Selasa, 12 Januari 2021 | 10:36am
Dr Farah Shaheera jadi doktor pelatih pakar bedah di Northampton General Hospital, UK.
Dr Farah Shaheera jadi doktor pelatih pakar bedah di Northampton General Hospital, UK.

Hasilkan hijab pakai buang selepas diarah keluar dewan bedah

KUALA LUMPUR: Pengalaman diminta keluar dari dewan pembedahan (OT), di Queens Medical Centre, di United Kingdom (UK) disebabkan memakai tudung tidak sesuai mengikut prosedur standard, menjadi titik tolak kepada Dr Farah Shaheera Roslan, 27, mencipta sejarah dalam menyelesaikan masalah doktor wanita Muslim berhijab.

Kejadian ketika beliau berada di tahun pertama bagi menjalani latihan di pusat perubatan berkenaan pada 2018 itu terus kekal dalam ingatannya.

Namun, Dr Farah Shaheera yang kini bertugas sebagai doktor pelatih pakar bedah di Northampton General Hospital, UK bangga apabila usahanya merealisasikan penggunaan hijab pakai buang ketika berada di OT mendapat sambutan positif, sekali gus mendapat pengiktirafan Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020, selain dicalonkan dalam British Muslim Award 2020.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, pengalaman itu tidak pernah mematahkan semangatnya dan selepas tamat sebagai doktor pelatih pada Ogos 2020, beliau berusaha mencuba untuk terpilih menjadi pelatih pakar bedah di UK kerana saingan sangat kompetitif iaitu nisbah 1:4 yang berjaya.

Akhirnya beliau terpilih dan berada di bawah pemantauan mentor merangkap idola dan inspirasinya, pakar bedah kolorektal dan Head of East Midlands School of Surgery, Dr Gillian Tierney.

Dr Farah Shaheera merealisasikan penggunaan hijab pakai buang ketika berada di dewan pembedahan mendapat sambutan positif, sekali gus mendapat pengiktirafan Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020, selain dicalonkan dalam British Muslim Award 2020.
Dr Farah Shaheera merealisasikan penggunaan hijab pakai buang ketika berada di dewan pembedahan mendapat sambutan positif, sekali gus mendapat pengiktirafan Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020, selain dicalonkan dalam British Muslim Award 2020.

Bermula daripada situ, Dr Farah Shaheera mula mengutarakan isu berkenaan kepada Dr Tierney dan ternyata ia mendapat perhatian serius, selain turut menunjukkan kertas kerja oleh British Islamic Medical Association (BIMA) berkenaan doktor wanita Muslim berdepan kesukaran di OT.

"Dalam kertas kerja BIMA itu, ia mencadangkan tiga penyelesaian iaitu memakai tudung lain ketika di OT, memakai ortopedik hood yang dilihat masih ada kekurangan kerana aurat boleh kelihatan dan hijab pakai buang yang masih tiada lagi dihasilkan.

"Biarpun ia bukan idea asli daripada saya, tetapi saya cuba mengatasi perkara ini dengan memilih untuk merealisasikan hijab pakai buang demi tuntutan kepada agama dan ternyata usaha itu dipermudahkan.

"Saya berusaha menghantar e-mel kepada beberapa syarikat yang menghasilkan barang pembedahan dan rakan sekerja, Fadzlien Syamiela Zahari turut membantu mendapatkan sampel hijab pakai buang ini melalui kenalannya di Malaysia.

"Bahkan BIMA juga sentiasa membantu mencari idea dan bekerjasama mengenai aspek garis panduan penggunaan hijab untuk kegunaan klinikal, selain Dr Tierney turut menyatakan sokongan dengan pembelian hijab pakai buang menerusi Royal Derby Hospital," katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, suaminya, Dr Luqman Safwan Che Mohd Fauzi, 28, yang bertugas sebagai pelatih perubatan di Nottingham University Hospital juga menjadi sentiasa memberi semangat kepadanya untuk berusaha mencari hijab pakai buang sesuai.

Dr Farah Shaheera bersama suami, Dr Luqman Safwan.
Dr Farah Shaheera bersama suami, Dr Luqman Safwan.

Jelasnya, segala usaha dipermudahkan biarpun mempunyai komitmen bekerja sepenuh masa dan sebagai isteri.

"Saya sukakan cabaran dan sentiasa positif untuk cuba menghasilkan yang terbaik demi manfaat semua orang.

