Khamis, 28 Januari 2021 | 11:30am
Dr Nur Fatehah Hanim
Dr Nur Fatehah Hanim

Tak hirau penat demi tugas lawan COVID-19

KUALA LUMPUR: Bukan calang-calang pengorbanan petugas barisan hadapan menangani pandemik COVID-19 yang masih menular sejak dikesan di negara ini genap setahun pada 25 Januari lalu.

Walaupun keletihan, pegawai perubatan bertugas tetap bersemangat untuk terus berbakti kepada negara.

Doktor muda wanita di Unit Penyelidikan COVID-19 (CRU) Hospital Sungai Buloh (HSB), Dr Nur Fatehah Hanim Ibrahim Bakri, 28, tetap ampuh.

Beliau yang berkhidmat enam bulan di hospital itu terlalu gembira apabila diberi peluang cuti rehat sehari, selain cuti berjadual mengikut syif sebelum itu.

Justeru, cuti rehat sehari itu dimanfaatkan beliau untuk menebus masa yang hilang dan melakukan aktiviti biasa.

"Saya habiskan masa makan bersama keluarga, mengemas rumah dan berjoging.

"Saya faham cuti kami dibekukan kerana tuntutan tugas kepada negara. Alhamdulillah, sepanjang di CRU saya tidak pernah sakit, mengambil cuti sakit atau kecemasan.

"Memang tiada cuti langsung dan terus bekerja mengikut syif dan jadual.

"Ketika pihak atasan maklumkan saya dapat cuti rehat sehari sebagai penghargaan bekerja keras sepanjang pandemik, saya rasa amat dihargai," ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Berulang-alik dari Tanjung Malim ke Sungai Buloh hampir setiap hari kerana tiada pengasuh menjaga anak perempuannya, Wan Ameena Irdina yang berusia dua tahun setengah, Dr Nur Fatehah Hanim menyifatkan pengorbanannya sebagai bakti kepada negara.

Dr Nur Fatehah Hanim (kanan) bersama rakan sekerja lengkap berpakaian PPE bergambar sebelum merawat pesakit.
Dr Nur Fatehah Hanim (kanan) bersama rakan sekerja lengkap berpakaian PPE bergambar sebelum merawat pesakit.

Sukar menahan sedih ketika mula-mula ditempatkan di CRU, beliau belajar menyesuaikan diri dengan tanggungjawab walaupun mengakui tidak dapat lari daripada kepenatan akibat beban tugas.

"Apabila berasa tertekan, keluarga sentiasa memujuk supaya segala yang dibuat diniatkan bekerja kerana Allah. Alhamdulillah, saya tenang dan boleh menghadapi cabaran setiap hari dengan baik.

"Mungkin itu yang membuatkan saya terbiasa menempuh perjalanan jauh hampir setiap hari.

"Saya selalu percaya jika kita merawat pesakit seperti keluarga sendiri, mungkin ada melakukan perkara sama dan keluarga satu hari nanti," katanya.

Tiga tahun bertugas, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dan melengkapkan latihan amali perubatan serta beberapa bulan menjadi pegawai perubatan di Jabatan Anestesiologi hospital sama sebelum ke HSB.

Dr Nur Fatehah Hanim memakaikan pesakit alat bantuan oksigen.
Dr Nur Fatehah Hanim memakaikan pesakit alat bantuan oksigen.

Katanya, sokongan suami, Wan Aufar Fakhirin Wan Azahari, 28, sebagai tulang belakang memahami skop tugas memudahkan keadaan.

"Suami pendengar yang baik dan sering meletakkan saya di zon selesa. Dia tidak pernah merungut walaupun ada masa menunggu saya pulang berjam-jam," katanya.

Beliau turut mendapat suntikan semangat daripada ibunya, Dr Noor Safina Ahmad Noor, yang bertugas di Pusat Kesihatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, kecekalan ibu yang turut terbabit merawat pesakit COVID-19 banyak memberi inspirasi dan kekuatan untuknya menabur bakti dalam detik genting seperti sekarang.

"Keluarga mentua di Kelantan amat memahami mengapa kami sudah lama tidak pulang ke kampung akibat kekangan tugas.

"Semua ini menguatkan semangat saya untuk terus berjuang bersama ribuan rakan lain," katanya.

Dr Nur Fatehah Hanim komited merawat pesakit COVID-19.- Foto/Ihsan Dr Nur Fatehah Hanim
Dr Nur Fatehah Hanim komited merawat pesakit COVID-19.- Foto/Ihsan Dr Nur Fatehah Hanim

Berita Harian X