Jumaat, 23 November 2018 | 9:21am

Wanita mampu kuasai STEM

KUALA LUMPUR: Persepsi melabelkan kerjaya bidang kritikal khususnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sesuai untuk lelaki perlu diubah bagi mengurangkan ketidakseimbangan jurang gender dalam industri berkenaan.

Hakikatnya, lebih ramai wanita diperlukan untuk mengisi pelbagai kepakaran dalam bidang itu yang dilihat masih rendah, terutama individu layak digelar saintis.

Presiden Women in Nuclear (WiN) Malaysia, Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah, berkata ada beberapa inisiatif perlu diambil dan diperhalusi kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai kerjaya kritikal itu.

Katanya, nisbah graduan wanita dalam bidang STEM jauh lebih tinggi daripada lelaki tetapi akhirnya yang mampu memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam sesuatu organisasi pula masih rendah.

JURANG gender antara wanita dan lelaki dalam bidang STEM perlu diubah untuk memastikan golongan hawa mampu menguasai industri itu.- Foto hiasan
JURANG gender antara wanita dan lelaki dalam bidang STEM perlu diubah untuk memastikan golongan hawa mampu menguasai industri itu.- Foto hiasan

“Oleh itu, kerajaan seharusnya menyediakan kemudahan mesra wanita di tempat kerja, memberi peluang menonjolkan diri dan diberi pengiktirafan sebagai tokoh saintis atau jurutera wanita supaya menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Saya yakin jika usaha lebih proaktif dilakukan ia dapat memupuk minat dan menambah bilangan wanita dalam kerjaya STEM, pada masa hadapan.

“Walaupun tiada sekatan ketara wanita menceburi bidang itu, namun wujud diskriminasi dalam pemilihan ketua perkhidmatan atau dalam proses pelan penggantian di peringkat pengurusan tertinggi.

“Jika isu ini ditangani proses mudah di atasi, dapat mengenal pasti dan membangunkan sumber manusia, khususnya dalam kalangan kakitangan sesebuah organisasi bagi mengisi jawatan utama,” katanya kepada BH Online.

Noor Hasnah yang juga bertanggungjawab sebagai Chief Rapporteur dan Penyelaras bagi Persidangan Antarabangsa Mengenai Wanita dalam Sains, Teknologi dan Inovasi anjuran ISTIC-UNESCO, tahun ini dianggap tokoh saintis cemerlang kerana memberi sumbangan besar sehingga di peringkat global.

Antara sumbangan beliau dalam pembangunan nuklear negara adalah kejayaannya membangunkan sistem pengurusan kualiti berasaskan Standard ISO 9000 bagi kemudahan penyinaran gama SINAGAMA sehingga menerima persijilan ISO 9000, pada 1993.

Pengiktirafan antarabangsa berkenaan menjadikan perkhidmatan penyinaran gama berkenaan adalah entiti kerajaan pertama mendapat pensijilan terbabit pada ketika itu.

WANITA mampu berdaya saing dengan lelaki dalam bidang STEM sekiranya diberi peluang memecahkan tembok jurang gender membabitkan mereka. - FOTO hiasan
WANITA mampu berdaya saing dengan lelaki dalam bidang STEM sekiranya diberi peluang memecahkan tembok jurang gender membabitkan mereka. - FOTO hiasan

Noor Hasnah berkata, setiap ketua organisasi disarankan perlu mengutamakan imbangan kerja dan kehidupan demi kepentingan pekerja, terutama wanita yang disifatkan tunggak utama dalam pembangunan negara.

Beliau yang juga pakar nuklear berkata dan pengalaman bertugas sebagai atase sains di Perwakilan Tetap Malaysia di Vienna, Austria disifatkan paling berharga kerana ia memerlukan kecekapan beliau dalam menangani isu nuklear antarabangsa.

Melihatkan peluang pernah beliau dikecapi di peringkat antarabangsa, Noor Hasnah yakin wanita mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini memandangkan ciri diperlukan secara semula jadi sudah sedia wujud dalam diri mereka.

“Bidang ini memerlukan wanita sentiasa berhati-hati dan cermat terutama dalam mematuhi prosedur ditetapkan ketika bertugas.

“Malah, pelbagai kemahiran diri dan pendidikan terbentang luas mampu melahirkan wanita berdaya saing sekali gus membuktikan peranan mereka setanding lelaki,” katanya.

Untuk berdaya saing mereka perlu menguasai teknologi terkini memandangkan ia mempengaruhi kehidupan.

Justeru, mahasiswi yang memilih bidang STEM sebagai pengkhususan akademik di institusi pengajian tinggi tidak seharusnya menganggap ‘terdesak’ sebaliknya menjadikan ia sebagai platform untuk cemerlang dalam kerjaya itu.

Beliau berkata, namun bidang itu bukan perjalanan mudah untuk kekal berdaya saing dan maju dalam dunia ini tetapi ia boleh diatasi, jika ada kemahuan untuk berjaya.

Noor Hasnah berkata, bukan tugasan mudah apabila wanita berada dalam bidang kritikal kerana ada beberapa kriteria perlu dilengkapi untuk kekal berada dalam bidang seperti itu.

Yang penting kesanggupan menempuh cabaran dengan jadual kerja padat, tekanan emosi akibat beban kerja, tempat kerja kurang selesa dan kesanggupan berjauhan

“Mereka perlu berani bersuara menuntut hak kesaksamaan dalam peluang kenaikan pangkat dan penyediaan kemudahan seperti ruang solat dan pusat penjagaan anak.

“Faktor terbabit menyebabkan ramai wanita semakin cenderung memilih kerjaya lain seperti sebagai usahawan perniagaan dalam talian bagi mengimbangi kerjaya dan keluarga secara sempurna,” katanya.

Anak kelahiran Tapah, Perak ini berkata, pada zaman persekolahannya, pelajar tiada pilihan yang meluas memandangkan saringan ke aliran STEM berdasarkan keputusan peperiksaan.

“Saya belajar dalam aliran sains selepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan seterusnya pilihan terbuka di peringkat universiti cuma kursus jurusan STEM sahaja.

“Kebanyakan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara ditawarkan kepada pelajar STEM yang mendapat keputusan yang baik.

Peluang pekerjaan pada zaman dulu juga lazimnya menjurus pada bidang akademi atau institusi penyelidikan.

“Bagaimanapun, sebaik pulang ke tanah air dengan ijazah Sains Gunaan (Kimia), saya ditawarkan bekerja di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dan terus berkhidmat hampir 37 tahun di situ sehingga bersara,” katanya.

Berita Harian X