamaan supaya golongan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Pengerusi Koperasi Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan, 52, berkata beliau mempunyai misi lebih besar supaya isu penting berkaitan wanita dan keluarga dapat diarusperdanakan.

Justeru, penampilan sulung sebagai calon kerusi Parlimen Setiawangsa atas tiket Pejuang, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau yakin dijadikan sandaran terbaik ke arah itu.

Pengerusi Koperasi Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan
Pengerusi Koperasi Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan

Bibi Sunita ketika turun padang berkempen sempena PRU15 di Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.
Bibi Sunita ketika turun padang berkempen sempena PRU15 di Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.

Katanya, sebagai calon pada pilihan raya kali ini bukan sekadar untuk menang dan menjadi wakil rakyat, tetapi beliau mempunyai misi lebih besar untuk kepentingan masyarakat.

"Pembabitan saya dalam NGO (badan bukan kerajaan menjadikan diri saya dekat dengan pelbagai isu masyarakat.

"Justeru, saya mahu membawa isu ini jika diberi peluang oleh pengundi. Misalnya, hanya dengan kuasa sebagai pemerintah, isu wanita dan keluarga boleh ditangani dengan lebih baik. Kita perlu pastikan isu sebegini diarusperdanakan.

"Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu diperkasa sebagai barisan hadapan, lebih penting daripada kementerian lain," katanya.

Bibi Sunita turut melihat keperluan untuk tindakan lebih tegas diambil bagi membantu wanita yang teraniaya.

Ini termasuk kes keganasan terhadap wanita yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

"Masyarakat perlu ada sikap peduli dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam kes sedemikian. Namun, sejauh mana ia dapat ditangani dengan sebaiknya? Ini kerana lebih ramai yang mengambil sikap berdiam diri daripada mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

"Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya wanita terhadap tanggungjawab dalam menangani isu keganasan terhadap diri mereka," katanya.

Anak jati Kuala Lumpur itu turut berhasrat membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan wanita secara menyeluruh.

Jelasnya, perkara ini dapat dilaksanakan dengan memperkasa pembangunan dan kebajikan wanita misalnya memperbanyak skim latihan dan kerjasama dengan pelbagai NGO wanita.

Graduan Sarjana Pengurusan, Universiti Malaya (UM) itu turut yakin khidmatnya sebagai aktivis masyarakat sejak dua dekad lalu mampu memberi keyakinan kepada rakyat khususnya warga Setiawangsa.

"Rekod khidmat sebagai aktivis menunjukkan saya tak buat kerja bermusim tetapi konsisten dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

"Saya berpandangan warga Setiawangsa sahaja yang akan benar-benar faham keadaan di kawasan mereka kerana setiap hari berdepan dengan masyarakat setempat," katanya yang turut berhasrat membawa pelbagai pembaharuan, termasuk mewujudkan akademi kemahiran untuk penduduk setempat dan belia, selain memperbaiki akses kesihatan lebih baik untuk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Berita Harian X