Rabu, 21 September 2022 | 11:30am
Nur Hidayu (dua dari kanan) di hotel kucing miliknya di Pusak PetHouse Cat Grooming, di Berek 12. - Foto/ Hazira Ahmad Zaidi
Nur Hidayu (dua dari kanan) di hotel kucing miliknya di Pusak PetHouse Cat Grooming, di Berek 12. - Foto/ Hazira Ahmad Zaidi

Dulu pensyarah, kini tauke hotel kucing

KOTA BHARU: Sanggup melepaskan kerjaya profesional sebagai pensyarah tetap di sebuah kolej, kini Nur Hidayu Abdul Rahim, 33, mengusahakan pusat dandanan dan hotel kucing bagi mengadaptasikan minatnya terhadap si bulus.

Nur Hidayu berkata, bagi memberi fokus sepenuhnya kepada pusat dandanan dan jagaan harian kucing diusahakan, beliau mengambil keputusan berhenti pada Julai lalu sebagai pensyarah selepas tujuh tahun berkhidmat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas.

Bermodal RM50,000 untuk menyediakan segala keperluan, empat tahun lalu beliau membuka pusat itu sebagaimana yang menjadi impiannya selama ini.

"Di hotel kucing ini ada 30 bilik berbeza saiz yang boleh memuatkan lebih 50 kucing pelbagai baka dalam satu masa. Sebulan saya memperuntukkan RM1,000 untuk kos makanan dan keperluan lain," katanya ketika ditemui di Pusak PetHouse Cat Grooming, di Berek 12, di sini.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia di antara setahun hingga 7 tahun ini berkata, sejak pusat jagaan harian kucing dibuka pada 2018, ia semakin mendapat sambutan menggalakkan termasuk pelanggan dari luar Kelantan.

Nur Hidayu menunjukkan hadiah yang pernah dimenangi oleh kucing peliharaannya sepanjang memasuki pertandingan sejak 2016. - Foto/Hazira Ahmad Zaidi
Nur Hidayu menunjukkan hadiah yang pernah dimenangi oleh kucing peliharaannya sepanjang memasuki pertandingan sejak 2016. - Foto/Hazira Ahmad Zaidi

"Paling lama pemilik kucing meninggalkan kucing peliharaan selama sebulan, iaitu ketika pemilik haiwan ini menunaikan umrah.

"Yang lebih menggembirakan pemilik kucing berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan dan mula menjadi pelanggan tetap kami.

"Kita sediakan khidmat mendandan kucing bermula daripada memotong kuku, mencuci telinga, menyikat keseluruhan bulu sehingga memandikannya mengambil masa selama tiga jam.

"Bukan senang menguruskan si bulus kerana walaupun ia tidak mempunyai akal, namun haiwan mempunyai emosi dan kita perlu bijak menanganinya.

"Dalam sehari kami menerima sekurang-kurangnya 20 ekor kucing pelbagai baka dihantar ke pusat jagaan ini untuk didandan," katanya.

Graduan dalam jurusan Sarjana Sains Kejuruteraan Elektrik (Penyelidikan) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, menyedari tidak banyak kedai menyediakan khidmat jagaan harian untuk si bulus menyebabkan beliau mengambil peluang membantu menyelesaikan masalah pemilik kucing dan sekali gus menjadi punca pendapatannya.

Hotel kucing milik Nur Hidayu yang boleh menempatkan kucing apabila pelanggannya keluar kota. - Foto/Hazira Ahmad Zaidi
Hotel kucing milik Nur Hidayu yang boleh menempatkan kucing apabila pelanggannya keluar kota. - Foto/Hazira Ahmad Zaidi

"Kedai haiwan mempunyai dua tingkat, salah satunya khusus dijadikan hotel bagi menempatkan kucing yang dihantar untuk dijaga manakala tingkat bawah khusus menjual makanan serta keperluan kucing.

"Bagi dandanan dan hotel kucing saya sediakan tempat eksklusif untuk memastikan keselesaan si bulus yang dihantar selain tiada gangguan dari pihak luar dan memudahkan pekerja mencuci kawasan hotel kucing," katanya turut dibantu oleh enam pekerja.

Katanya, pada masa sama, beliau ada beberapa kucing peliharaan pelbagai baka dan pernah menyertai pelbagai kategori pertandingan sejak 2016, selain turut memenangi pertandingan disertai.

"Dengan menyertai pertandingan itu membolehkan saya menimba pelbagai pengalaman," katanya.

Berita Harian X