Isnin, 14 November 2022 | 11:04am
Normaliya Sidek (kiri) dan Nurul Nadirah Shamsul Liani.
Normaliya Sidek (kiri) dan Nurul Nadirah Shamsul Liani.

'Wanita labah-labah' lincah di angkasa

TIDAK ramai berani atau sanggup berada di tempat tinggi, apatah lagi jika kerja perlu tergantung dan bergayut pada tali selenggara menara setinggi bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Malah, ada yang fobia dan apabila menoleh ke bawah terasa amat gayat dan jantung bagaikan mahu gugur.

Ini belum lagi ketika sedang melakukan tugasan penyenggaraan di bangunan tinggi risiko angin kencang, guruh, kilat dan hujan lebat tiba-tiba datang menerpa.

Tergantung dan bergayut pada tali selenggara menara setinggi bangunan pencakar langit seperti KLCC tugasan biasa dilakukan Normaliya. - Foto/Ihsan Siva_wcc
Tergantung dan bergayut pada tali selenggara menara setinggi bangunan pencakar langit seperti KLCC tugasan biasa dilakukan Normaliya. - Foto/Ihsan Siva_wcc

Jika tersilap langkah risiko terjatuh dari tempat tinggi, maut mungkin datang mengundang.

Namun, itu semua perasaan itu berjaya dikawal oleh dua wanita berjiwa kental ini, Normaliya Sidek, 30, dan Nurul Nadirah Shamsul Liani, 31, sehingga selayaknya dipanggil 'iron lady'yang melakukan tugasan ala 'Spider-Man' sekali gus membuktikan kerjaya sebagai juruteknik akses tali mampu dilakukan dengan cemerlang.

Tarik nafas, bayangkan benda seronok dan jangan terlalu pandang ke bawah bantu hilangkan gayat. - Foto/Ihsan Nurul Nadirah
Tarik nafas, bayangkan benda seronok dan jangan terlalu pandang ke bawah bantu hilangkan gayat. - Foto/Ihsan Nurul Nadirah

Kedua-duanya bekerja 'freelance' di mana-mana syarikat memerlukan khidmatnya, menganggap menceburi bidang dikategorikan dalam 10 pekerjaan paling berbahaya dan berisiko di dunia itu, tidak mustahil dilakukan.

Mereka mengakui profesion dikategori dalam bidang 3D (Kotor, Bahaya dan Sukar) ini juga memberikan kepuasan tersendiri, namun bukan mahu meraih kepopularan.

Cuaca ancaman besar

Bagi Normaliya, wanita yang tular selepas videonya 'beraksi' di puncak KLCC setinggi 88 tingkat tersebar, menyatakan beliau berbangga dengan dirinya kerana berjaya memecah kerjaya dimonopoli lelaki.


@siva_wwc6

Iron Lady spotted.

♬ Do I Wanna Know - Radio Tyrant

Sejak Normaliya ceburi kerjaya dalam bidang juruteknik akses tali tiada kejadian buruk. - Foto/Ihsan Siva_wcc
Sejak Normaliya ceburi kerjaya dalam bidang juruteknik akses tali tiada kejadian buruk. - Foto/Ihsan Siva_wcc

Lihat saja dalam videonya, aksi dipamerkan begitu bersahaja, menyusun gerak kaki umpama sedang berpijak di tempat rata, lincah menghayun badan ke kiri ke kanan mengikut 'step', walhal hakikatnya sedang tergantung di luar bangunan nun di ruangan angkasa.

Malah, Normaliya yang menggantikan sistem lampu klasik yang berada di bahagian puncak KLCC itu kepada sistem pintar LED, dilakukan dengan selamba.

Bagi Normaliya atau lebih mesra dipanggil Maya, yang sudah lima tahun bertugas di bidang itu, mengakui perasaan takut tetap ada, namun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ciri-ciri keselamatan diutamakan melegakannya.

