Jumaat, 23 September 2022 | 10:00am
Noor Azizah berhenti kerja perunding penasihat unsuran dan pelaburan, kini usaha perniagaan nasi. - Foto/Nur Izzati Mohamad
Noor Azizah berhenti kerja perunding penasihat unsuran dan pelaburan, kini usaha perniagaan nasi. - Foto/Nur Izzati Mohamad
Melayani pelanggan di kedainya di Medan Selera Taman Siakap, Seberang Jaya, antara rutin harian Noor Azizah. - Foto/Nur Izzati Mohamad
Melayani pelanggan di kedainya di Medan Selera Taman Siakap, Seberang Jaya, antara rutin harian Noor Azizah. - Foto/Nur Izzati Mohamad

Sanggup berpeluh melecun, jual nasi campur

BUTTERWORTH: Enam tahun bekerja dalam keadaan selesa dalam suasana pejabat berhawa dingin, kini wanita cekal ini tidak kisah berpanas dan peluh melecun bagi mengambil alih perniagaan nasi campur peninggalan arwah bapanya.

Daripada lapan menu, sekarang ada hampir 100 jenis lauk-pauk, membuatkan Noor Azizah Ariffin, 35, yakin keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding penasihat insurans dan pelaburan di sebuah bank tempatan tidak sia-sia bagi memastikan legasi perniagaan arwah bapanya dapat diteruskan.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, arwah bapanya mengusahakan perniagaan nasi campur di Medan Selera Taman Siakap, Seberang Jaya, di sini lebih 20 tahun sebelum kedai disewa kepada orang lain berikutan masalah kesihatan.

"Ketika itu kedai terpaksa disewakan kepada orang lain kerana ayah ada masalah kesihatan sebelum ayah meninggal dunia.

"Namun, penyewa tidak menjaga kedai dengan keadaan baik sehingga berlaku beberapa kerosakan yang saya amat sedih melihat keadaan itu.

"Memikirkan arwah ayah, saya kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dari sebuah bank dan bermodalkan hanya RM200 saya membuka semula perniagaan nasi campur dengan permulaan menjual hanya sekitar lapan jenis lauk," katanya ditemui BH.

Mengulas lanjut, Noor Azizah berkata, pada mulanya perniagaan yang baharu diusahakan agak perlahan memandangkan tidak ramai yang mengenalinya.

"Sudah lama perniagaan arwah ayah tidak beroperasi tiba-tiba baharu saya masuk menyambungnya semula mesti ramai yang masih tidak mengetahuinya.

"Namun, dengan semangat yang ada saya tidak putus asa kerana permulaan perniagaan arwah ayah juga sebegitu.

"Lama-kelamaan orang sekeliling sudah mengenali saya hinggakan dari lapan lauk kini terdapat hampir 100 jenis lauk yang ia mendapat permintaan sangat tinggi," katanya.

Jelasnya, beliau mengakui berkecimpung dalam bidang perniagaan sememangnya amat perit berbanding 'makan gaji' tetapi perlu jalan terus tanpa perlu toleh ke belakang.

"Dah lama saya bekerja makan gaji setiap bulan dengan persekitaran tempat kerja selesa, ada penghawa dingin dan banyak kemudahan.

"Sekarang semuanya berbeza kerana banyak bermain panas yang saya akui agak lambat untuk saya membiasakan diri dengan keadaan ini.

"Bagaimanapun, berpegang kepada prinsip tidak boleh selalu berada pada zon selesa membuatkan saya nekad dan kini saya telah memperoleh hasilnya," katanya.

Noor Azizah berkata, beliau mendapat bantuan suaminya, Mohd Usman Majid, 44 yang banyak meringankan bebannya dalam menguruskan perniagaan yang diusahakan.

"Selain suami, keluarga juga menyokong bahkan ibu saya kadang kala ada turun membantu.

"Perancangan saya pada masa hadapan nak ada cawangan baharu tetapi buat sementara tangguh dahulu sebab kekurangan pekerja. Bila ada nanti saya pasti akan kembangkan perniagaan ini," katanya.

Berita Harian X