Selasa, 11 Januari 2022 | 10:30am
Rohana bersama 10 rakan dari kumpulan S1FU membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Kampung Setia Karak, Karak, baru-baru ini . - Foto/Ihsan S1FU
Rohana bersama 10 rakan dari kumpulan S1FU membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Kampung Setia Karak, Karak, baru-baru ini . - Foto/Ihsan S1FU
Rohana (kanan) mencuci pinggang mangkuk salah di kediaman mangsa banjir di Kampung Setia Karak. - Foto/Ihsan Rohana Shadan
Rohana (kanan) mencuci pinggang mangkuk salah di kediaman mangsa banjir di Kampung Setia Karak. - Foto/Ihsan Rohana Shadan
Memasuki kawasan pedalaman mencari rumah yang belum dibersihkan akibat musibah banjir.- Foto/Ihsan S1FU
Memasuki kawasan pedalaman mencari rumah yang belum dibersihkan akibat musibah banjir.- Foto/Ihsan S1FU
Anggota kumpulan S1FU diketuai oleh Mohd Najib (kiri) bersama mangsa banjir di Sri Muda, Shah Alam. - Foto/Ihsan S1FU
Anggota kumpulan S1FU diketuai oleh Mohd Najib (kiri) bersama mangsa banjir di Sri Muda, Shah Alam. - Foto/Ihsan S1FU

Setiap ruang rumah diselaputi lumpur

KUALA LUMPUR: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang digambarkan oleh sukarelawan yang membantu mangsa terkesan akibat tragedi banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Pelbagai bentuk bantuan diberi hanya dapat meringankan beban mereka, Namun, apa dirasa dan dilalui mangsa banjir yang terkesan hingga rumah, harta benda musnah, selain ada yang terkorban jauh lebih memeritkan serta sukar diterjemahkan.

"Setiap ruang rumah diselaputi lumpur, kotor dan pelbagai rosak di sana sini," kata sukarelawan Rohana Shadan, 43.

Beliau bersama 10 rakan lain dari kumpulan Saiful One Fitness United (S1FU) menyingsing baju dan mengerah kudrat bersatu hati membantu membersihkan rumah mereka dipenuhi selut lumpur, selain menghulurkan barangan keperluan meringankan mangsa.

"Ini kali pertama saya menjadi sukarelawan membantu membersihkan kediaman mangsa terjejas akibat banjir di beberapa kawasan termasuk di Dengkil, Puchong, Bukit Canggang, Taman Sri Muda, Shah Alam serta di Karak, Pahang.

"Pada awalnya ia berlaku secara kebetulan apabila kediaman ibu bapa seorang rakan kami di Nanding, Hulu Langat, dinaiki air hingga untuk membersih dan mengemas.

"Ketika itu saya, suami dan anak sepatutnya bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan tetapi memandangkan banyak lokasi banjir kami batalkan hasrat itu walaupun sudah membuat tempahan.

"Saya dan suami menyertai kumpulan itu untuk membantu mangsa pasca banjir. Jadi kami menghabiskan cuti sudah diambil walaupun pada mulanya saya kurang berminat. Ternyata selepas menyertainya saya mendapat banyak pengajaran mengenai kehidupan," katanya.

Julieana Sarean (kanan duduk barisan depan) bersama rakan sukarelawan lain ketika misi bantuan mangsa banjir di Bukit Changgang Banting. - Foto/Ihsan S1FU
Julieana Sarean (kanan duduk barisan depan) bersama rakan sukarelawan lain ketika misi bantuan mangsa banjir di Bukit Changgang Banting. - Foto/Ihsan S1FU

Sebaik tiba di rumah ibu bapa rakannya itu, beliau terkedu melihat keadaan rumah yang kotor dan tunggang-langgang akibat dibawa air banjir yang naik sehingga hampir ke paras bumbung.

Penolong Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu berkata, beliau bersama 10 rakan lain terus menjalankan kerja membersihkan lumpur, mencuci lantai dan membersihkan barang yang masih boleh digunakan.

"Ketika itu perasaan saya sangat sedih dan berfikir jika berada di tempat mangsa banjir, sudah pasti tidak dapat menerima keadaan itu.

"Namun, apabila melihat mereka yang sentiasa tersenyum dan mengalu-alukan kedatangan kami, saya dapat merasakan seakan sudah pasrah dengan dugaan yang melanda," katanya.

Ibu empat anak ini berkata, sejak itu beliau dan kumpulannya mencari rumah mangsa banjir memerlukan bantuan terutama di kawasan pedalaman yang kurang mendapat bantuan.

"Kami hanya sukarelawan biasa dan bukan bernaung di bawah mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi ramai rakan menyumbang untuk kerja amal ini.

"Dengan sumbangan itu, kami membeli barangan keperluan seperti makanan dan peralatan mencuci untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Rohana memang sensitif kepada bau dan amat mementingkan kebersihan, namun apabila turun padang melihat sendiri keadaan mangsa banjir, semua itu perlu dilakukan.

"Saya harap ramai lagi sudi membantu mangsa banjir, namun jika ingin memberikan barangan terpakai, beri yang sesuai kerana kita perlu meletakkan diri kita di tempat mereka," katanya.

Pengurus pemasaran, Julieana Sarean Sarmat, 33, dari kumpulan sama, berkata walaupun ini bukan kali pertama menjadi sukarelawan, namun pengalaman misi sukarelawan pasca banjir lebih bermakna.

Katanya, ketika mengikuti misi itu hatinya begitu tersentuh, jiwa meruntun dan sebak melihat keadaan mangsa banjir.

"Saat paling sedih ketika misi membersihkan rumah di sebuah kampung di Pahang, air tiba-tiba naik, namun penduduk masih mampu tersenyum dan meminta kami pulang segera bagi mengelak terperangkap.

"Kami dapat merasakan bagaimana trauma dan remuk hati dengan musibah ini, tetapi mampu tersenyum mengalu-alukan kumpulan kami membantu membersihkan rumah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga merujuk media sosial untuk mencari kawasan memerlukan bantuan.

"Kami juga masuk ke kawasan pedalaman dan mencari rumah yang masih belum dibersihkan.

"Ada tuan rumah menangis selepas kami selesai membersihkan rumah mereka," katanya yang hanya melakukan kerja kesukarelawan pada hujung minggu.

Berita Harian X