Selasa, 4 Mei 2021 | 11:22am
Polis bantuan wanita di Johor Port turut menjalani latihan yang ketat dan mencabar.- Gambar Ihsan Johor Port
Polis bantuan wanita di Johor Port turut menjalani latihan yang ketat dan mencabar.- Gambar Ihsan Johor Port

Johor Port lantik ramai wanita sebagai polis bantuan

KUALA LUMPUR: Bekerja di pelabuhan bukan suatu perkara yang mudah khususnya dalam kalangan wanita terutama apabila membabitkan bidang penguatkuasaan undang-undang yang didominasi lelaki.

Namun, Johor Port Berhad (Johor Port) iaitu ahli kumpulan MMC Corporation Berhad, komited melantik lebih ramai wanita menjadi polis bantuan, di Pelabuhan Johor.

Polis Bantuan Pelabuhan Johor adalah pasukan keselamatan bersenjata yang bertanggungjawab memastikan keselamatan di kawasan pelabuhan itu sentiasa berada dalam tahap terbaik daripada sebarang ancaman melalui darat, laut atau udara.

Mereka adalah responden utama untuk semua jenayah dan insiden yang berlaku di kawasan berkenaan, bertanggungjawab melindungi dan memberi perkhidmatan kepada komuniti pelabuhan, mencegah jenayah serta menambah nilai pengalaman pelanggan yang masuk menerusi pintu masuk selatan negara itu.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir, berkata pihaknya percaya kesamaan jantina, justeru mengangkat peranan wanita di organisasinya.

Katanya, ia termasuk Polis Bantuan Pelabuhan Johor yang mana pihaknya memastikan mereka turut diberi peluang yang sama dalam pembangunan kerjaya seperti rakan sekerja lelaki lain.

"Malah polis bantuan wanita juga dapat memberikan kemahiran yang berlainan sebagai contoh mangsa wanita lebih selesa dengan polis daripada golongan sama untuk menenangkan mereka atau dalam membantu siasatan," katanya.

Md Derick berkata, polis bantuan wanita turut menjalani latihan polis yang mencabar dan ketat bersama rakan sekerja yang lain di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Selain itu katanya, mereka turut menjalani pelbagai latihan kemahiran secara berkala untuk meningkatkan prestasi dan memastikan persiapan sentiasa mencukupi untuk menjalankan tugas.

Katanya, latihan berterusan dijalankan Polis Bantuan Johor Port termasuk Program Latihan Senjata Api Dwitahunan di Lapang Sasar Menembak Ladang REM, Kota Tinggi, Johor.

"Latihan itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam aspek pengendalian senjata api, meningkatkan kopetensi melalui latihan senjata api terkini dan meningkatkan keyakinan diri dalam berdepan situasi tidak terduga.

"Sesi latihan yang dijalankan termasuk kemahiran tembak pistol 'Centre Fire' dan tembak 'pumpgun Falling Plate' menggunakan senjata api jenis Glock19 9mm dan pumpgun-12 bore," katanya.

Beliau berkata, ketika ini Polis Bantuan Johor Port terdiri daripada 85 pegawai dan anggota termasuk lima wanita dengan penugasan yang sama dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan pelabuhan dan maritim di perairan Pelabuhan Johor.

"Justeru, Johor Port komited melantik dan melihat lebih ramai wanita menjadi sebahagian daripada pasukan keselamatan di Pelabuhan Johor," katanya.

Sementara itu, Lans Koperal Azie Azuwa Zainuddin berkata, beliau bangga apabila diberi peluang menjadi polis bantuan di Pelabuhan Johor.

Katanya, walaupun kerjayanya mencabar namun sangat menarik kerana tidak semua wanita mampu melakukannya.

"Saya berharap dapat melihat lebih ramai wanita dalam bidang ini dan membantu memperluaskan lagi demografi profesion ini," katanya.

Katanya, mereka berminat dengan kerjaya mencabar digalakkan memohon dan menyertai pasukannya menjaga keselamatan negara.

"Pada era kini, wanita mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki dan sebagai ibu, anak perempuan atau kakak, kita mampu menjadi contoh wanita dan polis wanita yang hebat," katanya.

Berita Harian X