Normaliya ketika melakukan kerja penyelengaraan di bangunan KLCC setinggi 88 tingkat. Foto/Ihsan Siva_wcc
Normaliya ketika melakukan kerja penyelengaraan di bangunan KLCC setinggi 88 tingkat. Foto/Ihsan Siva_wcc

"Bila kita bekerja dalam bidang ini, perlu ada rasa takut kerana kita tidak boleh terlalu yakin kerana takut boleh makan diri. Kita juga tidak digalakkan bercakap besar.

"Malah, perlu ada was-was ketika menjalankan pekerjaan kerana bimbang jika tersalah langkah, buruk padahnya.

"Tapi, sepanjang saya bertugas di tempat tinggi, Alhamdulillah tiada kemalangan buruk berlaku kerana ketua pasukan akan memastikan kelengkapan berada pada tahap terbaik sebelum memulakan tugas.

"Dalam tugasan ini, cuaca ancaman terbesar kerana ia boleh mendatangkan bahaya.

"Kami akan memastikan cuaca berada dalam keadaan baik dan sekiranya sedang bertugas, kami akan segerakan sebelum cuaca bertambah buruk," kata ibu kepada seorang cahaya mata, Muhammad Al Fateh Abdul Hazim, 3 bulan.

Menurutnya, tugasnya juga mencakupi kerja membersih tingkap bangunan pencakar langit dan penyelenggaraan lain di situ,

Minat kerjaya bidang ekstrem

Maya berkata, kerjayanya ini bermula selepas tidak berminat bekerja dalam bidang peruncitan, jadi mencari peluang mengembangkan kerjaya lebih ekstrem.

"Hobi saya suka memanjat gunung, 'wall climbing' dan sebagainya, jadi saya fikir lebih baik lakukan kerjaya diminati.

"Jadi, saya mengintai peluang mengikuti kursus mendapatkan lesen yang sah di seluruh dunia kerana jika tiada lesen, tidak layak melakukan kerja di bangunan tinggi.

"Untuk mendapatkan lesen tidak mudah kerana perlu membayar hingga puluhan ribu ringgit bagi sesetengah kemahiran yang anda ingin miliki.

"Selain mempunyai lesen, saya juga menambah kemahiran melakukan pemeriksaan (NDT) di darat dan laut serta 'blasting painting' supaya permintaan terhadap kemahiran saya itu sentiasa ada," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik ini bersyukur kerana bertemu jodoh sealiran kerjayanya ,iaitu Abdul Hazim Abd Rashid, 27, sekali gus masing-masing saling menyokong antara satu sama lain.

Di tempat kerja, rakan setugas lelaki juga saling bantu-membantu dan tiada stigma dilabelkan kepada wanita kerana terbukti mempunyai keupayaan itu.

Gaji mencecah RM1,500 sehari

"Kami suami isteri bekerja secara 'freelance', namun pendapatan diperoleh berbaloi dengan kemahiran dimiliki iaitu paling minimum gaji diterima sehari ialah RM200 dan paling tinggi mencecah RM1,500.

"Kadang-kadang kami bekerja ikut tempoh masa, ada sekejap ada lama dan ada di darat serta di laut yang mana kami perlu melakukan pemeriksaan.

"Pendek kata, apabila mempunyai minat dan ia dijadikan sebagai kerjaya, anda akan merasa seronok, namun jika ada pandangan sinis, abaikan kerana ia tidak akan membawa anda ke mana-mana," katanya yang mahu 'menawan' bangunan Burj Khalifa, di Dubai selepas ini.

Pernah hampir disambar kilat

Sementara itu, Nurul Nadirah berkata, pengalaman hampir disambar kilat adalah saat yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidupnya.

Amalkan beberapa cara elak gayat ketika berada di puncak pencakar langit.- Foto/Ihsan Nurul Hadirah
Amalkan beberapa cara elak gayat ketika berada di puncak pencakar langit.- Foto/Ihsan Nurul Hadirah

Katanya, ketika itu beliau sedang melakukan tugas di sebuah bangunan tinggi di ibu kota dan cuaca ketika itu secara tiba-tiba bertukar seperti hendak hujan.

