X
Khamis, 15 April 2021 | 10:46am
Siti Juita Mastura, wanita pertama Malaysia memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional. Foto Essa Abu Yamin
Siti Juita Mastura, wanita pertama Malaysia memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional. Foto Essa Abu Yamin

Siti Juita Mastura aktif cipta dron

BATU PAHAT: Pembabitan wanita dalam bidang teknologi dron amat kurang, sedangkan kerjaya itu mampu menawarkan peluang besar untuk berkembang dalam industri dron komersial.

Wanita pertama Malaysia memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional, Siti Juita Mastura Mohd Saleh, 39, berkata tidak mustahil wanita berjaya dalam bidang yang sinonim dengan golongan lelaki.

Beliau berkata, wanita perlu mengorak langkah dengan memperkasakan dalam pelbagai bidang khususnya sains dan teknologi.

Katanya, teknologi dron bidang mudah dipelajari, cuma seseorang perlu mempunyai minat yang tinggi dalam bidang itu.

"Bidang ini tidak memerlukan banyak tenaga, sebaliknya kemahiran dalam kejuruteraan seperti kejuruteraan mekatronik dan mekanikal.

"Untuk mengendali dan mengawal dron awam agak mudah kerana strukturnya ringan dan stabil.

"Bagaimanapun, bagi dron untuk perlumbaan atau dron kargo ia lebih berat. Mereka perlu melakukan banyak latihan, konsisten dan lebih berhati-hati," katanya.

Teknologi dron bidang mudah dipelajari.- Foto Essa Abu Yamin
Teknologi dron bidang mudah dipelajari.- Foto Essa Abu Yamin

Beliau yang juga pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berkata lesen miliknya itu mendapat pengiktirafan Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA), selain beberapa lagi negara lain di Asia turut mengiktiraf lesen berkenaan seperti Singapura.

Katanya, lesennya itu untuk kegunaan komersial membabitkan dron seberat tujuh hingga 25 kilogram dan kebiasaannya digunakan dalam aktiviti kargo, pemantauan serta rakaman foto dan video.

"Bagi mereka yang ingin menerbangkan dron untuk tujuan komersial, termasuk di Malaysia perlu mempunyai lesen dan berhubung dengan Air Traffic Control (ATC) atau pusat kawalan udara kerana tidak boleh menerbangkan sesuka hati.

"Bermula tahun ini, Malaysia mula mengawal aktiviti menerbangkan dron bagi mengelak kesesakan di ruang udara kerana berkemungkinan akan berlaku kemalangan," katanya.

Beliau yang aktif membangun dron untuk tujuan pertanian dan pemantauan dari udara, di mana dengan penyelidikan melalui UTHM dua dron, ia berjaya dihasilkan dikenali sebagai Pinexri-20 dan Pinexri-X dan kini digunakan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Justeru, katanya, ketika ini penggunaan dron begitu luas dalam kalangan masyarakat untuk pelbagai tujuan.

"Baru-baru ini, kami menerima pertanyaan daripada sebuah syarikat penerbangan sama ada boleh mencipta dron untuk membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan bagi membaiki komponen kapal terbang.

"Ada juga syarikat minyak dan gas meminta pendapat untuk membuat dron bagi tujuan pemeriksaan dan penyelenggaraan di beberapa bahagian pelantar minyak yang tidak boleh diakses pekerja di tempat itu.

"Pada saya, ilmu pengetahuan dan kemahiran dimiliki seseorang dalam bidang ini akan memberi banyak kelebihan. Jika memahami konsep dron macam-macam boleh lakukan mengikut keperluan peralatan itu," katanya.

Siti Juita Mastura berkata, beliau kini sedang mengikuti kursus dan ujian sebelum mengambil lesen, malah menjadi satu-satunya wanita yang mengikuti kursus terbabit.

"Walaupun hanya saya wanita di situ, tenaga pengajar dan rakan dari luar negara tidak memandang rendah saya.

"Mereka semua sering memberi semangat dan tidak kedekut berkongsi ilmu dalam bidang berkenaan.

Tentera Barat menggunakan teknologi dron untuk menyerang musuh. - Foto hiasan
Tentera Barat menggunakan teknologi dron untuk menyerang musuh. - Foto hiasan

"Sokongan suami dan ahli keluarga membuatkan kerja saya lebih mudah dan berjaya sehingga ke tahap ini.

"Sejak kecil saya minat bermain dengan beberapa permainan membabitkan teknologi dan sehingga kini hobi saya adalah mengumpul gajet seperti permainan video dan ada banyak koleksi dron peribadi," katanya.

Siti Juita Mastura yang memiliki kelulusan doktor falsafah dari Universiti Cranfield, United Kingdom, berkata antara cabaran untuk memiliki lesen adalah perlu melengkapkan beberapa projek termasuk pembinaan pesawat ringan baharu Brazil yang digunakan untuk aktiviti pemantauan.

Selain itu, beliau dilantik menerajui syarikat milik UTHM dalam bidang aeronautik yang dikenali sebagai Aviation Technology Expert Solution (AVITEX).

"AVITEX menjalankan tiga cabang pengkhususan, iaitu Southern Drone Academy, Southern Drone School dan Southern Drone Solution," katanya.

Berita Harian X