X
Rabu, 30 Mei 2018 | 11:29am
Keputusan kerajaan menetapkan kadar sifar GST bermula Jun, dilihat sebagai langkah positif menurunkan harga barangan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup. - Foto hiasan
Keputusan kerajaan menetapkan kadar sifar GST bermula Jun, dilihat sebagai langkah positif menurunkan harga barangan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup. - Foto hiasan

Sifar GST bantu wanita urus perbelanjaan secara lestari

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menetapkan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dijadual bermula Jumaat, dilihat sebagai langkah positif menurunkan harga barangan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup.

Usaha ini membantu pengguna terutama dalam kalangan wanita dalam menguruskan perbelanjaan keluarga secara lestari bagi mengelak pembelian tanpa perancangan hingga membawa pembaziran.

Keputusan bersesuaian ketika sebahagian besar ketua keluarga sibuk membuat persiapan menjelang musim perayaan.

Pengasas Kumpulan ADLA Sdn Bhd, Datin Hasnorliza Abu Hassan, berkata penurunan GST sifar ini meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Beliau yang juga Pengarah Urusan ADLA, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membimbing usahawan baharu, terutama dalam kalangan wanita, berkata penurunan harga itu juga mendorong kepada kuasa membeli lebih tinggi.

Tangani kos sara hidup

"Penurunan harga barang dijangkakan, juga sebagai penanda aras pertubuhan ekonomi lebih stabil. Pengguna yang sebelum ini berhati-hati dalam setiap pembelian, diyakini sedia memasuki pasaran dengan pembelian secara berhati-hati.

"Kami mengharapkan peniaga berlumba-lumba menurunkan harga barangan, selain menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik, sekali gus merancakkan ekonomi domestik.

"Pertubuhan ini secara tidak langsung meningkatkan perolehan peniaga dan pemborong secara holistik bagi membolehkan ekonomi berkembang secara konsisten. Ini berikutan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan lebih rendah berbanding ketika pelaksanaan GST sebelum ini.

"Kami optimis keputusan ini adalah yang terbaik dalam menstabilkan kos sara hidup yang dilihat meningkat sejak pengenaan GST, terutama membabitkan semua golongan masyarakat," katanya.

Stabilkan ekonomi setempat

Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai pihak menyambut baik pelaksanaan GST kadar sifar mulai Jumaat, berikutan umum kini sibuk menguruskan perbelanjaan menjelang Aidilfitri.

Seorang peniaga, Nohayati Rahim, 34, berkata sepanjang tiga tahun pelaksanaan GST, aktiviti ekonomi setempat terhad.

Pelaksanaan cukai membebankan kerana kos operasi meningkat. Kos barangan juga naik, peniaga tidak ada pilihan terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung kos sedia ada.

Sepanjang tempoh itu juga, beliau berkata, aktiviti perniagaan dan pendapatan merosot, sedangkan kos sara hidup meningkat dengan pelbagai kenaikan harga barangan keperluan asas dan perkhidmatan sedia ada.

Katanya, pengguna begitu mengharapkan agensi berkaitan dapat menstruktur semula harga barangan keperluan asas antaranya tepung, gula dan telur ditetapkan harga siling bersesuaian situasi semasa.

"Kami mengharapkan penurunan kadar sifar GST memberi peluang aktiviti ekonomi kembali rancak seperti sebelumnya. Pendapatan peniaga bertambah dan membantu menstabilkan ekonomi setempat," katanya.

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kesan kepada masyarakat

Seorang suri rumah, Sabariah Miskon, 58, mengharapkan kerajaan terus lebih berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu polisi dengan mengambil kesan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan di luar kawalan menyebabkan pengguna semakin tertekan, pendapatan sedia ada tidak dapat menampung perbelanjaan isi keluarga yang semakin meningkat.

"Dalam keadaan ekonomi tidak serancak sebelum ini, pengurangan harga barangan, terutama keperluan asas begitu diharapkan," katanya.

Berita Harian X