"Ketika itulah saya berasa kilat seperti lalu di belakang saya, tetapi nasib baik kerana ia menyambar di bangunan sebelah.

"Waktu itu automatik saya rasa sangat takut. Kemudian saya segera berhenti melakukan tugasan itu. Bila difikirkan memang ngeri," katanya memulakan kerjaya seawal 2015 dalam bidang itu.

Graduan Ijazah Pengurusan Sistem Pejabat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut terbabit dalam kerja penyelenggaraan bangunan di KLCC, tidak pernah patah semangat sebaliknya mahu terus mengukuhkan kerjaya dalam bidang ini.

Bersama pasukan melakukan kerja penyelenggaraan dan menyifatkan wanita mampu melakukan tugas sama. - Foto/Nurul Nadirah
Bersama pasukan melakukan kerja penyelenggaraan dan menyifatkan wanita mampu melakukan tugas sama. - Foto/Nurul Nadirah

"Ketika ini, tidak ramai wanita memilih kerjaya juruteknik akses tali ini kerana takut berada di tempat tinggi dan gayat. Saya mengambil jurusan tiada kena-mengena dengan kerjaya sekarang, tapi bukan satu masalah," katanya.

Tips kurangkan takut bangunan tinggi

Kongsi beliau, walaupun perasaan takut menyelubungi diri, ia berjaya dikawal dengan kaedah tertentu.

"Ada kaedah untuk mengatasi atau menghilangkan takut dan gayat, iaitu dengan cara menarik nafas, bayangkan benda yang seronok, bijak mengawal dan jangan terlalu pandang ke bawah.

Tarik nafas, bayangkan benda seronok dan jangan terlalu pandang ke bawah bantu hilangkan gayat. - Foto/Ihsan Nurul Nadirah
Tarik nafas, bayangkan benda seronok dan jangan terlalu pandang ke bawah bantu hilangkan gayat. - Foto/Ihsan Nurul Nadirah

"Jika kita fikir takut dan macam-macam perkara buruk, kerja tak akan menjadi, Apa yang penting keselamatan perlu diutamakan, berbincang sebelum melakukan tugas dan bekerjasama dengan pasukan," katanya yang turut bertugas secara 'freelance'.

Tugas panjat bangunan tinggi, pelantar minyak

Walaupun tugas juruteknik akses tali ini lebih kepada berada di bangunan tinggi, namun Nurul Nadirah yang turut memiliki kepakaran melakukan pemeriksaan di pelantar minyak beranggapan ia lebih berbaloi untuk dilakukan.

"Di pelantar minyak, tempoh masa bekerja boleh menjangkau antara sebulan hingga tiga bulan.

"Saya biasanya akan bertugas untuk melakukan pemeriksaan paip, ketahanan dan jangka hayat besi itu.

"Namun, seperti biasa di mana-mana juga pasti ada risiko, jika di bangunan tinggi, takut terjatuh ke bawah, tetapi di pelantar, takut meletup atau terbakar pula.

"Saya boleh melakukan kerja mekanikal seperti memasang kabel besar pada mesin, kabel elektrik dan beberapa lagi.

"Sebelum ini, saya pernah menerima tugasan kerja mekanikal di flare (nyalaan api di pelantar) di Terengganu dan pihak syarikat yang mengupah tugas itu terkejut kerana tidak pernah melihat wanita dalam bidang ini.

"Saya buat kerja selama dua minggu dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar," katanya yang turut bertemu jodoh dengan pasangan sealiran tugas dengannya.

Memberi kata-kata semangat kepada wanita yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini, katanya, mereka perlu ada minat bukannya semata-mata ingin mencari atau menjadi popular kerana ia tidak akan berkekalan.

"Sasaran perlu ada kerana jika tidak anda tidak akan ke mana, jadi amat penting mendapatkan lesen dan menambah kemahiran lain supaya kepakaran sentiasa diperlukan selain akan mendatangkan pendapatan lumayan," katanya.

Berita Harian X