Selasa, 19 Januari 2021 | 10:57am
DR Siti A’iasah
DR Siti A’iasah

Siti A'iasah pecah tradisi kemudi Nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR: Meningkatkan pembabitan golongan wanita dalam bidang sains nuklear di negara ini, khususnya di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), bakal menjadi cabaran tersendiri buat Dr Siti A'iasah Hashim, yang dilantik mengemudi agensi itu, pada Oktober tahun lalu.

Tanggungjawab menyeimbangkan peranan golongan wanita dan lelaki dalam agensi itu, khususnya di peringkat pembuat keputusan, ternyata terbukti apabila beliau dilantik wanita pertama di negara ini sebagai Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Ini sekali gus Siti A'iasah berjaya memecah tradisi kepemimpinan ketua pengarah yang selama ini dimonopoli lelaki, sejak penubuhan agensi itu pada 1972.

Walaupun pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan di agensi itu belum menyamai pencapaian dalam industri lain, ia tidak bermakna Siti A'iasah perlu bermula daripada sifar kerana peranannya di Nuklear Malaysia sudah bermula sejak awal penubuhannya.

Siti A'iasah berkata, antara misi beliau adalah untuk mencungkil lebih ramai wanita diberi peluang sebagai penyelidik, iaitu antara bidang tugas utama di agensi itu.

Katanya, ketika ini jumlah penyelidik wanita di Nuklear Malaysia kini mencecah 45 peratus berbanding penyelidik lelaki, manakala kakitangan wanita secara keseluruhan adalah sekitar 40 peratus berbanding 60 peratus lelaki.

Katanya, sumbangan antara kedua-duanya hampir sama rata dengan penyelidik wanita juga banyak menghasilkan produk dan terbabit dalam pelbagai projek di agensi itu.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan kebimbangan susulan penurunan jumlah pelajar yang memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di universiti, secara tidak langsung bakal menjejaskan kemasukan wanita ke Nuklear Malaysia.

"Secara umum, memang sudah ada ramai pelajar wanita dalam bidang sains dan kejuruteraan di universiti, namun bila masuk ke alam pekerjaan, lelaki yang lebih ramai membina kerjaya dalam bidang ini.

Dr Siti A’iasah ketika lawatan kerja ke accelerator systemdi Wakasa-wan Energy Research.- Foto/Ihsan Nuklear Malaysia
Dr Siti A’iasah ketika lawatan kerja ke accelerator systemdi Wakasa-wan Energy Research.- Foto/Ihsan Nuklear Malaysia

"Perkara ini mungkin berlaku apabila wanita tidak menyerlah ketika sesi temu duga pekerjaan kerana ramai yang terlalu ikut buku, sedangkan kita mahu individu serba boleh, berani mengeluarkan pendapat dan kreatif.

"Ini tidak bermakna wanita tidak kreatif, namun kadang-kadang teragak-agak ketika diminta pendapat dan membuat keputusan, berbanding lelaki.

"Ini cabaran perlu diatasi, iaitu bermula pada peringkat universiti, pelajar wanita perlu dididik supaya lebih berani menyuarakan pendapat, tidak terlalu ikut buku, kreatif dan minat bidang sains," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Siti A'iasah yang memiliki Ijazah Pertama Kejuruteraan (Elektrik), University of New South Wales, Australia, berkata wanita yang memilih bidang sains perlu berani menceburkan diri dalam bidang berbeza daripada dipelajari.

Sebagai contoh, beliau memberanikan diri menyertai Nuklear Malaysia walaupun berlatar belakang kejuruteraan elektrik, dengan peranan pertamanya sebagai jurutera bertanggungjawab terhadap satu mesin penyinaran, yang kebiasaannya dikuasai lelaki, ketika itu.

"Saya beranikan diri menceburi bidang yang saya langsung tiada latihan pada mulanya dan berkhidmat di bahagian penyinaran hampir 20 tahun.

"Ijazah Kedoktoran saya pula dalam bidang Fizik Gunaan (Kawalan Pencemaran Udara). Ia bukan bidang saya, apatah lagi membabitkan fizik dan kimia, iaitu subjek yang saya agak lemah.

"Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan Ijazah Kedoktoran. Ini yang saya maksudkan kena berani mencari ruang untuk berkembang.

"Jika saya teruskan dengan bidang kejuruteraan elektrik dan operasi penyelenggaraan mesin, mungkin saya tidak berada di kedudukan ini," katanya.

Ditanya kemungkinan golongan wanita bimbang terdedah dengan radioaktif jika berkhidmat di Nuklear Malaysia, Siti A'iasah, mengakui terdapat risiko kesihatan pada wanita mengandung yang bertugas di bahagian penyinaran.

Bagaimanapun, katanya, Nuklear Malaysia menitikberatkan aspek keselamatan kakitangan, dan menyediakan segala langkah perlu untuk memastikan tiada kakitangan, khususnya wanita mengandung, terdedah dengan radioaktif.

Meninjau aktiviti Latihamal Kesiapsagaan Keemasan dan Sekuriti di sekitar Nuklear Malaysia
Meninjau aktiviti Latihamal Kesiapsagaan Keemasan dan Sekuriti di sekitar Nuklear Malaysia

"Antara langkah keselamatan termasuk kakitangan di bahagian sinaran wajib menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dua tahun sekali serta sebelum bersara dan menghadiri kursus keselamatan," katanya, memaklumkan rekod pekerja sinaran akan disimpan selama 20 tahun selepas bersara untuk rujukan.

Siti A'iasah berkata, prospek kerjaya sebagai penyelidik di Nuklear Malaysia adalah luas kerana ia meliputi pelbagai bidang kajian.

Beliau berkata, agensi itu tidak hanya menumpukan kepada penyelidikan teknologi nuklear, sebaliknya ia meliputi bidang lain.

"Agensi ini juga menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan, pertanian, minyak dan gas serta beberapa industri lain.

"Banyak kebaikan jangka panjang sebagai penyelidik, terutama jika berjaya menghasilkan produk yang boleh dipaten dan dijual ke pasaran. Jika produk dihasilkan berjaya dijual, penyelidik akan terima hasil royalti.

"Antaranya, penyelidik Nuklear Malaysia berjaya hasilkan baja untuk pelbagai jenis tanaman dan baru-baru ini, kita serahkan royalti pertama berjumlah lebih RM200,000.

Dr Siti A'iasah (kanan) menerima watikah Perlantikan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dari Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Oktober 2020.
Dr Siti A'iasah (kanan) menerima watikah Perlantikan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dari Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Oktober 2020.

"Selagi produk itu dijual, ia akan menerima royalti itu. Ini antara motivasi kepada pegawai penyelidik dan boleh dijadikan daya tarikan kepada pelajar untuk masuk ke bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan sains," katanya.

Berita Harian X