Khamis, 25 Ogos 2022 | 11:35am
Nirmaningsih berbual dengan pelancong asing yang mengunjungi Masjid Negara. - Foto/Hairul Anuar
Nirmaningsih berbual dengan pelancong asing yang mengunjungi Masjid Negara. - Foto/Hairul Anuar

Dah mahir 5 bahasa, tukang cuci pelajari Mandarin pula

KUALA LUMPUR: Selepas video seorang tukang cuci di Masjid Negara berbual rancak bersama beberapa delegasi dari Jepun tular di media sosial, selain menyerlahkan kemampuannya boleh bertutur dalam lima bahasa, kini wanita berkenaan mahu mempelajari pula bahasa Mandarin.

Wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia, Nirmaningsih Mawi, 59, menetap di Malaysia sejak berusia tiga tahun, ketika ini boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Jepun, Arab dan Jerman, selain bahasa Melayu.

Katanya, sudah menjadi rutinnya berbual dan menyantuni pelancong sejak menjadi tukang cuci di Masjid Negara, kira-kira enam bulan lalu.

"Kini, antara cita-cita saya jika ada peluang nak mempelajari bahasa Mandarin pula. Saya bolehlah bercakap sedikit dalam Mandarin dan Kantonis dan memang teringin nak belajar.

"Walaupun dalam usia begini, ia bukan penghalang. Jika ada peluang....mungkin tajaan untuk kursus intensif Mandarin, tentu saya tak menolak.

"Apatah lagi pelancong utama datang ke negara ini dari China. Jika belajar cakap Mandarin tentu lebih mudah interaksi dan uruskan mereka," katanya yang pernah membawa pelancong dari serata dunia antaranya India, Singapura, Mesir dan Eropah.

Beliau optimis untuk menguasai enam bahasa, nanti jika berkesempatan belajar bahasa Mandarin.

Menyentuh penguasaan pelbagai bahasa untuk kerjaya pemandu pelancong, katanya, sudah menjadi kemestian kerana industri pelancongan memerlukan individu yang mahir pelbagai bahasa.

"Sebenarnya, tak semestinya mesti mahir banyak bahasa. Cuma lebih satu bahasa lebih baik. Pandai bahasa Inggeris pun dah cukup baik kerana ramai pelancong asing menggunakan bahasa itu, misalnya pelancong dari India.

"Selain aspek bahasa, pemandu pelancong juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Pandai melayan pelancong daripada pelbagai negara, budaya dan agama," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun.

Tambahnya, kerjaya sebagai pemandu pelancong bebas juga sesuai untuk wanita khususnya ibu tunggal.

Tukang cuci Masjid Negara, Nirmaningsih Mawi, 59, yang fasih bertutur empat bahasa melakukan rutin kerja harian membersihkan lantai di Masjid Negara, Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim
Tukang cuci Masjid Negara, Nirmaningsih Mawi, 59, yang fasih bertutur empat bahasa melakukan rutin kerja harian membersihkan lantai di Masjid Negara, Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tempoh bekerja fleksibel membolehkan wanita membahagikan masa secara sistematik.

"Untuk wanita atau ibu tunggal yang ingin kelainan, jangan takut (ceburi bidang ini), jika ada kelebihan kuasai bahasa lain...buatlah.

"Selain boleh bawa pelancong, ada banyak lagi bidang kerja yang boleh diterokai misalnya saya sendiri pernah ditawarkan kerja sebagai penterjemah," katanya

Mengulas lanjut, seperti minatnya untuk belajar bahasa

Jepun membuatkan beliau berusaha mencari jalan mengambil kursus bahasa.

"Saya memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu bahasa Inggeris pada 1990, Jepun (1994), Arab (2010) dan Jerman (2011).

"Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui," katanya ditemui di Masjid Negara, baru-baru ini.

Untuk fasih dalam semua bahasa, katanya, jangan sesekali malu dan sentiasa berusaha bercakap dengan individu yang bertutur dalam bahasa itu.

"Lagi satu...tip untuk senang hafal apa pun...ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.

"Inilah saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini...jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara...jika tidak buat memang boleh lupa," katanya

katanya yang pernah kehilangan pekerjaan sebagai pemandu pelancong akibat pandemik COVID-19.

Berita Harian X