KOTA KINABALU: Walaupun pandemik COVID-19 menjejaskan pendapatan golongan usahawan sehingga sebahagian besar hampir 'lumpuh', namun ia tidak mematahkan semangat termasuk wanita di Sabah.
Malah, usahawan wanita di negeri itu tetap mencari jalan untuk meneruskan perniagaan yang menjadi sumber rezeki utama mereka.
Peniaga sambal dan makanan Triple JJ and D Heart Catering, Patricia @Pateronella Marau, 47, berkata perniagaan beliau sedikit menurun apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
"Walaupun kedai saya terpaksa ditutup semasa PKP bermula tetapi terus menjual sambal serta makanan secara dalam talian dan menghantarnya kepada pelanggan yang menempah.
"Ketika itu, jualan saya masih baik tetapi apabila PKP ditamatkan, perniagaan saya sedikit merundum kerana orang ramai sudah mula keluar dan jumlah tempahan secara dalam talian menurun.
"Ketika PKP, saya meraih untung sekitar RM20,000 tetapi selepas PKP, jumlah keuntungan jualan menurun kepada RM13,000.
"Walaupun saya sudah mula buka kedai tetapi saya giat membawa produk sambal dan makanan untuk dijual ke pasar tamu," katanya.
Ibu tunggal lima anak ini berkata, beliau menerima bantuan Bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perniagaannya.
Usahawan produk kecantikan dan kesihatan, Siti Jurma Denison, 47, berkata pelaksanaan PKP membuatkan beliau terpaksa beralih ke perniagaan makanan.
Ketika PKP, pemilik perniagaan D' Pretty Enteprise itu terpaksa menutup kedainya sehingga penghujung 2020.
Tahun lalu, beliau beralih ke perniagaan menjual produk makanan seperti kerepek dan sos buatan sendiri serta menjual bunga telang untuk produk minuman yang diletakkan di premis perniagaan termasuk Wisma Wanita, selain dijual secara dalam talian.
"Bagi produk kecantikan dan kesihatan, saya menjual sabun dan jika ada permintaan untuk produk lain, saya akan buat," kata ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) komited menyediakan lebih banyak platform membantu lebih ramai usahawan wanita memperluaskan pasaran produk itu.
Pengarahnya, Rusnah Kuyung, berkata seramai 4550 usahawan wanita berdaftar menerima latihan sejak 2015 sehingga tahun ini.
Tahun ini, pihaknya akan melaksanakan lebih banyak kerjasama dengan agensi lain bagi membantu usahawan wanita.
Menerusi Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita sempena Sidang Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) itu diharapkan dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus bangkit menyahut cabaran dan terus maju.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Juliah Salag, berpendapat semua usahawan wanita memanfaatkan sepenuhnya ilmu diperoleh menerusi Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita berkenaan.
Wanita juga perlu cekal bukan sahaja dalam aspek fizikal dan mental, tetapi kebolehan mengurus emosi terutama kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19," katanya.
Dalam Belanjawan Sabah 2022 tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM17.61 juta iaitu masing-masing sebanyak RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju dan RM5.81 juta kepada JHEWA.
Peruntukan itu bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita di Sabah.