Selasa, 10 November 2020 | 3:15pm
Peniagawati menghargai usaha kerajaan menyediakan peruntukkan Belanjawan 2021 bagi memulihkan ekonomi termasuk meningkatkan pembangunan wanita menerusi bidang keusahawanan. - Foto hiasan
Peniagawati menghargai usaha kerajaan menyediakan peruntukkan Belanjawan 2021 bagi memulihkan ekonomi termasuk meningkatkan pembangunan wanita menerusi bidang keusahawanan. - Foto hiasan

Belanjawan 2021: Peniagawati hargai peka nasib usahawan

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati) menghargai usaha kerajaan menyediakan peruntukkan Belanjawan 2021 bagi memulihkan ekonomi termasuk meningkatkan pembangunan wanita menerusi bidang keusahawanan.

Presidennya, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, berkata skim pembiayaan mikro kredit disediakan sedikit sebanyak dapat membantu pemulihan perniagaan sektor mikro yang banyak terkesan akibat COVID-19.

"Peruntukan RM50 juta menerusi Skim Ar Rahnu Biznita di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) antara peluang yang harus diambil usahawan wanita Bumiputera.

"Di samping peluang meningkatkan kemahiran dan latihan, terutama dari segi strategi pemasaran, perlabelan, teknikal di bawah Skim Biz Me sangat dialu-alukan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendirian bahawa ekonomi domestik harus dikembang dan digerakkan.

"Ini amat berkait rapat dengan usaha kerajaan membantu pengusaha mengharungi cabaran ekonomi semasa sehingga keadaan pulih.

"Program Beli Barangan Malaysia atau Shop Malaysia Online secara langsung membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama usahawan wanita mengembangkan produk tempatan dan mendapat manfaat berpanjangan serta berterusan," katanya.

Datuk Azlin Ahmad Shaharbi. - Foto NSTP
Datuk Azlin Ahmad Shaharbi. - Foto NSTP

Jelasnya, ketahanan ekonomi dan kelangsungan rakyat saling berkait rapat.

"Apa yang penting penyelarasan dalam melaksanakan inisiatif yang sudah disenaraikan dalam Belanjawan 2021 adalah satu matlamat yang dinantikan.

"Usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan seharusnya diambil kira dengan serius," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa kerajaan menerima cadangan dan mengambil maklum balas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara berterusan untuk memastikan apa yang dibentangkan menepati sasaran.

"Platform khusus untuk sesi libat urus adalah penting untuk rakyat dan kerajaan bersama merealisasikan belanjawan ini secara efektif.

"Peniagawati percaya kerajaan sudah berusaha melakukan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi. Kami melihat banyak usaha yang menghargai sumbangan wanita dalam dalam ekonomi," katanya.

Sehubungan itu, Azlin berkata, pihaknya yakin usaha kerajaan memulihkan ekonomi mencapai sasaran jika semua pihak berlapang dada dengan menyedari COVID-19 adalah masalah global dan seluruh dunia sedang mencuba mengatasinya.

Katanya, Belanjawan 2021 adalah peringkat kelima stategi 6R iaitu memperkasakan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi adalah matlamat induk.

"2020 tahun paling mencabar dan menjejaskan ekonomi, kesihatan, keharmonian dan banyak lagi yang pastinya kami menantikan perkara lebih baik untuk 2021," katanya.

Berita Harian X