Selasa, 29 Disember 2020 | 10:30am
Siti Nur Sara bertugas sebagai jurulatih selam skuba. - NSTP/Ihsan Siti Nur Sara
Siti Nur Sara bertugas sebagai jurulatih selam skuba. - NSTP/Ihsan Siti Nur Sara

Cabar diri sertai sukan lasak

KUALA LUMPUR: Bermula hanya sekadar suka-suka ingin mencuba sukan mendaki batu, akhirnya bertukar menjadi serius hingga berjaya meletakkan Siti Nur Sara Salehhodin, 32, menjadi atlet untuk sukan berkenaan.

Lebih manis lagi, Siti Nur Sara yang kini bertugas sebagai jurulatih selam skuba menunjukkan kesungguhannya dalam bidang itu menjadi titik tolak kepadanya untuk terus menggapai impian menyertai Sukan ASEAN pada 2018 selepas terpilih daripada beberapa calon atlet lain.

Lebih mesra dipanggil Sara, beliau berkata, tidak mudah untuk menyertai sukan yang dipelopori oleh golongan lelaki kerana pelbagai tanggapan negatif yang didengarnya, namun tidak mengendahkan perkara itu.

Sertai Sukan ASEAN 2018
Sertai Sukan ASEAN 2018

"Ramai yang mempertikaikan saya berjaya menyertai Sukan ASEAN kerana masih baru dalam sukan ini di mana saya bermula pada 2015 dan menyertai pertandingan pada 2018.

"Tetapi ini semua berkat kesungguhan dan latihan yang dijalani serta sokongan keluarga, jadi tiada istilah lelaki sahaja yang boleh menyertai sukan ini kerana untuk terpilih ke Sukan ASEAN ini sangatlah sukar.

"Ini menjadi pengalaman manis bagi saya biarpun tidak berjaya membawa pulang pingat, tetapi berjaya membuktikan jika kita bersungguh, semua boleh diatasi," katanya.

Buktikan wanita lemah lembut, sopan-santun juga mampu lakukan sukan lasak seperti lelaki.- Foto/Ihsan Siti Nur Sara
Buktikan wanita lemah lembut, sopan-santun juga mampu lakukan sukan lasak seperti lelaki.- Foto/Ihsan Siti Nur Sara

Sara berkata, kecintaan beliau terhadap sukan lasak memang tidak dinafikan berikutan kini beliau baru saja menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Pendidikan Sains Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kini, beliau berjinak-jinak menjadi atlet sukan meluncur udara sepenuh masa.

Menceritakan ketika berusaha melayakkan diri menyertai Sukan ASEAN 2018, beliau mengalami kecederaan lutut dan dinasihatkan doktor untuk menjalani pembedahan jika tidak keadaan boleh menjadi lebih teruk.

"Tetapi memikirkan ini sajalah peluang, saya kata tak mengapa, saya hendak teruskan pertandingan dan setiap hari saya akan melakukan rutin latihan dan kemudian proses pemulihan selama lima bulan.

"Apabila kita memilih untuk aktif dalam apa-apa sukan lasak, kecederaan adalah perkara biasa dan jiwa perlu kental. Jika tidak memang kita akan mudah putus asa," katanya.

Katanya, wanita memang sinonim dengan sifat lemah lembut dan pasti mentaliti ahli keluarga bahawa anak perempuan perlu sentiasa dilindungi.

"Jika kita ada peluang untuk cuba sesuatu, cubalah walau sekecil mana sekali pun kerana anda tidak tahu kebolehan sebenar sehinggalah anda cuba.

"Yang penting apabila wanita tahu teknik tepat dan ilmu sebenar dalam apa sahaja sukan lasak diceburi, mereka akan berasa lebih yakin dan tidak menghiraukan kata-kata orang lain.

"Justeru, bagi wanita yang ingin mencuba sukan lasak, teruskan sahaja kerana lama-kelamaan anda akan mahir dan terus jatuh cinta dengan sukan berkenaan," katanya.

Biarpun sisi peribadi Siti Nur Sara lasak, beliau tetap menyedari kecantikan juga tidak lari daripada jiwa wanita.

"Saya juga mencuba sesuatu yang berlainan dalam rutin harian apabila turut menyertai program EcoBeautySquadMY anjuran The Face Shop.

"Memang sangat mencabar kerana dalam keadaan kita yang sentiasa aktif dan perlu tampil menawan.

"Teknik yang diajar di dalam bengkel secara dalam talian adalah ilmu kecantikan yang saya rasakan suatu benda baharu.

"Malah ia mengajar saya untuk sentiasa bersedia dan pengurusan masa kerana saya melakukan dua perkara dalam satu masa.

"Saya individu yang suka mencabar diri untuk mencapai kejayaan dan diharap wanita lain juga mempunyai inspirasi sama," katanya.

Dr Siti A'iasah (kanan) menerima watikah Perlantikan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dari Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Oktober 2020.
Dr Siti A'iasah (kanan) menerima watikah Perlantikan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dari Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Oktober 2020.

Berita Harian X