Selasa, 23 Februari 2021 | 11:52am
Laman sesawang #JomEducate, sebagai pusat sehenti bagi menyokong pendidikan secara digital. - Gambar hiasan
Laman sesawang #JomEducate, sebagai pusat sehenti bagi menyokong pendidikan secara digital. - Gambar hiasan

Direktori Pendidikan bantu carian inisiatif pembelajaran digital

KUALA LUMPUR: Kesukaran murid, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah mengikuti pembelajaran dalam norma baharu, mencetuskan idea untuk mewujudkan Direktori Pendidikan Pembelajaran Digital secara percuma kepada golongan itu.

Pegawai kewangan, Ajjrina Annuar, 33, ibu kepada tiga cahaya mata, terpanggil mewujudkan laman sesawang #JomEducate, sebagai pusat sehenti bagi menyokong pendidikan secara digital.

"Saya bukan guru, tetapi amat terkesan apabila ramai kenalan dan warga pendidik menceritakan anak murid mereka tidak dapat belajar dengan sempurna, tiada peranti dan data internet, terpaksa berkongsi atau menggunakan telefon pintar ibu bapa selepas waktu pembelajaran.

"Ini sedikit sebanyak meruntun perasaan kerana masih ada masyarakat ketinggalan, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan carian dan maklumat dalam norma baharu pendidikan digital.

"Alhamdulillah, biarpun baru beberapa hari kini sudah ada lebih 8,000 pengguna, 25,000 kali laman #JomEducate ini dikunjungi dan 75,000 pengguna menyertai aktiviti atau pergi ke pautan yang berkenaan," katanya ketika dihubungi BH.

Ajjrina berkata, paling utama baginya adalah mahu masyarakat mengetahui inisiatif sedia ada untuk dimanfaatkan.

"Sebagai ibu, saya tidak mahu wujud jurang pendidikan lebih luas dengan keadaan sistem pendidikan yang terkini menerusi transformasi ke arah digital, pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR), tetapi hakikatnya ramai murid daripada keluarga tidak berkemampuan.

"Justeru, apabila mewujudkan satu direktori pendidikan digital menerusi #JomEducate rakyat, ia memberi maklumat mengenai inisiatif pembelajaran digital yang percuma atau beri subsidi untuk masyarakat," katanya.

Beliau menyasarkan pendaftaran hingga 100,000 pengguna bagi membolehkan usaha memupuk kesedaran menjadi lebih menyeluruh.

"Biarpun zaman teknologi maklumat masih ramai lagi tiada peranti pintar dan data internet yang mana sebenarnya melalui subsidi program jaringan PRIHATIN khusus kepada golongan B40 akan menerima bantuan kredit telekomunikasi sebanyak RM180 seorang bermula Mac ini.

"Menerusinya, penerima boleh menggunakan bantuan kredit telekomunikasi bagi melanggan perkhidmatan internet atau menampung sebahagian kos bagi pembelian telefon pintar yang baru," katanya.

Ada juga pelbagai bantuan kesihatan mental seperti Talian Buddy Bear oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humankind yang menawarkan bantuan khusus untuk kanak kanak dan remaja secara percuma.

Pada masa depan, beliau berharap untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan, NGO dan rakyat bagi memperkasakan dunia pendidikan secara kolektif.

Berita Harian X