"Biarpun pada dasarnya, hijab pakai buang ini bukan perkara wajib ketika di OT kerana tudung lain yang bersih juga boleh digunakan, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu menyelesaikan masalah menutup aurat ketika di OT jika keadaan mendesak.

"Tidak bermakna, wanita Muslim tidak boleh menutup aurat ketika bertugas di OT. Bahkan melihat kepada kos sehelai hijab pakai buang ini juga tidak mahal iaitu kira-kira 1.1 Pound sterling (RM5.98) saja," katanya.

Beliau berharap doktor wanita Muslim bertudung tidak merasakan agama jadi penghalang untuk mengejar impian dan cita-cita kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

"Jangan sekali-kali berkompromi membabitkan nilai penting dalam diri kita kerana akan timbul konflik dalaman dan memakan jati diri kita jika dibiarkan berterusan," katanya.

Perjuangan diiktiraf peringkat antarabangsa

Kecil molek orangnya, namun keperibadian dan semangat yang ditonjolkan Dr Farah Shaheera Roslan, 27, ternyata menarik perhatian sehingga dianugerahkan Nottingham Foundation Doctor of the Year 2019.

Dr Farah Shaheera sukakan cabaran dan sentiasa positif untuk cuba menghasilkan yang terbaik demi manfaat semua orang.
Dr Farah Shaheera sukakan cabaran dan sentiasa positif untuk cuba menghasilkan yang terbaik demi manfaat semua orang.

Ia diperoleh menerusi platform Junior Doctor Council yang ditubuhkan di setiap hospital di United Kingdom (UK) dengan tujuan memastikan kebajikan, isu seperti dibuli di tempat kerja dapat diatasi.

Dr Farah Shaheera berkata, bekerja di mana-mana pasti ada cabarannya lebih-lebih lagi apabila menjadi golongan minoriti, di mana kebanyakan mereka kurang peka isu agama seperti kewajipan solat, menutup aurat dan sebagainya, namun tetap mencuba.

Menerusi Junior Doctor Council, beliau secara sukarela menjadi wakil bagi doktor pelatih di tempat kerjanya bagi mengetengahkan dan mengutarakan setiap isu dan masalah yang timbul.

"Setiap bulan saya datang pada mesyuarat berkenaan dan mengutarakan pelbagai perkara yang merunsingkan rakan, selain inisiatif bagi memastikan mereka selesa dan selamat bekerja.

"Tidak kira peringkat apa dalam perubatan seperti doktor pelatih, pakar bedah, ortopedik, bahagian kecemasan, masing-masing ada persatuan mereka untuk membicarakan sebarang isu kerana dari sini, sebarang masalah dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di University of Nottingham, UK pada Julai 2018, mula bekerja sebagai doktor pelatih di Queens Medical Centre, Nottingham pada Ogos selepas itu.

Dr Farah Shaheera berharap doktor wanita Muslim bertudung tidak merasakan agama jadi penghalang untuk mengejar impian dan cita-cita
Dr Farah Shaheera berharap doktor wanita Muslim bertudung tidak merasakan agama jadi penghalang untuk mengejar impian dan cita-cita

Ketika ini, beliau bertugas sebagai pelatih pakar bedah di Northampton General Hospital.

Ditanya mengenai perancangan kembali ke Malaysia, beliau mengakui ingin pulang dan berkhidmat di negaranya sendiri, namun ia adalah sebaik tamat menjalani latihan sebagai doktor pakar bedah dan suaminya dalam bidang perubatan umum.

"Saya tidak pasti bila pulang ke Malaysia kerana ingin menjadi pakar bedah, banyak cabaran perlu dilalui di sini dan sepanjang masa kita perlu melalui ujian untuk memastikan kemahiran dan ilmu sentiasa dipertingkatkan.

"Apa yang penting apabila bertugas di negara orang, jangan lupakan jati diri, membawa nilai agama dan bangsa, jangan jadi kacang lupakan kulit dan kita kena yakin dalam setiap apa yang dilakukan tanpa perlu rasa meninggi diri," katanya.

Dr Farah Shaheera (kanan) bantu selesai masalah doktor wanita Muslim di United Kingdom.
Dr Farah Shaheera (kanan) bantu selesai masalah doktor wanita Muslim di United Kingdom.

Berita Harian X