Rabu, 28 March 2018 | 6:39pm
PELAKU keganasan rumah tangga sama ada suami atau isteri boleh 'diusir' keluar dari rumah sendiri. - Foto hiasan
PELAKU keganasan rumah tangga sama ada suami atau isteri boleh 'diusir' keluar dari rumah sendiri. - Foto hiasan

AKRT benarkan pendera diusir dari rumah

KUALA LUMPUR: Pelaku keganasan rumah tangga sama ada suami atau isteri boleh 'diusir' keluar dari rumah sendiri sekiranya mangsa membuat laporan pihak berkuasa.

Tindakan itu mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) (pindaan) 2017, yang dikuatkuasakan pada Januari lalu, bagi memberi hak penghunian eksklusif kepadanya selepas mendapat perintah mahkamah.

Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ruhaini Zawawi, berkata mangsa boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) di bawah Seksyen 2 (a) dan (b) iaitu apabila mangsa berada dalam ketakutan dicederakan secara fizikal.

PENGARAH Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, JKM, Ruhaini Zawawi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGARAH Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, JKM, Ruhaini Zawawi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Katanya, pegawai JKM perlu mengeluarkan EPO dalam tempoh dua jam selepas permohonan dan menyerahkan satu salinan itu kepada pegawai polis di daerah kediaman pelaku dalam masa 10 jam dikeluarkan.

EPO perlu diserahkan pegawai polis secara sendiri kepada pelaku dalam masa 12 jam.

"Akta bertujuan meningkatkan perlindungan, memelihara kebajikan dan keharmonian institusi keluarga.

"Atas perintah mahkamah, pelaku sama ada suami atau isteri dengan perintah mahkamah diarah keluar rumah bagi memberi mangsa masa bersendirian.

"Jadi, jangan sewenang-wenangnya melakukan penderaan walaupun rumah itu adalah hak milik bersama," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Forum Isu-Isu Berkenaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga.

Program itu anjuran bersama Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JPW) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF).

Ruhaini berkata, tafsiran keganasan rumah tangga kini diperluaskan bukan sahaja berbentuk penderaan fizikal tetapi juga mental dan membabitkan kewangan.

Sebagai contoh, pelaku dengan curang menggelapkan harta mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan.

"Bentuk keganasan rumah tangga turut merangkumi ugutan dengan niat menyebabkan takut keselamatan diri atau harta, pihak ketiga berhubung dengan mangsa atau dengan niat mengaibkan kehormatannya melalui elektronik dan sebagainya," katanya.

Berdasarkan laporan, rata-rata mangsa memberi tindak balas mereka tidak mendapat perlindungan dan pada masa sama tidak mahu suami atau pasangan ditangkap.

"Oleh itu, pindaan akta diluluskan Dewan Negara, pada 14 Ogos 2017 itu dan dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, hubungan kekeluargaan masih dapat dipelihara," katanya.

Program pemulihan disediakan oleh JKM ke atas mangsa dengan persetujuannya manakala pelaku perlu menjalani program itu atas perintah mahkamah.

Berdasarkan rekod JBG, sebanyak 700 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, pada tahun lalu.

Berita Harian X