Selasa, 28 Jun 2022 | 10:39am
Norlela menghasilkan pelbagai jenis rekaan kraf yang dikait sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan. - Foto/Rohanis Shukri
Norlela menghasilkan pelbagai jenis rekaan kraf yang dikait sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan. - Foto/Rohanis Shukri

Hobi mengait sejak usia 12 tahun jadi sumber pendapatan lumayan

KUALA LUMPUR: Minat mengait sejak berusia 12 tahun dan kemahiran menghasilkan pelbagai rekaan kraftangan yang menarik membolehkan seorang suri rumah menjana pendapatan lumayan hanya dari kediamannya.

Menariknya, Norlela Karim, 48, hanya belajar mengait dengan melihat ibunya yang gemar mengait di rumah menimbulkan keinginan mempelajari secara mendalam dan usaha itu tidak sia-sia apabila dia juga mampu menjadi tenaga pengajar dalam bidang sama.

Katanya, mengait memerlukan kemahiran, kesabaran, ketelitian dan kreatif menghasilkan pelbagai rekaan yang mampu disukai masyarakat.

Meskipun, pada mulanya hanya mencuba-cuba mengait, tetapi berkat ketekunan memperbaiki rekaan untuk menjadi lebih sempurna dan menarik.

Namun, katanya hasil pertamanya yang menjadi adalah bentuk bunga dan sejak itu dia terus berusaha mencuba serta mempelajari sendiri cara membuat pelbagai lagi bentuk yang menarik.

"Mana-mana bentuk yang menjadi dan cantik, saya akan beri kepada rakan di sekolah dan ada juga saya jual.

"Selain menjual hasil mengait, saya juga ada menjual pelbagai barangan lain seperti gelang diperbuat daripada benang kerana mendapat permintaan rakan.

"Semua hasil jualan saya akan kumpul untuk membeli jarum kait, benang dan bahan lain untuk dibuat jualan kerana saya memang minat berniaga ketika itu," katanya ketika ditemui di Festival Amazing Borneo yang diadakan di Intermark, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, dia hanya menjadikan mengait sebagai hobi sehingga kira-kira 10 tahun lalu, apabila rakan-rakan yang melihat hasilnya memintanya menjual.

Pada mulanya dia berasa ragu-ragu kerana bimbang tiada permintaan, namun dia teruskan juga kerana mendapat galakkan daripada keluarga dan rakan.

"Tidak sangka kini sudah lebih 10 tahun mengait, kini menjadi sumber pendapatan saya dan sering mendapat tempahan daripada pelbagai pihak walaupun hanya membuat dari rumah," katanya yang menjual produk berharga antara RM10 hingga RM500 dengan pendapatan beribu ringgit sebulan.

Produk paling sukar dibuat, setakat ini adalah alas meja makan, justeru kerana bergantung kepada bentuk yang sukar, ada yang mengambil masa sehingga tiga tahun untuk siap.

Norlela masih mengambil satu tempahan membuat alas setiap tahun kerana ada jenis rekaan sukar dibuat dan memerlukan masa panjang untuk disiapkan.

"Alas meja paling susah dibuat. Jika tumpuan khusus diberikan, saya mampu siapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan bergantung kepada bentuk, rekaan dan saiz.

"Tempahan lain termasuk pakaian bayi seperti topi dan kasut, barangan perhiasan rumah, beg, sarung bantal, rantai kunci dan macam-macam lagi," katanya.

Produk paling mudah dibuat adalah perhiasan kecil seperti bunga yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk disiapkan.

"Rekaan lain yang cepat disiapkan seperti patung kecil, iaitu kira-kira tiga jam bergantung kepada saiz dan bentuk," katanya.

Berasal dari Sandakan, Sabah, Norlela berkata, walaupun pendapatan tidak menentu, namun bersyukur kerana hobi bermula sejak kecil, kini mampu memberi pendapatan kepadanya.

"Walaupun industri ini kurang mendapat sambutan, tetapi ia mempunyai peminat yang tersendiri, sebab itu saya masih mampu bertahan, katanya yang dikenali dengan nama ladybeez74 di Instragram.

Dengan pengalaman mengait sejak 36 tahun lalu, dia turut menjadi tenaga pengajar dalam bidang itu kepada mereka yang berminat.

Berita Harian X